Siapa ‘Ejen’ Di Sebalik Pengakuan Kalonda Kononnya Berdarah Malaysia?

Marcel Kalonda Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah pun mengesahkan pihaknya tidak akan memproses permohonan Marcel Kalonda yang kononnya berdarah kacukan Malaysia menerusi bapa dan datuknya untuk mewakili skuad Harimau Malaya.

Keputusan itu dibuat selepas semakan dan siasatan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapatkan satu daripada dokumen yang telah dihantar oleh pemain kelahiran Repulik Congo itu didapati mengandungi maklumat yang tidak sahih.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, beliau memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan seperti memalsukan dokumen kewarganegaraan Malaysia dan kedaulatan negara.

“Selepas cerita mengenai Kalonda dikatakan memiliki darah campuran Malaysia ini heboh diperkatakan di media sosial dan disusuli pula laporan berita memetik Kalonda sendiri yang mendakwa bapa dan datuknya berasal dari Sabah,” ujar Stuart.

“Langkah pertama diambil FAM adalah menghubungi sendiri Kalonda bagi mendapatkan pengesahan daripadanya. Selepas menghubungi Kalonda untuk memaklumkan hasil semakan dan siasatan JPN itu, FAM dengan ini membuat keputusan untuk menutup terus proses dan langkah berikutnya.

“FAM cukup tegas dalam proses pengesahan status pemain dan kami tidak memandang ringan syarat dan kaedah yang perlu dipatuhi sebelum pakar-pakar teknikal melakukan penilaian terhadap tahap dan prestasi pemain berkenaan.”

Persoalannya kini terarah kepada siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan berita mengatakan Kalonda mempunyai kaitan dengan negara ini?

Ada laporan mengatakan terdapat seorang pengguna Twitter yang sebenarnya menjadi ‘ejen’ kepada Kalonda yang cuba mengaut keuntungan dengan mendapat ‘komisyen’ sekiranya permohonan pemain tersebut diluluskan oleh FAM.

Dikatakan ‘ejen’ tersebut membuat carian menerusi permainan ‘Football Manager’ untuk mengesan mana-mana pemain yang ada ‘bau-bau bacang’ dengan Malaysia, kemudian cuba menghubungi pemain tersebut dan menawarkan khidmatnya.

Sekiranya dakwaan ini benar, diharapkan semua pihak bermula dari FAM, pihak media dan pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati dan tidak terlalu ghairah dan teruja sekiranya perkara seperti ini terjadi lagi pada masa akan datang.

SemuanyaBOLA sebelum ini lebih awal lagi mempersoalkan kewajaran untuk ‘mengangkat’ pemain yang tidak diketahui lagi kemampuannya untuk secara tiba-tiba dipanggil mewakili Malaysia.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai pemain warisan:

Leave a Reply