Nelo Vingada Mahu Tengok Pemain Dahulu Sebelum Rangka Falsafah Bola Sepak Malaysia

“Saya perlu mengaku. Tak banyak yang saya tahu mengenai bola sepak Malaysia. Tapi saya berada di sini untuk masa depan bola sepak Malaysia.”

Begitulah mukadimah Nelo ‘The Professor’ Vingada, ketua jurulatih bola sepak Malaysia yang baru ketika diperkenalkan kepada media buat pertama kali di The St. Regis, Kuala Lumpur petang tadi.

Sejurus beliau memperkenalkan dirinya, Vingada terus diberikan tepukan oleh wartawan-wartawan yang hadir. Aura optimistik menyelubungi bilik sidang media. Semua orang mengharapkan jurulatih kelahiran Portugal ini mampu memberi impak yang signifikan kepada bola sepak Malaysia.

Kerja keras, kerja keras dan kerja keras

Sepanjang sejam sidang media tersebut berlangsung, Nelo Vingada menyebut ‘hard work’ dan ‘working hard’ sebanyak 12 kali. Itulah perkataan yang paling banyak diulang-ulang oleh beliau.

Ketika ditanya oleh wartawan apakah beliau sedar tentang harapan menggunung rakyat Malaysia terhadap beliau, Vingada menjawab, “Ya, saya tahu. Sebab itu saya perlu bekerja keras, mengikut langkah demi langkah.”

Anda perlu tahu. Perkataan ‘langkah demi langkah’ adalah sesuatu yang asing dalam bola sepak Malaysia. Di sini segalanya perlu dilakukan dengan pantas. Kejayaan perlu datang dengan pantas. Jika tidak, kritikan akan datang dengan pantas.

“Masa sentiasa tidak pernah cukup bagi jurulatih. Saya tahu apa yang saya dapat jika saya tak beri keputusan yang bagus kepada Malaysia. Jadi saya hanya perlu fokus, bekerja keras, langkah demi langkah.”

Photo by Kamarul Akhir / www.asiana.my

Sekali lagi, Vingada dengan mantra kerja kerasnya.

Ketika diminta menyatakan sasaran beliau dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 di mana Malaysia diundi satu kumpulan dengan Lubnan, Korea Utara dan Hong Kong, Vingada sekali lagi mengelak.

“Saya tak boleh janji (buat sasaran) apa-apa lagi. Saya perlu bekerja mengikut langkah demi langkah,” jelasnya.

Dalam konteks ini, maksud Vingada adalah beliau tak boleh menetapkan sasaran selagi beliau belum menyaksikan anak buahnya bermain di depan matanya sendiri apabila skuad negara berkumpul di Johor Bahru pada 2 Jun 2017 ini.

Seperti profesor di universiti yang sentiasa bekerja keras dan mengikut langkah demi langkah, begitu juga Vingada. Maka tak hairanlah nama gelarannya adalah ‘The Professor’.

Belum rangka falsafah bola sepak

Ketika ditanya wartawan tentang falsafah bola sepaknya untuk skuad Harimau Malaya, Vingada dengan pantas menjawab, “Saya perlu melihat kemampuan pemain-pemain saya dahulu sebelum memberitahu anda apa falsafah bola sepak saya untuk Malaysia.”

Soalan ini penting kerana selain melatih pemain, Vingada juga dipertanggungjawab melatih jurulatih-jurulatih tempatan di bawahnya.

“Tetapi saya boleh beritahu anda, saya sukakan pemain yang pantas, tidak takut dalam cabaran 1v1 dan kuat mentalnya,” jelas jurulatih yang berusia 64 tahun itu.

Persiapan skuad negara menjelang Sukan SEA

Dalam sesi media itu, TMJ turut diajukan soalan oleh wartawan. Antaranya mengenai isu prospek skuad Malaysia bermain di Pyongyang dan persiapan skuad bawah-23 negara menjelang Sukan SEA KL2017.

“Keutamaan saya adalah keselamatan pemain kita. Selagi isu negara kita dengan Korea Utara belum selesai – walaupun Pyongyang sudah mengeluarkan surat memberi jaminan keselamatan – saya takkan menghantar pemain ke Pyongyang,” jelas TMJ mengenai isu ini.

Tambah TMJ lagi, “Saya lebih suka kita main di gelanggang neutral. Tetapi jika kerajaan Malaysia mengesahkan pemain kita akan selamat, saya tiada masalah (melepaskan pemain ke Pyongyang).”

Sementara itu TMJ juga mengesahkan skuad nawah-23 negara akan membuat persiapan Sukan SEA KL2017 di China. Di sana, skuad negara akan mengadakan 3 perlawanan persahabatan bermula 6 Jun hingga 13 Jun 2017 dengan:

  • skuad bawah-21 China
  • skuad simpanan Guangzhou Evergrande
  • skuad simpanan Guangzhou R&F

“Meskipun Sukan SEA tiada dalam kalender FIFA, saya menggesa pasukan-pasukan liga Malaysia supaya melepaskan pemain ke Sukan SEA. Ini kerana kita tak mahu kalah awal-awal di tanah air sendiri,” tegas TMJ lagi mengenai persiapan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN