Kisah Legenda Dari Seorang Penganggur Menjadi Wira Belanda Di Qatar

Belanda merupakan antara pasukan kegemaran untuk menjuarai saingan Piala Dunia pada tahun ini dan mereka kini sudah berjaya mengesahkan tempat untuk beraksi di peringkat suku akhir.

Skuad kendalian Louis van Gaal itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sangat meyakinkan sepanjang pertandingan Piala Dunia di Qatar pada tahun ini.

Dari empat perlawanan, Belanda berjaya mencatatkan 3 kemenangan dan hanya merekodkan satu keputusan seri sahaja.

Apa yang lebih menarik lagi, sepanjang tempoh tersebut, Belanda hanya mencatatkan 2 bolos sahaja yang mana mereka bolos satu gol ketika bertemu Ecuador dan satu lagi gol ketika bertemu Amerika Syarikat.

Selain kecemerlangan barisan pertahanan dan midfield, kehebatan penjaga gol utama Belanda, Andries Noppert juga turut memainkan peranan penting sebalik kejayaan mereka layak ke peringkat suku akhir.

Semua mata ketika ini tertumpu kepada Cody Gakpo kerana pemain muda itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sangat cemerlang di kejohanan kali ini.

Namun mungkin ramai tidak tahu yang ada seorang lagi pemain yang ketika ini sedang menjadi topik perbualan hangat para peminat.

Siapakah pemain itu? dan kenapa nama beliau disebut-sebut oleh peminat?

Pemain yang dimaksudkan adalah Andries Noppert dan kisah perjalanan beliau sebelum menjadi penjaga gol nombor satu Belanda sebenarnya sangat mencuri perhatian.

Nama Andries Noppert mungkin sedikit asing bagi para peminat kerana beliau tidak pernah beraksi bersama kelab-kelab besar di pentas bola sepak Eropah.

Hampir keseluruhan pemain dari skuad utama Belanda merupakan antara pemain yang bermain bersama kelab-kelab gergasi di Eropah.

Dan kesemua mereka juga sudah sememangnya dikenali sebagai antara bakat-bakat hebat dalam dunia bola sepak.

Tidak untuk Andries Noppert, beliau sebenarnya baru sahaja kembali ke dunia bola sepak selepas menganggur selama hampir satu musim.

Noppert menyertai Heerenveen pada jendela perpindahan musim panas ini dari Go Ahead Eagles selepas beliau sebelum itu menganggur tanpa kelab.

Dek kerana kecemerlangan beliau bersama Heerenveen, Noppert telah dipanggil untuk sertai skuad kebangsaan Belanda dan aksi debut beliau adalah ketika beraksi bertemu Senegal di pentas Piala Dunia pada tahun ini.

Kisah legenda dari seorang penganggur menjadi wira Belanda di Qatar

Andries Noppert dilahirkan pada 7 April 1994 di Heerenveen, Belanda dan bintang berusia 28 tahun itu telah memulakan karier bola sepaknya bersama SC Joure pada tahun 2005 yang lalu.

Beliau kemudiannya telah dipanggil untuk sertai akademi Heerenveen dengan beliau bermain bersama kelab tersebut dari tahun 2009 sehingga 2014.

Noppert walau bagaimanapun tidak diserap untuk sertai skuad utama Heerenveen dengan beliau dilepaskan oleh skuad bawah 21 tahun pada tahun 2014 yang lalu dan terpaksa menganggur selama empat tahun sebelum ditawarkan kontrak oleh kelab lain.

Selepas dilepaskan oleh skuad bawah 21 tahun Heerenveen, tiada kelab yang berminat mahu mendapatkan khidmatnya dan isteri beliau juga turut mencadangkan kepada Noppert supaya pergi temuduga polis untuk meneruskan kehidupan mereka.

Noppert walau bagaimanapun menolak permintaan isterinya itu dan beliau bertekad untuk meneruskan karier bola sepaknya walau beliau ketika itu masih tidak beraksi bersama mana-mana pasukan.

Beliau kemudiannya telah ditawarkan kontrak bersama kelab bawahan Belanda, NAC Breda pada tahun 2018 yang lalu dan hanya beraksi selama satu musim sahaja bersama kelab tersebut.

Noppert kemudiannya telah ditawarkan kontrak untuk sertai kelab division kedua Itali, Foggia dan beliau dilepaskan oleh kelab pada penghujung musim pertamanya di Itali.

Penjaga gol utama Belanda itu kemudiannya kembali menganggur sebelum beliau ditawarkan kontrak oleh FC Dordrecht pada musim panas 2020 yang lalu.

Nasib masih tidak memihak kepada Noppert selepas beliau sekali lagi dilepaskan oleh pihak kelab dan terpaksa menganggur tanpa kelab.

Beliau kemudiannya diberikan kesempatan semula untuk beraksi di pentas bola sepak profesional bersama Go Ahead Eangles sebelum menyertai Heerenveen pada musim panas tahun ini.

Baru beberapa perlawanan beraksi bersama Heerenveen, Noppert sudah berjaya meyakinkan Louis Van Gaal untuk beraksi bersama skuad utama Belanda.

Beliau disenaraikan sebagai penjaga gol ketiga Belanda ketika beraksi bertemu Belgium dalam saingan UEFA Nations League.

Debut Noppert bersama skuad kebangsaan Belanda adalah ketika aksi perlawanan pembukaan mereka bertemu Senegal di pentas Piala Dunia tahun ini.

Beliau berjaya mempamerkan aksi persembahan yang sangat menakjubkan sepanjang kejohanan pada tahun ini dan Noppert tidak dinafikan lagi merupakan antara nadi penting yang membawa Oranje ke peringkat suku akhir.

Walau sudah melalui perjalanan karier yang sangat suram, Noppert jelas sekali berpuas hati dengan segala usahanya dengan beliau kini dianggap sebagai antara penjaga gol paling berprestasi dalam dunia bola sepak.

Belanda selepas ini akan turun beraksi bertemu Argentina di peringkat suku akhir dan jelas sekali mereka bakal berdepan laluan yang sangat sukar untuk layak ke peringkat separuh akhir.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN