Pengendali Manchester United, Erik ten Hag jelas sekali berpuas hati dengan persembahan pasukannya terutama pemain Bruno Fernandes ketika mereka menewaskan Real Betis.
Dalam aksi menentang Real Betis ketika saingan Europa League, United membelasah kelab La Liga itu 4-1 untuk membawa bekalan selesa ke aksi kedua.
Ia sememangnya respon yang amat diharapkan oleh Ten Hag selepas pasukannya sebelum ini dibelasah teruk oleh Liverpool dalam aksi Premier League.
Malah, Ten Hag juga gembira melihat prestasi Fernandes yang begitu baik selepas sebelum ini pemain itu ‘hilang’ di Anfield.
Menurut laporan Daily Mail, Ten Hag memuji Fernandes yang menjadi nadi penting United dalam mendapatkan kemenangan selesa di laman sendiri itu.
“Bruno [Fernandes] begitu cemerlang hari ini. Dia memimpin pasukan daripada minit pertama.
“Dia melakukan bantuan jaringan serta mendapatkan gol untuk dirinya. Saya amat gembira,” kata Ten Hag.
Tambah Ten Hag lagi, persembahan cemerlang Fernandes telah memudahkan United untuk menewaskan Betis serta menghasilkan satu bola sepak yang cukup hebat.
“Ia menunjukkan personalitinya. Dia bermain sedikit ke bawah malam ini dan saya rasa ianya cukup cemerlang.
“[Dia] meakukan banyak hantaran baik diantara celah-celah ruang dan daripada situ kami berjaya membuat banyak peluang.
“Saya gembira dengan respon daripada para penyokong [mengenai prestasi Fernandes],” ujar Ten Hag lagi.
Selain Fernandes, Marcus Rashford dan Antony turut menjaringkan gol serta Wout Weghorst yang juga menggegar jaring di Old Trafford buat pertama kali dalam kariernya bersama United.
Ayoze Perez menjaringkan gol tunggal buat Betis.