Penjaga gol Arsenal, Emiliano Martinez mempunyai pendapat berbeza berbanding sebahagian besar penyokong The Gunners yang seringkali mempertikaikan kredibiliti duo pemain pertahanan, David Luiz dan Shkodran Mustafi.
Kedua-dua pemain tersebut terutamanya Luiz menjadi sasaran kritikan ramai susulan prestasi kurang meyakinkan dipamerkannya.
Kemuncak kemarahan penyokong Arsenal meletus pada aksi menentang Manchester City tempoh hari yang menyaksikan Luiz telah melakukan kesilapan sehingga menyebabkan The Cityzens berjaya mendapatkan dua gol, bulan lalu.
Martinez yang mengisi kekosongan penjaga gol utama susulan kecederaan dialami Bernd Leno bagaimanapun mengakui dirinya berasa selesa berada di belakang dua pertahanan tumpuan tersebut.
Kenyataan itu ada asasnya apabila Arsenal tidak dibolosi pada perlawanan menentang Norwich City dan Wolverhampton Wanderers di mana Mikel Arteta menurunkan Luiz dan Mustafi di kesebelasan utama.
”Sekarang, kami memiliki struktur, perancangan dan pengurusan permainan serta pertahanan juga kelihatan semakin kukuh dan kuat.”
”Percayalah, David [Luiz] dan Musti [Mustafi] merupakan pemain yang hebat. David berada di tahap tertinggi sejak bertahun-tahun dan begitu juga dengan Musti.”
”Kadangkala apabila anda melakukan kesilapan di kelab besar, anda akan dikenakan hukuman. Bersama Arsenal, orang sentiasa menyalahkan pertahanan apabila tewas.”
”Tetapi saya berasa cukup selamat berada di belakang mereka berdua,” ujar Martinez menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Mereka mempunyai pengalaman dan sentiasa berkomunikasi pada keseluruhan perlawanan. Apabila anda bermain di belakang mereka, anda akan merasakan tidak seperti yang orang lain katakan. Ia tidak, ‘oh, mereka melakukan kesilapan, mereka tidak tahu bagaimana untuk bermain bola’.”
”Saya berasa cukup selamat dan pada ketika ini kami telah mencatatkan tiga ‘clean sheets’ sekembalinya saingan Liga Perdana Inggeris, orang ramai telah mula mengatakan pertahanan kami sebenarnya kukuh,” tambah Emiliano Martinez lagi.