Analisis: 5 Isu Dihadapi Harimau Malaya Perlu Diselesaikan Segera Oleh Tan Cheng Hoe

Skuad Harimau Malaya dilihat memiliki peluang cerah untuk layak ke Piala Asia secara merit. Malaysia kini berada di kedudukan kedua Kumpulan G dengan baki tiga perlawanan.

Malaysia mengumpul sembilan mata, dua mata di belakang Vietnam dan dengan kelebihan satu mata mengatasai Thailand yang berada di kedudukan ketiga. Begitupun, UAE yang mendiami posisi keempat dengan enam mata, masih beraksi kurang satu perlawanan.

Adunan beberapa muka baharu dan muka lama, skuad Harimau Malaya dilihat mantap dan tampil yakin. Namun ini tidak bermakna tiada isu yang perlu diberikan perhatian oleh Ketua Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe menjelang perlawanan pertama menentang UAE pada 3 Jun hadapan.

Elemen kejutan di jentera serangan

Siapakah pemain yang akan digandingkan sebagai penyerang oleh Tan Cheng Hoe untuk baki tiga perlawanan seterusnya di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023? Harimau Malaya boleh menampilkan elemen kejutan kepada lawan di jentera serangan sekiranya rekod perlawanan lalu diambil kira sebagai bahan kajian oleh pihak lawan.

Ini kerana selain daripada Syafiq Ahmad dan Norshahrul Idlan Talaha, yang menjadi pilihan membarisi kesebelasan utama dalam tiga perlawanan pertama kelayakan sebelum ini bahagian serangan pasukan negara kali ini turut diperkuatkan oleh dua muka baharu iaitu Luqman Hakim dan Guilherme de Paula – sebagai No.9 di dalam pasukan.

Sumber: FAM

Syafiq, Norshahrul dan Shahrel sebelum ini dianggap sebagai bukan No.9 sejati, dan merupakan baka penyerang yang dilihat lebih mnyerupai penyerang kedua atau No.10.

Walaupun tanpa Sharel Fikri,  Tan Cheng Hoe dilihat memiliki lebih banyak pilihan di hadapan kali ini. Jika lawan sudah masak dengan corak permainan pasukan negara apabila Syafiq Ahmad dan Norshahrul digandingkan bersama, maka De Paula dan Luqman mampu menghadirkan elemen kejutan yang dimaksudkan itu.

Posisi sayap kiri

Kita semua tahu akan kualiti yang dimiliki Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh. Kedua-dua pemain mampu beraksi di sebelah kiri dan kanan di posisi sayap dan mampu menghasilkan jaringan buat pasukan. Versaitily dimiliki kedua-dua pemain ini juga membenarkan Tan Cheng Hoe meletakkan keuda-dua pemain secara silih berganti di bahagian kanan dan kiri sayap pasukan. Persoalannya ialah posisi manakah yang terbaik buat kedua-dua pemain.

Sebenarnya kelibat Sumareh dan Safawi dilihat lebih mengancam jika beraksi di posisi sayap kanan. Turut pernah menurunkan Hadin Azman dalam perlawanan pertama menentang Indonesia, posisi sayap kiri kemudiannya dilihat menjadi masalah di dalam skuad Harimau Malaya.

Sumber: FAM

Akhyar Rasid dilihat sebagai pemain yang lebih natural beraksi di posisi tersebut, namun di peringkat ini Akhyar nyata perlu membuktikan diri mampu menghadirkan ancaman 90 minit secara konsisten sebagai outlet serangan sebelah kiri pasukan.

Pilihan lain bagi Tan Cheng Hoe dalam baki tiga perlawanan seterusnya ialah dengan adanya pemain muda Ariff Aiman. Pemain muda ini mungkin belum mencapai potensi seperti yang dimiliki oleh Safawi atau Sumareh. Namun selepas cemerlang bersama JDT sebagai pemain sayap kanan dan kiri di saingan Liga Super pada musim ini, kualiti crossing pemain akademi JDT ini boleh menjadi aset untuk dimanfaatkan oleh penyerang seperti De Paula sebagai penyerang utama pasukan negara.

Di mana posisi Liridon?

Semua mata kini tertumpu kepada kemampuan pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi untuk mencatur jentera tengah skuad Harimau Malaya berdepan UAE, 3 Jun depan.

Ini kerana, ketiadaan Brendan Gan untuk aksi berdepan UAE pastinya bakal sedikit menjejaskan persediaan skuad negara apabila akan melalui proses penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning sebelum ini.

Seperti yang kita ketahui, Tan Cheng Hoe gemar menggunakan formasi 4-3-3/4-2-3-1 yang menjadi asas kepada corak permainan pasukan negara. Sistem ini meberikan kelebihan buat Liridon Krasniqi.

Sumber: FAM

Pemain kelahiran Kosovo yang menjadi pemain kedua bergelar pemain naturalisasi negara dilihat memiliki kelebihan teknikal dan fizikal yang akan menjadi aset kepada pasukan negara. Beliau adalah pemain yang selesa dengan pendekatan bola rendah dan juga permainan bola sepak yang berasaskan penguasaan bola. Tidak ramai pemain tengah yang jenis box-to-box ada kualiti seperti Liridon. Beliau boleh menggelecek, memiliki skil yang baik, mengawal tempo permainan dan mengekalkan bola di kaki dengan baik.

Selain itu, beliau juga boleh menjaringkan gol daripada pelbagai disiplin serta mampu mencipta gol. Dalam erti kata lain beliau adalah tipikal ‘all-rounder midfielder’. Dengan adanya Liridon, Tan Cheng Hoe mempunyai pilihan untuk meletakkan pemain itu di mana-mana posisi di bahagian tengah.

Pengganti Shahrul Saad

Ketiadaan Shahrul Saad di dalam pasukan negara turut membuatkan ramai tertanya-tanya, siapakah yang akan diberikan kepercayaan untuk bergandingan dengan Aidil Zafuan di bahagian pertahanan tengah. Bek kanan dan bek kiri hampir pasti menjadi milik Matthew Davis dan Corbin Ong sebagai pemain pilihan pertama. Tan Cheng Hoe turut memiliki Syahmi Safari dan Rizal Ghazali untuk memperkuatkan posisi tersebut jika keadaan memerlukan.

Di posisi bek tengah pula kekosongan yang ditinggalkan oleh Shahrul Saad akan menjadi rebutan di antara Adam Nor Azlin dan Junior Edstal.

Sumber: FAM

Adam dilihat mempunyai kelebihan berbanding Junior kerana datang dari kelab yang sama dengan gandigan pemain pertahanan yang lain. Justeru dari segi keserasian, Adam memiliki kelebihan berbanding Junior.

Namun jika Tan Cheng Hoe mahukan kekuatan fizikal di bahagian benteng, maka Junior Edstal akan memberikan kelebihan itu. Percaturan di bahagian pertahanan dilihat lebih kepada jenis lawan yang akan berhadapan pasukan negara. Selain Adam dan Junior, Tan Cheng Hoe turut mempunyai pilihan menurunkan Dominic Tan di posisi tersebut.

Posisi penjaga gol

Pasukan negara dilihat memiliki barisan penjaga gol yang mantap untuk kempen kali ini. Namun ia mampu menerbitkan rasa dilema untuk Tan Cheng Hoe. Siapakah di antara Farizal Marlias, Khairul Azhan dan Samuel Jacob Somerville yang akan menyarung jersi No.1 dalam tiga aksi kelayakan nanti?

Sumber: FAM

Di atas kertas, amat mudah untuk memilih Farizal Marlias sebagai pilihan utama. Namun prestasi cemerlang Samuel Somerville bersama Penang FC turut tidak harus dipandang sebelah mata. Begitu juga Khairul Azhan. Walaupun melalui musim tidak menentu bersama Selangor FC, penjaga gol ini telah membuktikan kemampuannya bersama pasukan negara sebelum ini.

Penutup

Secara keseluruhan skuad Harimau Malaya kali ini dilihat mempunyai squad depth yang lebih baik berbanding mana-mana kempen antarabangsa yang pernah disertai sebelum ini. Mood di dalam kem Harimau Malaya juga amat positif.

Selain dari dua kecederaan membabitkan dua pemain utama, Tan Cheng Hoe turut perlu melihat kepada isu chemistry sesama pemain untuk membentuk gandingan terbaik dalam kesebelasan utama.

Peluang untuk ke Piala Asia 2023 yang merupakan sasaran utama negara kini menjadi semakin sengit selepas penarikan diri Korea Utara. Oleh kerana itu, Tan Cheng Hoe pasti tidak mahu mengundang sebarang jenis kesilapan percaturan yang boleh menjejaskan peluang pasukan negara.

Keadaan ini juga menyebabkan dua perlawanan ujian menentang Kuwait dan Bahrain dalam tempoh beberapa hari yang akan mendatang sebagai medan ujian penting buat Harimau Malaya menyusun percaturan.

 

 

Baca artikel menarik lain mengenai Harimau Malaya:

Tanpa Brendan Gan, Adakah Liridon Taruhan Terbaik Sebagai ‘Pencatur’

Liridon Krasniqi Jumpa Ronaldinho Minta Tips Sebelum Sertai Skuad Harimau Malaya?

Bola Sepak Malaysia Berduka Dengan Pemergian Bayi Perempuan Syahmi Safari

Semua Pemain Skuad Kebangsaan Terima Hadiah G-SHOCK Edisi Harimau Malaya

 

Leave a Reply