Ernesto Valverde kini pasti sedang sibuk menyusun barisan pemainnya di Nou Camp, terutama selepas perpindahan Neymar Jr. ke Paris Saint-Germain baru-baru ini.
Perlawanan El-Clasico pertama bakal menyusul pada hujung minggu ini sebagai perlawanan kompetitif pertama Barcelona di bawah kendalian Valverde.
Apa yang boleh kita jangkakan pada corak permainan Barcelona di bawah kendalian Valverde? Apa istimewanya sentuhan Valverde berbanding dengan bekas pengurus sebelumnya, Luis Enrique?
Artikel ini akan cuba menerangkan kepada anda falsafah bola sepak Ernesto Valverde yang ditagih oleh Barcelona untuk mengembalikan keupayaan mereka untuk bersaing dengan Real Madrid sebagai kuasa bola sepak Sepanyol dan Eropah.
Pengenalan
Seperti Luis Enrique, Ernesto Valverde juga pernah beraksi sebagai pemain untuk kelab Catalan tersebut.
Sepanjang karier di Nou Camp, Valverde pernah membantu Barcelona memenangi UEFA Cup Winners Cup 1989 dan juga Copa del Rey pada 1990 di bawah kendalian legenda Johan Cruyff.
Pengalaman di dalam pengurusan bola sepak telah membawa Valverde sejauh ke Greece bersama Olympiakos.
Namun sentuhan Valverde bersama Atletic Bilbao sejak 2 musim kebelakangan ini, telah mencuri tumpuan ramai pemerhati bola sepak di La Liga.
Taktikal Analisis: Atletic Bilbao
Atletic Bilbao di bawah kendalian Valverde, mempratikkan permainan menyerang sebagai sebuah unit yang mampan ketika melakukan gerakan ke kubu lawan.
Formasi pilihan di Bilbao adalah 4-2-3-1. Namun demikian, Valverde adalah seorang pengurus yang sangat fleksible berkenaaan formasi dan mampu mengubahnya dalam perlawanan bergantung kepada taktikal dan lawan yang diterapkan.
Formasi 4-2-3-1 milik Valverde akan segera berubah menjadi 4-2-2-2 ketika lawan memiliki bola di zon mereka sendiri.
Posisi 4-2-2-2 membenarkan pemain melakukan high pressing dan menganggu perancangan lawan untuk memulakan serangan dari bahagian bawah.
Dua kemungkinan akan berlaku selepas itu: Pertama, lawan akan kehilangan bola di tempat sendiri, dan ini membenarkan pemain Bilbao untuk menghukum mereka. Kedua, pertahanan lawan sukar menyimpan bola dan akhirnya akan menghantar bola tinggi. Ini akan merosakkan perancangan taktikal lawan yang asal.
DNA Cruyff
Corak taktikal Valverde ketika bersama Atletic Bilbao banyak dipengaruhi oleh bola sepak yang diperkenalkan oleh Cruyff di Barcelona pada satu masa dahulu.
“Perkara paling sukar mengenai perlawanan yang dianggap mudah ialah untuk membuat pasukan yang dianggap lemah untuk bermain teruk. Pemain menjadi lemah bukan kerana dia menyepak bola ke arah gawang sendiri. Ia adalah kerana anda memberi tekanan kepada pemain tersebut. Untuk itu, anda harus mempertingkatkan tempo perlawanan, dan pemain tersebut akan menberikan bola kepada anda secara automatik.” – Johan Cruff.
Jika lawan membawa bola ke bahagian padang mereka sendiri, pasukan Bilbao akan membentuk 4-4-1-1, membenarkan pemain mereka untuk menutup ruang di serata kawasan permainan. Ini sekaligus akan menghadkan gerakan pasukan lawan.
Taktikal Analisis: Barcelona
Barcelona bukan pasukan yang biasa bermain dengan sistem 4-3-2-1. Luis Enrique telah mempertaruhkan sistem tersebut pada musim lalu dalam saingan UCL, namun ia sekadar mendedahkan kelemahan mereka terutama di bahagian pertahanan.
Valverde sedar akan perkara itu. Dengan kebolehan teknikal dan skill yang dimiliki oleh pemain seperti Lionel Messi dan Luis Suarez, Valverde dijangka akan mengekalkan formasi 4-3-3 yang sangat sinonim dengan gergasi catalan ini.
Formasi 4-3-3 bukanlah formasi yang eksklusif kerana mereka juga boleh menggunakan sistem 3-4-3 dan juga 4-2-3-1.
Isunya adalah siapakah yang akan mengisi posisi Neymar? Buat masa ini Valverde mempunyai 3 pilihan pemain untuk melengkapkan trio serangan yang diketuai Messi.
Produk La Masia, Munir El Haddadi Mohamed mungkin akan membatalkan niatnya ke AS Roma untuk merebut posisi tersebut. Satu lagi nama yang lebih dikenali ialah bekas pemain Everton dan AC Milan, Gerard Deulofeu dan juga Paco Alcacer.
Barcelona dikaitkan dengan penyerang Liverpool Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele untuk mengisi posisi Neymar. Tetapi sehingga artikel ini ditulis, nama Munir dan Deulofeu adalah pilihan yang lebih realistik.
Di bahagian tengah 3 serangkai, nama Busquets dan Iniesta hampir pasti pilihan automatik Valverde. Mascherano atau Ivan Rakitic dijangka melengkapkan rangkaian 3 pemain di jentera tengah Barca.
Di bahagian pertahanan, kita menjangkakan Nelson Samedo dan Jordi Alba akan digunapakai sebagai bek sayap dan turut dieksplotasikan di dalam gerakan menyerang pasukan Barca.
Dalam perlawanan pra musim, terutama ketika menang 1-0 ke atas Manchester United di Amerika Syarikat, Barcelona menyukarkan skuad Jose Mourinho yang mempunyai kelebihan fizikal yang lebih baik dengan permainan high pressing.
Trio serangan juga sentiasa berubah posisi, kelihatan dinamik, dan menyukarkan lawan untuk melakukan ‘man marking‘. Penyerang Barcelona yang mempunyai kebolehan teknikal dan skill, sekaligus membuatkan mereka selesa dengan bola.
Perubahan posisi di antara rangkaian serangan Barcelona adalah punca kepada gol tunggal Neymar dalam perlawanan tersebut.
Barcelona juga kompak ketika bertahan, menghadkan gerakan-gerakan pasukan lawan ketika bertahan di tempat sendiri dengan sistem 4-4-1-1 yang sinonim dengan Valverde di Bilbao.
Messi akan bermain lebih ke bawah, untuk mendapatkan bola dari deep area, sebelum memulakan gerakan menyerang balas pantas.
Ketika melakukan serangan, kita juga akan menjangkakan pemain-pemain Barcelona akan kerap melakukan hantaran sesama mereka, sebelum satu hantaran maut dilakukan. Ini adalah elemen yang hilang di era Luis Enrique yang terlampau bergantung kepada kebolehan teknikal dan trio 3 serangkai semata-mata.
Membentuk DNA Barcelona baharu
Namun demikian, corak permainan high pressing yang digemari oleh Valverde pasti bukan pilihan pemain-pemain yang sudah berusia. Macherano dan Iniesta kini berusia 33 tahun, manakala Busquets dan Rakitic kini berusia 29 tahun. Satu lagi nama, Arda Turan kini juga sudah mencecah usia 30.
Jelas pemain-pemain ini bukan kelompok pemain yang akan digunapakai oleh Valverde dalam membina dinasti Barcelona yang baharu.
Di Bilbao, Ernersto Valverde dipandang tinggi kerana keupayaan beliau membentuk pemain daripada akademi. Nama seperti Inaki William dan Unai Nunez adalah antara bakat muda yang dibentuk oleh Valverde ketika di Bilbao.
Sepanjang jelajah pra musim, Valverde turut menggunakan khidmat pemain seperti Sergi Samper (gambar atas) dan Denis Suarez. Valverde turut berjanji akan membawa lebih ramai pemain dari akdemi La Masia milik kelab Catalan itu.
Rumusan
Satu perkara yang dijadikan bahan kritikan terhadap Ernesto Valverde ialah keupayaannya untuk mengedalikan pasukan berprofil tinggi seperti Barcelona.
Jika Pep Guardiola dan Luis Enrique dijadikan perbandingan, maka isu ini tidak seharusnya timbul kerana sepertimana Guardiola dan Enrique, Valverde hanya perlu bersandarkan pengalaman dan fleksibilitinya dalam taktikal.
Siapa lagi yang lebih layak untuk mengembalikan DNA bola sepak Cruyff jika bukan bekas anak didiknya sendiri?