EPL 2020/21: Mudah Buat Liverpool, Berpesta Jaringan Atasi Crystal Palace

Liverpool

Liverpool tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan kesembilan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 apabila membelasah Crystal Palace 7-0 pada aksi yang berlangsung di Selhurst Park, sebentar tadi.

Masih segar dengan kejayaan memanjat tangga teratas liga pada Khamis lalu, Liverpool tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Takumi Minamino yang menerima hantaran daripada Sadio Mane, melakukan rembatan rendah menewaskan penjaga gol, Vicente Guaita seawal minit ketiga.

Ia merupakan jaringan pertama Minamino dalam saingan liga sejak menyertai The Reds pada jendela perpindahan Januari 2019/20.

Tuan rumah yang kembali memperkemaskan aksi mendapat peluang terbaik pada minit ke-23 tetapi ‘cutback’ Jordan Ayew gagal mencari Wilfried Zaha tidak dikawal pertahanan Liverpool dalam kawasan penalti.

Crystal Palace terus kecewa setelah kesilapan Gary Cahill yang tidak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya memberikan peluang buat Mane untuk meledakkan rembatan padu sekali gus menghadiahkan gol kedua buat The Reds pada minit ke-36.

Ketika aksi babak pertama hanya tinggal seminit untuk ditamatkan, Firmino menyudahkan dengan tenang peluang hasil hantaran menarik dilakukan bek kiri, Andy Robertson menjadikan kedudukan 3-0.

Kelebihan tiga gol tersebut nyata masih belum cukup buat skuad bimbingan Jurgen Klopp itu yang mana mereka menambah empat lagi jaringan pada separuh masa kedua yang dimulakan dengan gol keempat menerusi rembatan luar kawasan penalti daripada ketua pasukan, Jordan Henderson pada minit ke-52.

Kemasukan Salah bagi menggantikan Mane juga jelas membuahkan hasil setelah tonggak utama kelahiran Mesir itu melakukan hantaran menarik pada minit ke-68 sekali gus memberikan peluang buat Firmino menyudahkan peluang dengan percubaan lambung membolosi Guaita.

Salah terus membuktikan kehebatannya apabila mencetak nama selaku penjaring keenam setelah tandukan susulannya ketika situasi sepakan sudut berjaya menghadiahkan gol keenam pada minit ke-81.

Berselang tiga minit kemudian, Salah melakukan percubaan lencong yang cukup menarik untuk membuatkan Guaita mengutip bola dalam gawangnya sendiri buat kali ketujuh pada perlawanan ini.

Liverpool di tangga teratas dengan 31 mata manakala skuad bimbingan Roy Hodgson itu pula di kedudukan ke-12 dengan 18 mata.

Kredit featured image: Clive Rose/Getty Images

 

 

Leave a Reply