Jaringan minit akhir Eddie Nketiah memastikan penguasaan Arsenal dalam perlumbaan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Manchester United 3-2 di Stadium Emirates.
Kemenangan Manchester City ke atas Wolverhampton Wanderers dalam perlawanan lebih awal terus memberi tekanan kepada skuad kendalian Mikel Arteta.
Namun The Gunners terus menampilkan watak dan kualiti pendahulu liga untuk memastikan jarak lima mata daripada pesaing terdekat dengan satu perlawanan dalam tangan.
Aksi dramatik itu menyaksikan The Gunners bangkit daripada ketinggalan menerusi gol awal Marcus Rashford pada minit ke-17 sebelum Eddie Nketiah menanduk masuk gol penyamaan tujuh minit kemudian.
Bukayo Saka kembali meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-53 sebelum giliran Lisandro Martinez memastikan kedudukan kembali seimang enam minit kemudian.
Arsenal yang mendominasi sebahagian besar penguasaan bola terus melancarkan serangan bertali arus dan akhirnya mendapat gol kemenangan pada minit ke-89 menerusi Nketiah yang disahkan oleh pengadil bantuan video (VAR).