Dilantik Buat Kali Ke-2, Van Marwijk Dakwa Tahu Untuk ‘Counter’ Malaysia

Bert van Marwijk UAE Malaysia WCQ2022

Pengendali UAE, Bert van Marwijk memiliki keyakinan dengan barisan pemain yang dipilihnya serta berkata beliau sudah tahu bagaimana Malaysia akan bermain.

Bercakap kepada Goal, van Marwijk yang kembali buat kali kedua untuk membimbing UAE dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berkata, “Saya tidak akan menjawab persoalan mengenai pemilihan pemain yang saya lakukan.”

“Saya sedang membina pasukan baharu dan dalam pasukan baharu ini terdapat ramai pemain-pemain muda. Saya berpuas hati dengan barisan pemain saya dan saya akan bekerja bersama mereka. Harapnya untuk tempoh yang panjang,” ujarnya.

Pengendali kelahiran Belanda itu meninggalkan pasukan pada 2019 dan sempat bertemu Malaysia dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada September 2019. Selepas bertukar tangan tiga kali, van Marwijk kembali semula.

Ketika bertemu Malaysia dalam aksi kedua Kumpulan G, UAE bergelut dan hampir dikejutkan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe, namun berjaya bangkit selepas ketinggalan untuk memenangi perlawanan dengan keputusan 2-1.

Selepas aksi goyah bertemu Malaysia, mereka berjaya mengatasi Indonesia 5-0 di laman sendiri sebelum tewas 1-2 kepada Thailand dan kemudian Vietnam (0-1) yang menyebabkan van Marwijk terpaksa meninggalkan pasukan pada bulan Disember.

“Saya rasa banyak peningkatan daripada mereka [UAE]. Ini kerana, kami bekerja bersama pemain-pemain muda dan saya lihat secara fizikalnya mereka bertambah kuat dan mereka telah bertambah baik. Ia telah beri saya lebih keyakinan.

“Kami tahu [gaya permainan] lawan kami dengan baik kerana kami pernah bertemu mereka sekali sebelum ini. Asalnya kami berbaki tiga aksi di laman sendiri tetapi kini ia jadi empat. Jadi, saya yakin kami memiliki peluang yang sangat besar.

“Ini kerana, kami tahu tentang lawan kami dan tahu bagaimana untuk menentang mereka. Saya tidak boleh jamin apa-apa tetapi saya rasa kami memiliki peluang yang sangat cerah untuk layak ke pusingan seterusnya,” tegas van Marwijk lagi.

UAE ketika ini berada di kedudukan ke-4 kumpulan dengan mengumpul enam mata dan kekurangan satu aksi berbanding semua pasukan. Malaysia berada di kedudukan kedua dengan sembilan mata, dua mata di belakang pendahulu, Vietnam.

Baca lagi artikel lain mengenai skuad kebangsaan:

Semua Pemain Skuad Kebangsaan Terima Hadiah G-SHOCK Edisi Harimau Malaya

6 Perkara Daripada Kekalahan Malaysia Di Tangan UAE

Tanpa Brendan Gan, Adakah Liridon Taruhan Terbaik Sebagai ‘Pencatur’

Leave a Reply