“Emosi tak bertempat”. Itulah gambaran terbaik yang boleh diberikan kepada perbuatan segelintir penyokong Kuala Lumpur City FC yang bertindak menceroboh padang perlawanan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras selepas tamat perlawanan menentang Selangor FC pada malam tadi.
KL City FC berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama di dalam tempoh 29 tahun apabila berjaya menyingkirkan Selangor FC dengan agegat 3-0.
Kegembiraan penyokong menyambut kejayaan tersebut boleh difahami, namun perbuatan segelintir penyokong yang bertindak keterlaluan sehingga memasuki padang dan menyerbu ke arah pemain dan pegawai untuk turut meraikan kejayaan tersebut tidak sewajarnya berlaku – terutama ketika negara belum lagi pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.
Tindakan penyokong-penyokong tersebut jelas melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan dan Malaysian Football League (MFL) yang berusaha keras membenarkan penyokong kembali ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak setelah sekian lama tidak dibenarkan berbuat demikian sejak musim lalu.
Penyokong KL masuk padang! pic.twitter.com/IZZR4uxdzN
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) November 18, 2021
Bagaimana jika perbuatan mereka menyebabkan mana-mana pemain dan pegawai Kuala Lumpur dijangkiti virus C0vid-19? Itu adalah antara senario yang tidak difikirkan secara mendalam oleh segelintir penyokong ini.
Jika perkara tersebut berlaku, ia sudah pasti merugikan skuad warga kota itu sendiri. Setidak-tidaknya, mereka perlu mengambil ikhtibar daripada Negeri Sembilan FC yang terpaksa menarik diri daripada pertandingan Piala Malaysia pada awal saingan musim ini selepas beberapa pemain dan pegawai dijangkiti virus tersebut.
Sekiranya perkara sama berlaku kepada skuad kendalian Bojan Hodak, maka perjuangan sehingga berjaya mara ke separuh akhir pada musim ini hanya akan menjadi sia-sia. Satu perkara yang pasti, KL City FC sebagai sebuah kelab berkemungkinan terpaksa berhadapan denda dan hukuman kerana perbuatan tidak sepatutnya oleh penyokong sendiri.
Rekod cemerlang KL City FC
Selepas menang 2-0 di tempat lawan pada hujung minggu lalu, Kuala Lumpur City tetap beraksi dengan cemerlang dalam perlawanan timbal balik pada malam tadi untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir.
Skuad warga kota itu mengesahkan kemaraan ke peringkat seterusnya melalui jaringan tunggal Romel Morales pada minit ke-51 perlawanan sekaligus menewaskan seteru setempat mereka itu dengan agregat 3-0.
DARE TO DREAM.
20 matches unbeaten at home ✅
Unbeaten in Klang Valley ✅
First double over Selangor in 1992 🔥
First Malaysia Cup semifinal in 29 YEARS 🔥#KLCityFC #PrideofKL #morethanaclub pic.twitter.com/gYmhX7LaTc
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) November 18, 2021
Kemenangan 1-0 di Cheras pada malam tadi bermakna juara tiga kali Piala Malaysia itu tidak tewas dalam 20 perlawanan di tempat sendiri pada musim ini.
Bukan sahaja mereka berjaya menyingkirkan seteru setempat, Selangor FC sebagai sebuah pasukan yang lebih gah di atas kertas, KL City FC turut tidak ditewaskan oleh lawan mereka itu sepanjang musim ini – selain dua kemenangan di Piala Malaysia.
Setakat ini belum ada sebarang kenyataan daripada MFL mengenai insiden di Cheras. Tatkala KL City FC meraikan kejayaan melangkah ke separuh akhir, sebarang bentuk hukuman atau denda kerana perbuatan yang tidak sepatutnya oleh penyokong sendiri pasti menjadi perkara yang membuatkan kerainan itu sedikit ralat.