James Rodriguez: Everton Bersungguh-Sungguh Untuk Raih Kejayaan

James Rodriguez

Rekrut baharu Everton, James Rodriguez mengakui cita-cita The Toffees untuk menamatkan penantian panjang bagi menjulang piala telah menarik minatnya bagi menyertai kelab tersebut.

Tidak mendapat tempat di hati pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, pemain kelahiran Colombia itu memilih untuk menyertai Everton dengan yuran perpindahan bernilai £20 juta.

Keputusan yang boleh dikatakan mengejut itu menyaksikan James akan kembali bekerjasama dengan bekas pengurusnya ketika di Real Madrid dan Bayern Munich, Carlo Ancelotti.

Selain James, Everton turut menambah kekuatan pasukan dengan membawa masuk dua pemain tengah, Allan [Napoli] dan Abdoulaye Doucoure dari Watford.

Sehubungan dengan itu, pemain berusia 29 tahun itu merasakan Everton mampu untuk mencatatkan keputusan yang lebih baik di bawah kendalian Carlo Ancelotti pada musim ini.

”Saya datang ke sini untuk bersama kelab besar ini bagi mencapai sesuatu yang besar. Saya merasakan kelab ini begitu bersungguh-sungguh.”

”Kelab ini serius dalam menginginkan perkara yang baik berlaku. Kelab ini juga mempunyai banyak sejarah dan merupakan satu nama besar. Saya di sini untuk melakukan yang terbaik dan saya rasa kami mampu untuk melakukannya bersama-sama.”

”Terdapat ramai yang berfikiran serius dalam kelab ini pada tahap di mana mereka bertekad untuk mencapai kejayaan, dan ia bermakna untuk memenangi trofi.”

”Ia takkan berlaku dengan sekelip mata. Ia merupakan projek jangka panjang. Tetapi saya melihat ada tanda-tanda kami mampu untuk menunjukkan kemajuan. [Memenangi] trofi pastinya lebih daripada sekadar kemungkinan,” ujar James menurut laporan Goal.

Kredit featured image: Tony McArdle/Everton FC via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai James Rodriguez:

Leave a Reply