Piala Malaysia: Serangan Terengganu Terlalu Ampuh Untuk Sarawak United

Piala Malaysia 2021

Terengganu nyata lebih bersedia pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia kali ini apabila tidak berdepan masalah untuk membenam terus cabaran tuan rumah, Sarawak United di Stadium UiTM Shah Alam dengan keputusan 4-2 dan agregat keseluruhan 6-3.

Seawal permainan lagi menyaksikan pemain tengah pelawat, Dechi Marcel melakukan percubaan namun tersasar jauh dari gawang lawan.

Tidak menunggu lama, hasil gerakan licik daripada Faiz Nasir di sebelah kanan berjaya mencipta satu hantaran cantik untuk disudahkan oleh penyerang utama, Jordan Mintah seawal minit ke-2.

Jelas tuan rumah, Sarawak United dilihat tertekan dalam menyerap asakan awal pelawat dengan kelicikan pemain seperti Faisal Halim, Dechi Marcel, dan Faiz Nasir.

Tidak sempat untuk tuan rumah kembali mengatur gerakan, sekali lagi mereka tersentak dengan gol cantik daripada Faisal Halim setelah menerima satu umpanan menarik daripada Marcel pada minit ke-11.

Setelah itu intensiti permainan sedikit diturunkan oleh Terengganu yang dilihat lebih santai menguasai perlawanan. Sebaliknya Sarawak United dilihat buntu untuk mencipta sebarang gerakan.

Sandro Da Silva dan S. Chanturu cuba menggerakkan serangan namun sering dipatahkan lawan. Lebih malang, pasukan ini juga menerima kad kuning pada minit ke-10 setelah Amer Saidin menarik Dechi Marcel.

Pada minit ke-15, Faisal Halim hampir-hampir menambah gol kedua namun sedikit tersasar. Enggan membiarkan daripada terus ditekan, Sarawak United sesekali menyerang menerusi Uche Agba namun rembatan beliau amat lemah dan mudah diselamatkan pada minit ke-16.

Di sebalik kerancakan pelawat menyerang, sesekali Sarawak United berjaya juga mencipta beberapa gerakan namun acapkali terhalang dengan disiplin pertahanan Terengganu FC.

Percubaan terbaik mereka hadir menerusi Mat Yo yang berjaya melakukan satu tandukan yang cantik namun tepat ke penjaga gawang, Suhaimi Husin.

Sebelum keputusan dijangka kekal dengan dua gol berpihak kepada pelawat, sekali lagi Faiz Nasir mencuri tumpuan dengan meledak gol ketiga pasukan untuk mengukuhkan kedudukan separuh masa pertama dengan Terengganu FC 3-0 Sarawak United.

Bersambung di separuh masa kedua, anak buah Nafuzi Zain nyata tidak mengendurkan asakan malah mereka terus melakukan tekanan di kubu pertahanan lawan. Gandingan Faiz Nasir, Faisal Halim, dan Mintah nyata terlalu ampuh untuk dipatahkan lawan.

Positif pada separuh masa kedua buat anak buah E. Elavarasan ini apabila mereka lebih berani dan cuba mengimbangi perlawanan menerusi serangan balas yang sering dijana oleh Chanturu dan Sandro.

Beberapa siri percubaan juga dilakukan oleh Terengganu namun lawan dilihat lebih bersedia kali ini untuk menyerap asakan dengan lebih baik.

Sesekali Mat Yo berjaya mendapat peluang untuk menguji penjaga gol Terengganu namun percubaan beliau pada minit ke-57 sedikit tersasar. Chanturu juga mempunyai peluang keemasan namun rembatan beliau tepat ke sasaran penjaga gol.

Di saat tuan rumah semakin mendapat keyakinan untuk mara lebih jauh, hadir Jordan Mintah untuk sekali lagi menghukum kealpaan benteng pertahanan apabila mudah melepaskan rembatan gol pada minit ke-63 setelah umpanan baik diberikan oleh Arif Fadzilah.

Enggan mengalah, Sarawak United akhirnya berjaya mendapat gol semangat buat pasukan mereka pada minit ke-70 setelah rembatan Sandro dari luar petak penalti tidak dikawal oleh pertahanan lawan.

Tatkala Terengganu FC dilihat sedikit mengendurkan asakan dengan menukar beberapa pemain, tuan rumah mengambil peluang untuk menambah satu lagi gol menerusi Agba pada minit ke-88.

Keputusan kekal dengan Terengganu berjaya menewaskan Sarawak United di tempat lawan dengan jaringan 4-2. Terengganu mara ke separuh akhir setelah keputusan agregat berpihak kepada anak buah Nafuzi Zain dengan keputusan 6-3.

Terengganu bakal berdepan cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT) di separuh akhir apabila lawan mereka berjaya menewaskan Kedah Darul Aman dengan keputusan penuh 1-0 di laman sendiri.

Keputusan penuh termasuk agregat, Terengganu FC 6-2 Sarawak United.

Kesebelasan utama

Sarawak United: Sharbinee Allawee (penjaga gol) Zahril Azri, Tommy Mawat, Norshahrul Idlan Talaha, Sandro Da Silva, Khair Jones, Stuart Wark,Uche Agba (ketua pasukan), S. Veenod, Amer Saidin, S. Chanturu

Terengganu: Suhaimi Husin (penjaga gol), Arif Fadzilah, Shahrul Nizam, Faisal Halim, Faiz Nasir, Argzim Redzovic (ketua pasukan), Azarul Nazarith, Dechi Marcel, Zuasyraf Zulkiefle, Jordan Mintah, Habib Haroon

Leave a Reply