Nafuzi Zain baru sahaja diumumkan sebagai pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam sidang media di House of Sang Kenari, Alor Setar, tadi.
Akhirnya terlerai segala spekulasi dan khabar angin tentang perpindahannya yang berlangsung agak lama sejak dalam saingan Piala Malaysia lagi.
Beliau kerap kali mengelak menjawab tentang masa depannya sebelum ini kerana menghormati kontrak yang masih berbaki bersama Terengganu FC.
Kini, pastinya beliau akan memandang terus ke hadapan cabaran yang akan dibawanya bersama Sang Kenari dalam membina sebuah legasi yang baru.
RASMI: Nafuzi Zain Kini Sah Dilantik Sebagai Jurulatih Baharu Kedah
Falsafah, gaya permainan yang bakal ditonjolkan
“Jika saya mahu keselesaan, saya akan kekal di sana [Terengganu]. Di sini, saya mendapat suasana dan cabaran baru yang membuatkan saya tidak sabar. Ini penghijrahan pertama saya sebagai ketua jurulatih untuk karier saya. Dan saya tahu tugas yang berat dan mencabar buat saya untuk bersama Kedah,” ungkapnya di sidang media pengenalannya tadi.
Kariernya sebagai ketua jurulatih bermula di Terengganu sejak mengambil alih pada pertengahan musim 2019 daripada mentornya, Irfan Bakti.
Dari situ, beliau mula membina legasinya yang tersendiri dengan dua perubahan besar yang dapat dilihat – gaya permainan dan ‘ubi muda’.
Frasa ‘Nafuziball’ cukup dikenali sebagai gaya permainan Sang Penyu sepanjang di bawah kendaliannya. Banyak pemain muda yang berjaya diketengahkannya sebagai nadi pasukan antaranya Rahadiazli Rahalim, Shahrul Nizam, Azam Azmi Murad, Hakimi Abdullah dan Azarul Nazarith.
Trend yg sama dpt dilihat pada MSL19 dimana PKNP yg ada peratusan tertinggi U23 tersungkur ke Liga Premier.
Lihat juga transformasi oleh pasukan Terengganu yg kini lebih cenderung menurunkan pemain muda selepas diambil alih oleh Nafuzi Zain (+18.62%) pic.twitter.com/UsOepOroX0— OptaJ (@OptaJ_Analytics) November 11, 2020
Menurut OptaJ, tahun pertama penuhnya di Terengganu, ada peningkatan kecenderungan penggunaan pemain muda sebanyak 18.65 peratus.
Kini beliau dilihat bersedia dengan cabaran baharu bersama pasukan yang mempunyai legasi tersendiri juga. Ini menunjukkan beliau sukakan cabaran.
Mampukah beliau mencorak memori kejayaan baharu bersama Kedah dan membawa penyokong keluar daripada memori kemasyhuran era silam?
Menurut Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dalam ucaptamanya, fokus pasukan adalah untuk membentuk permainan ‘speedy football’ pada musim depan.
Taktikal 'NafuziBall' Kini Jadi Sebutan https://t.co/NrDINtmmR9 pic.twitter.com/dWKBOe4Zi1
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 27, 2020
Dan bagi Nafuzi ketika ditanyakan tentang falsafah bola sepaknya sama ada berbeza dengan Terengganu, “Falsafah saya sentiasa sama walaupun di mana saya berada. Itu adalah cara saya. Saya rasa pemain-pemain Kedah yang ada berkemampuan untuk menterjemahkan ke dalam permainan.”
“Saya berjanji memberikan yang terbaik buat Kedah. Diharap jasa saya bersama Kedah nanti akan dijadikan kenangan di masa depan,” ujarnya.
Punca saiz skuad dikecilkan musim depan
Pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar turut memaklumkan pengecilan saiz skuad utama kepada 25 orang sahaja – 12 pemain sedia ada yang ditawarkan kontrak baharu dan 13 pemain baharu. Sebelum ini Kedah memaklumkan tentang identiti pemain-pemain yang dikekalkan.
12 pemain yang dikekalkan adalah Fayadh Zulkifli, Amirul Hisyam, Rodney Celvin, Akmal Zahir, Aiman Afif, Ifwat Akmal, Fadzrul Danel, Ariff Farhan, Al-Hafiz Harun, Kamil Akmal Abd Halim, Heshamudin Ahmad dan Loqman Hakim Marzuki. Majoritinya adalah pemain yang muda dan berbakat.
8 PEMAIN MENERUSKAN PERJUANGAN MUSIM 2023!
8 pemain tempatan, Mohammad Fayadh, Amirul Hisyam, Rodney Celvin, Akmal Zahir, Mohd Aiman Afif, Ifwat Akmal, Fadzrul Danel dan Ariff Farhan masih hijau kuning selaras dengan status masih berbaki kontrak bersama KDA FC di musim 2023. pic.twitter.com/lOO39UrT14
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) December 2, 2022
Dan terdapat beberapa pemain berpengalaman seperti Ifwat Akmal, Ariff Farhan, Rodney Celvin yang dikekalkan bagi menjamin kestabilan pasukan.
Pasukan yang menamatkan saingan musim ini di kedudukan ke-8 itu turut memberi promosi ke skuad utama buat empat pemain skuad Piala Presiden iaitu Hafiz Izzudin, Aiman Farhan, Fareez Amirul dan Muhammad Hafizy.
Jadi, penyokong hanya perlu menanti baki sembilan lagi pemain yang akan diumumkan secara berperingkat dan dikatakan akan lebih tersusun.
Untuk pemain import, Mohd Daud ada menjelaskan mengikut perancangan awal, lima atau enam pemain import akan dibawa untuk skuad utama dan tiga untuk skuad Liga Simpanan. Tetapi ia masih diperingkat perbincangan dan pemilihan pemain musim depan telah ditugaskan kepada Nafuzi.
“Kita memiliki skuad yang tidak besar – 25 pemain. Saya suka skuad yang kecil kerana lebih mudah untuk saya kendali dan mengenali mereka, selain peluang bermain buat mereka lebih besar.” jelas Nafuzi mengenainya.
Tahniah kepada pasukan Sungai Tiang muncul Juara Widad K-League 2022 Piala Menteri Besar Kedah.#MediaMBKedah #UrusSetiaPeneranganDarulAman pic.twitter.com/YwUjhWCItX
— UrussetiaPeneranganDarulAman (@UpdaKedah) August 5, 2022
Nafuzi cadang ‘scout’ sendiri ‘ubi muda’ Kedah
Nafuzi berulang kali menyebut betapa Kedah memiliki pemain-pemain muda yang berbakat. Malah, beliau bercadang untuk ‘memburu’ sendiri.
Dapat dilihat selepas menggantikan Irfan Bakti, beliau memberi peluang yang lebih kepada tenaga muda. Daripada hanya 0.78 peratus penggunaan pemain berusia bawah 23 tahun pada musim 2019, ia meningkat mendadak kepada 19.4 peratus. Jadi, ada keyakinan buat pemain muda di Kedah.
Kunci utama untuk penggunaan pemain muda adalah kesabaran dalam membentuk mereka. Penyokong juga wajar memberi ruang kepadanya.
Terengganu yang ada sekarang adalah hasil yang mula dibentuknya pada pertengahan musim 2019. Jadi, penyokong Kedah harus lebih realistik.
“Pertama, saya mementingkan anak jati Kedah sendiri. Itu yang paling penting. Dan kekosongan selepas itu akan ditampung oleh pemain-pemain baru. Saya lebih suka menggembangkan bakat-bakat pemain – membuat pemain. Dan Kedah memiliki pemain muda yang berkualiti,” ungkap Nafuzi.
“Saya sendiri juga akan melihat bakat-bakat muda yang bermain di Liga Kedah. Di situ juga ada pemain berkualiti,” tambahnya lagi tentangnya.