Pengendali Manchester United, Erik ten Hag mengakui kekalahan ditangan Brentford sebelum ini telah menginsafkan pasukannya mengenai cabaran di Premier League.
Sebelum ini, mereka tumbang 4-0 ditangan skuad Thomas Frank namun kembali bangkit menewaskan Liverpool 2-1 di laman sendiri.
Kini, momentum kemenangan itu diteruskan apabila mereka berjaya menumbangkan Southampton dengan jaringan 1-0 oleh Bruno Fernandes.
EPL: Jaringan Tunggal Bruno Fernandes Bantu United Kutip 3 Mata Penuh
“Saya rasa ya, saya rasa para pemain kini faham yang mereka perlu bergerak sebagai satu pasukan dan bersatu.
“Mereka juga perlu memberikan 100%, 99% tidak cukup. Mereka perlu bertarung untuk setiap bola. Jika mereka melakukannya maka kami ada asas yang baik untuk mencapai kemenangan dan kami sukar untuk ditumpaskan,” jelas Ten Hag.
United berjaya menang hasil daripada jaringan Fernandes di separuh masa kedua selepas menerima bola daripada Diogo Dalot.
Fernandes yang menerima bola hasil hantaran lintang kemudiannya melakukan rembatan ke sudut kiri gol untuk menewaskan Gavin Banuzu di pintu gol Southampton.
Ten Hag juga mengakui yang Fernandes kini adalah pemain yang paling menonjol dalam skuadnya ketika ini dan gol dari pemain Portugal itu membuktikan kualitinya.
“Semestinya, saya rasakan yang beliau sebenarnya menantikan detik ini [menjaringkan gol]. Saya percaya yang beliau kini adalah pemain yang terbaik dalam kalangan skuad.
“Beliau telah tunjukkan pada perlawanan Isnin lalu [menentang Liverpool]. Lariannya, permainan tekanannya, mencipta peluang dan hari ini pun sama.
“Jadi apabila beliau berjaya mendapatkan jaringan gol, saya sangat gembira bukan saja untuk beliau tetapi untuk pasukan,” jelas Ten Hag.
United kini mengutip dua kemenangan daripada empat perlawanan.