Pemenang Ballon d’Or 2006 yang kini merupakan ketua jurulatih Guangzhou Evergrande, Fabio Cannavaro mengakui beliau sememangnya mahu melihat bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe untuk menyarung jersi keramat Real Madrid pada satu hari nanti.
Meskipun sedar bukan tugas mudah buat Los Blancos untuk membawa masuk pemain berusia 21 tahun itu ke Santiago Bernabeu, Cannavaro tetap melihat Mbappe mampu untuk mengikut jejak kecemerlangan ditampilkan Cristiano Ronaldo ketika bersama kelab tersebut.
Real Madrid juga dikatakan sudah lama menaruh minat untuk mendapatkan khidmat pemenang Piala Dunia 2018 di Rusia ini.
Sehubungan dengan itu, Cannavaro beranggapan Mbappe adalah calon paling sesuai untuk menjadi pengganti buat Ronaldo yang memilih untuk berhijrah ke Juventus pada musim 2018/19.
Penghijrahan itu juga sekaligus menamatkan kegemilangan selama sembilan tahun yang dinikmati Ronaldo bersama Real Madrid dan kelab tersebut kelihatan amat merindui kehebatan legenda hidup tersebut.
”Real Madrid memerlukan pemain seperti Mbappe, seorang bintang muda yang mampu untuk mengikuti jejak langkah Cristano Ronaldo.”
”Ia merupakan perkara normal sekiranya Real Madrid berusaha untuk mendapatkan Mbappe tetapi perlu mengambil kira juga bahawa pemilik PSG tidak memerlukan pun wang tersebut.”
”Mereka [PSG] bercita-cita tinggi dan mahukan untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah. Saya merasakan Real Madrid akan mengalami kesukaran untuk mendapatkannya.”
”Presiden PSG adalah seorang yang mahukan kemenangan, saya mengenali mereka dan mereka akan berusaha sekuat tenaga dan mempertahankan Mbappe,” ujar Fabio Cannavaro menurut sumber Goal.