EPL: Willian, Gabriel Pacu Kemenangan Sulung Arsenal Tundukkan Fulham

Arsenal EPL

Arsenal menjadi pasukan pertama meraih kemenangan dalam musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mudah menundukkan pendatang baharu, Fulham dengan keputusan 3-0 di Craven Cottage.

Dua pemain baharu yang membuat debut dalam perlawanan ini menjadi tunjang utama dengan Gabriel Magalhaes menjaringkan satu gol dan Willian pula terlibat secara langsung untuk ketiga-tiga gol The Gunners.

Penyerang Perancis, Alexandre Lacazette menjaringkan gol sulung EPL musim ini dengan rembatan dari jarak dekat selepas percubaan Willian diselamatkan penjaga gol, Marek Rodak seawal minit kelapan perlawanan.

Empat minit selepas bermula babak kedua, Gabriel membuktikan tag harga bernilai £23 juta yang dibayar kepada Lille ternyata amat berbaloi buat The Gunners dengan melebarkan pendahuluan buat pasukan pelawat hasil dari hantaran sepakan penjuru Willian.

Pierre-Emerick Aubameyang memastikan tiga mata penuh menjadi milik Arsenal dengan menyumbat gol ketiga pada minit ke-57 menerusi rembatan lencong selepas menerima hantaran dari Willian.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta terus memberikan kepercayaan kepada Granit Xhaka untuk mengemudi bahagian tengah pasukannya dan digandingkan dengan Mohamed Elneny.

Bernd Leno pula kembali sebagai penjaga gol utama dengan Emiliano Martinez dijangka meninggalkan pasukan untuk berhijrah pasukan baharu.

Arsenal selepas ini akan menjadi tuan rumah kepada West Ham United pada Sabtu akan datang untuk perlawanan EPL seterusnya sementara Fulham pula akan berkunjung ke Ipswich untuk perlawanan pusingan kedua Piala Carabao pada Rabu sebelum bertemu Leeds United pada Sabtu.

Kredit Foto: Arsenal

Baca juga artikel kami yang lain mengenai bola sepak Inggeris:

Leave a Reply