Ini Fakta Mengenai Salah Laku Juventus Sehingga Dihukum Potongan 15 Mata Oleh FIGC

Juventus 15 mata FIGC

Juventus telah ditolak 15 mata oleh Persatuan Bola Sepak Itali (FIGC). Tetapi apakah kesalahan yang dibuat oleh skuad Old Lady sehingga mendapat hukuman seberat itu?

Ia bersangkutan dengan perletakan jawatan ‘setandan’ diketuai Andrea Agnelli selaku presieden kelab bersama seluruh ahli lembaga pengarah pada November tahun lalu selepas berdepan tuduhan penipuan akaun dan manipulasi pasaran berkaitan beberapa urusan jual beli pemain.

Keputusan tersebut jauh lebih berat daripada hukuman pemotongan sembilan mata yang dijangka pasukan pendakwaraya yang meneliti kes berkenaan.

Dituduh Manipulasi Akaun Dan Pasaran, Presiden Juventus Serta Seluruh Lembaga Pengarah Letak Jawatan

Agnelli yang juga bekas pengerusi jawatankuasa kontroversi Liga Super Eropah juga telah digantung daripada terlibat dengan bola sepak Itali selama 24 bulan, sementara naib presiden Pavel Nedved pula berdepan hukuman selama lapan bulan.

Namun hukuman lebih berat menimpa Fabio Paratici yang kini menjawat selaku pengarah urusan bola sepak di Tottenham Hotspur yang digantung selama 30 bulan. Beliau merupakan bekas pengarah sukan di Juventus selama 11 tahun dari 2010 hingga 2021.

Lapan ahli jawatankuasa eksekutif lain yang menerima hukuman adalah Maurizio Arrivabene (24 bulan), Federico Cherubini, Paolo Garimberti, Enrico Vellano, Assia Venier, Caitlin Hughes, Daniela Marilungo dan Francesco Roncaglio (8 bulan).

Tidak seperti skandal gempar ‘Calciopoli’ yang menyaksikan Juventus tersingkir ke Serie B dan dilucutkan dua gelaran Serie A pada 2006, kesalahan kali ini adalah berkaitan dengan menipulasi penyata kewangan dan keuntungan modal atau kapital (capital gains) dan bukanlah isu rasuah.

Keuntungan kapital dalam industri bola sepak secara asasnya adalah berkaitan nilai keuntungan yang diperoleh daripada penjualan pemain dari satu kelab ke kelab yang lain.

Biaconeri didapati memalsukan nilai sebenar perpindahan pemain selain mendakwa pihaknya telah mengambil langkah penjimatan sehingga €90 juta (RM420 juta) dalam akaun gaji pemain semasa pandemik pada 2020 bagi membantu nilai kelab kekal stabil dalam pasaran saham.

Pihak pendakwaraya tidak berpuas hati dengan beberapa urusan jual beli Juventus dan mendapati terdapat transaksi meragukan termasuk urusan pertukaran pemain dengan Barcelona melibatkan pemain tengah Arthur Melo dan Miralem Pjanic.

Keseluruhannya sebanyak 62 perpindahan pemain yang disiasat, namun 42 daripadanya melibatkan Juventus. Kelab lain yang terlibat adala Sampdoria, Pro Vercelli, Genoi, Parma, Pisa, Empoli, Novara dan Pecara, namun semuanya telah dibebaskan daripada sebarang tuduhan salah laku.

Pasukan peguam yang mewakili Juventus pada Jumaat menegaskan pihaknya masih menunggu penjelasan bertulis daripada FIGC mengenai hukuman tersebut dan akan membuat rayuan.

Menurutnya Juventus menafikan sebarang salah laku terhadap perakaunan kelab dan menepati setiap piawaian industri.

Penolakan 15 mata telah menghumban Juventus ke tangga ke-10 Serie A. Dengan kedudukan kewangan dan reputasi yang telah runtuh bergelimpangan, pastinya pasukan ini berisiko untuk kehilangan bintang utama mereka jika peluang untuk beraksi di kejohanan Eropah semakin tipis.

Leave a Reply