Dengan pengumuman penarikan diri oleh Tan Sri Annuar Musa, bermakna Tunku Mahkota Johor ataupun TMJ sah menjadi presiden baru FAM.
Berikut adalah 10 perkara yang kita boleh harapkan akan berlaku kepada pasukan kebangsaan.
1. Kembalinya Harimau Malaya
Walaupun baginda tidak menjawab panjang lebar isu ini ketika ditanya semasa sesi bertemu TMJ tempoh hari, ia mungkin akan menjadi kenyataan.
Ramai peminat bola sepak mahukan nama Harimau Malaya dikembalikan.
2. Kalendar persahabatan pasukan kebangsaan
Mungkin tidak ada lagi sesi jelajah seperti jelajah Oceania yang ibarat percutian keluarga oleh ahli exco.
Harus diakui, memang sukar mencari lawan yang berkualiti seperti Jepun ataupun Korea Selatan.
Tetapi kami menjangkakan pengurusan perlawaanan persahabatan akan lebih baik dengan lawan yang lebih baik.
Seterusnya jadual latihan para pemain juga akan dikawal lebih baik, supaya tidak ada isu terlalu mudah cedera atau rehat terlalu lama di kem latihan.
3. Tiada panggilan terlalu awal untuk skuad kebangsaan
Kami jangkakan tidak ada lagi panggilan terlalu awal untuk pemain skuad kebangsaan. Baru-baru ini, liga kita telah berehat jauh lebih awal daripada liga di Eropah.
Ianya semata-mata mahu memberikan laluan kepada skuad kebangsaan yang fokus untuk perlawanan kelayakan Piala Asia.
4. Harimau Malaysia ada CEO sendiri
Kami sangat percaya perkara ke-3 ini realistik. CEO sudah pastinya individu yang tahu akan pengurusan bola sepak dan bebas kepentingan politik dan peribadi.
CEO ini yang akan menjadi tulang belakang kepada aspek pengurusan, publisiti, jenama, pembangunan serta banyak lagi aspek.
Ini termasuk perkara-perkara yang sangat kecil termasuk berat jersi pemain. Isu yang pernah dibangkitkan CEO FA England, Martin Glenn.
5. Jurulatih baru?
Ianya mungkin kedengaran agak kejam kerana jurulatih yang sedia ada masih terlalu baru.
Namun jika anda ingat beberapa bulan yang lalu, TMJ ada memberikan bayangan bahawa Mario Gomez adalah ‘jurulatih kebangsaan’.
Baginda juga dikenali dengan sistem pembantu jurulatih yang merupakan orang tempatan.
Kami juga menjangkakan ada penambahbaikan dalam aspek kejurulatihan termasuk perlantikan staf kejurulatihan yang baik.
Ini juga termasuk isu kecergasan, sains sukan dan sebagainya.
6. DNA bola sepak yang seragam
Baginda sangat tegas dalam isu ini. Itu yang membuatkan baginda mempromosi Benjamin Mora di JDT.
Kami jangkakan baginda akan memberikan tugasa kepada staf kejurulatihan untuk memahami satu falsafah bola sepak sebagai model asas.
Jadi, selepas ini, segala pemilihan pemain akan berdasarkan DNA taktikal yang ada. Adakah pemain-pemain ini ada DNA tersebut.
Ia juga mungkin akan diimplementasi di semua peringkat umur dalam skuad kebangsaan.
7. Kembalinya beberapa pemain dari persaraan
Ini mungkin agak naif untuk dibincangkan. Namun jika jurulatih skuad kebangsaan mahukan beberapa nama yang sudah bersara, rasanya mereka akan mempertimbangkan semula hal ini.
Harus diakui, realiti bola sepak di Malaysia masih terlalu sukar mencari pemain berkualiti sama ada untuk pasukan utama ataupun simpanan.
8. Pemilihan pemain
Telah banyak diperdebatkan isu pemilihan pemain utama. Mungkin selepas ini, mekanisme pemilihan ini akan lebih baik.
Pemilihan pemain berdasarkan merit persembahan termasuk minit perlawanan dan serta prestasi semasa yang cemerlang.
9. Piala Asia
Piala Asia akan menjadi keutamaan berbanding dengan kejohanan yang lain. Jadi, kita pastinya berharap era TMJ, kita mampu mara ke Piala Asia secara merit.
Agak tergesa-gesa untuk meletakkan Piala Asia yang akan datang misi utama. Ini kerana ia memerlukan perancangan yang sangat rapi serta kerja yang sangat banyak.
Kejohanan serantau iaitu Piala AFF akan menjadi topik ke-2 dan lebih kepada medan memberikan pemain muda pengalaman beraksi.
Piala AFF juga akan menjadi medan untuk pembentukan pasukan kebangsaan untuk agenda yang lebih besar.
Jadi, sudah tiba masanya pemain-pemain kita diajar dengan fikiran lebih berjiwa besar!
10. Sains sukan
Di JDT baginda telah berusaha untuk memperbaiki prestasi pemain dengan Sains sukan. Data kecergasan pemain dicatat.
Jadual latihan dan rehat pemain diperketatkan melalui sistem dan kepakarana staf mereka.
Pertambahan fasiliti untuk latihan untuk membantu pemain.
Itu antara 10 perkara yang kami jangkakan akan berlaku kepada pasukan kebangsaan kita di bawah Presiden FAM yang baru.
Anda bagaimana?
Baca juga: Zainal Abidin Hassan Dilantik Sebagai Jurulatih Baharu Pulau Pinang