Evolusi Baqiuddin Dari Budak Lipis Kepada Bintang Utama Sri Pahang

Baqiuddin Sri Pahang

Pemain bola sepak mana yang tidak mahu bermain di peringkat tertingi, apatah lagi jika dapat mewakili pasukan negeri kelahiran sendiri. Itulah rezeki yang telah tertulis buat Baqiuddin Shamsudin apabila berpeluang menyertai Sri Pahang.

Berasal dari Kuala Lipis, Pahang, Baqiuddin sama sekali tidak menyangka masih ada ruangnya bermain di peringkat tertinggi Liga Malaysia iaitu Liga Super selepas menghabiskan kariernya di Liga Premier selama lima musim.

Sungguhpun fizikalnya agak ‘kecil’ jika mahu dibangdingkan dengan pemain bola sepak lain, pemain berusia 27 tahun itu tidak menjadikannya sebagai halangan untuk menjadi salah seorang watak penting pasukan pada musim ini.

“Siapa yang tak nak main untuk negeri sendiri, dah lama saya menunggu peluang ini selepas bermain dalam skuad Piala Presiden Pahang sejak tahun 2015, barulah impian saya menjadi kenyataan,” ujarnya ketika ditemubual Media MFL.

“Sebaik berakhir musim lalu dengan UKM FC, saya sendiri tidak menjangka mendapat tawaran dari Sri Pahang dan pihak pengurusan pada waktu itu di bawah Datuk Mohammed Suffian Awang (Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC) ada hubungi saya.

“Sangat terkejut pada mulanya namun bersyukur kerana akhirnya dapat juga bermain di Liga Super malah menambah lagi kegembiraan, menyarung jersi negeri kelahiran.”

Dengan menjadikan kepantasan sebagai ‘aset’ utama, aksi lincah yang dipamerkan olehnya meyakinkan barisan kejurulatihan untuk terus menyenaraikan sebagai pemain kesebelasan utama dalam 12 perlawanan pada musim ini.

Beliau tidak perlu menunggu lama untuk meraih perhatian majoriti peminat Sri Pahang dengan menyumbang satu gol ketika membenam UiTM 5-0 di Stadium Darul Makmur pada awal bulan ini.

“Saya tidak mahu membazirkan peluang yang diberikan dan buat masa ini, saya cukup teruja kerana sering kali mendapat peluang untuk diturunkan dan gol pertama saya ketika bertemu UiTM menjadi pembakar motivasi untuk gigih tingkatkan prestasi,” katanya lagi.

Selepas meninggalkan skuad Piala Presiden Pahang, Baqiuddin berkelana bersama pasukan Shahzan Muda (2016), Kuantan FA (2017) dan PDRM (2018) sebelum bersama UKM selama dua musim.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa beliau merupakan sepupu kepada pemain tengah kebangsaan dan Sri Pahang FC, Nor Azam Azih.

Hubungan yang rapat dan sering bermain bola sepak bersama sejak kanak-kanak akhirnya membawa kepada takdir dipertemukan dalam sebuah pasukan yang sama pada hari ini.

“Azam sebenarnya sepupu saya, iaitu di sebelah ayah dan dia pun sebenarnya berasal dari Kuala Lipis sebelum keluarganya berpindah ke Jengka.

“Kami agak akrab dari kecil dan memang mengenali satu sama lain, jadi apabila dia dapat tahu saya bersama Sri Pahang musim ini, dia menjadi antara orang paling gembira.

“Mungkin perkara itu juga menjadi kelebihan buat kami berdua apabila kembali bersama kerana masing-masing mengetahui corak permainan sesama sendiri di dalam padang.”

Bercakap mengenai peluang Sri Pahang untuk terus kekal di saingan Liga Super setelah prestasi goyah pada separuh pertama musim ini, Baqiuddin yakin ketibaan pemain import baharu berkualiti seperti Manuel Hidalgo akan memberi sinar baharu untuk bangkit dalam baki perlawanan yang tinggal.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

Manuel Hidalgo: Sanggup Tinggalkan Eropah Kerana Maradona, Kini ‘Hero Segera’ Sri Pahang

Walaupun Dibarisi Pemain Muda, TFC II Satu-Satunya Pasukan Liga-M Yang ‘Kebal’ Tanpa Kalah

Lee Tuck Dipilih Kerana Sudah ‘Masak’ Cara Nafuzi, Adakah Sanjar Juga Akan Kembali?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN