Marco Tronchetti: Pirelli Akan Bantu Inter Milan Dapatkan Lionel Messi

Pirelli

Penaja utama Inter Milan, Pirelli dikatakan berminat untuk membantu kelab tersebut sekiranya I Nerazzurri mahu mendapatkan khidmat bintang bola sepak dunia, Lionel Messi.

Perkara menarik tersebut telah disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pengeluar tayar yang berpengkalan di Itali itu, Marco Tronchetti.

Tronchetti mengakui pihaknya tidak berdepan masalah untuk membantu tetapi menegaskan bahawa Presiden Inter Milan, Steven Zhang sendiri perlu untuk berusaha bagi merealisasikan impian tersebut.

Masa depan Messi di Barcelona terus menjadi tanda tanya dan khabar angin semakin kuat kedengaran yang mengatakan pemenang enam kali Ballon d’Or itu akan meninggalkan Nou Camp sebaik sahaja kontraknya tamat pada 2021.

Sehubungan dengan itu, Inter Milan menjadi salah sebuah pasukan yang sememangnya cukup berminat untuk mendapatkan khidmat legenda hidup The Blaugrana kelahiran Rosario tersebut.

Musim 2019/20 menyaksikan Messi kini mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 22 gol dan berjaya mencipta 19 bantuan jaringan dalam kempen La Liga.

”Sejujurnya pada waktu seperti ini, kami tidak boleh melabur dalam sukan lebih daripada yang kami ada, antara Formula 1, Piala Amerika dan Inter Milan.”

”Kami perlu bercakap dengan Steven Zhang dan memintanya untuk berusaha sendiri.”

”Kami boleh membantu Inter, tetapi kami tidak boleh melakukan sesuatu yang lebih signifikan buat kelab ini,” ujar Tronchetti menurut laporan Goal.

Untuk pengetahuan anda, Pirelli telah menjadi penaja buat Inter Milan sejak musim 1995/96. Ia membuatkan jenama tersebut begitu sinonim dengan kelab yang kini dibimbing oleh Antonio Conte itu.

Menurut laporan media barat, perjanjian di antara kedua-dua pihak dikatakan akan berakhir pada penghujung musim hadapan dan berkemungkinan Pirelli akan digantikan dengan syarikat hartanah China, Evergrande Group.

Kredit featured image: Etsuo Hara/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Lionel Messi:

Leave a Reply