MSL 2020: PDRM Longlai Dilanyak Tok Gajah

Pahang PDRM MSL

Episod malang PDRM dalam saingan CIMB Liga Super (MSL) musim ini berterusan apabila tewas buat kali kelima selepas ditundukkan 2-0 oleh Pahang di Stadium Darul Makmur hasil jaringan Ivan Carlos dan Mohamad Faisal Abdul Halim.

Skuad Tok Gajah turun tanpa penyerang utama, Dickson Nwakaeme yang masih belum pulih daripada kecederaan lutut yang dialami ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan dikatakan bertambah serius selepas aksi menentang UiTM FC.

PDRM terpaksa membuat pertukaran awal apabila Mohammad Hidhir Idris dikeluarkan pada minit ketujuh kerana mengalami kecederaan digantikan dengan K. Satish.

Minit ke-21 Pahang beroleh dua peluang berturut-turut bermula dengan Faisal Halim yang bijak menyambut hantaran lambung Adam Reed berjaya mengawal bola melepasi kawalan dua pemain PDRM, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat, Wilfred Jabun.

Ia diikuti oleh percubaan Nik Muhammad Sharif Haseefey Mohd Lazim yang menerima hantaran Nor Azam Azih dari sepakan penjuru, namun rembatan pemain muda tersebut sekadar mengenai tiang.

Gawang skuad The Cops akhirnya bolos apabila penyerang import Pahang, Ivan Carlos melencong bola dengan kaki kirinya menerusi sepakan percuma untuk gol pembukaan perlawanan yang juga merupakan gol keempatnya musim ini.

Sekalipun ketinggalan dengan satu gol, PDRM tidak memberi laluan mudah buat pasukan tuan rumah untuk menambah gol dengan Wilfred Jabun cemerlang menafikan beberapa percubaan.

Minit ke-75, Faisal Halim mengubah kedudukan dengan menjaringkan gol kedua pasukannya bermula dengan umpanan Azam Azih yang melorongkan bola kepada pemain sayap lincah itu yang bijak mengatasi jangkauan penjaga gol kelahiran Sabah tersebut.

Pahang sedikit tersentak apabila PDRM kembali merapatkan jurang setelah sepakan penjuru Asri Mardzuki tertampan oleh Adam Reed masuk ke gawang sendiri untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Namun sehingga penghujung perlawanan, tiada tambahan jaringan berlaku dan pengadil Mohammad Zamzaidi Katimin meniupkan wisel penamat bagi memberi kelegaan buat Dollah Salleh.

Pahang yang sebelum ini tewas dua kali berturut-turut kepada JDT dan UiTM memperbaiki kedudukan dengan naik ke tangga kelapan dengan mengumpul sembilan mata selepas tujuh perlawanan.

PDRM pula masih gagal mencatat sebarang kemenangan dan masih kekal terperosok di dasar liga dengan -1 mata disebabkan hukuman penolakan tiga mata yang dikenakan sebelum musim bermula.

Kredit Foto: Pahang FA

Baca juga artikel kami yang lain mengenai bola sepak tempatan:

Leave a Reply