Pertahanan kental Indonesia iaitu Elkan Baggott sekali lagi mencuri tumpuan dalam karier bola sepak profesional beliau di England selepas merekodkan satu gol ketika aksi Carabao Cup.
Nama Baggott bukan lagi sesuatu yang asing dalam arena bola sepak di England, selepas beliau sudah pun merekodkan banyak keputusan sangat positif sejak beberapa musim lalu.
Lebih menarik, musim ini Baggott kembali menyertai saingan Championship iaitu divisyen kedua di England bersama Ipswich Town, namun beliau masih belum diberi peluang bermain dalam kejohanan tersebut lagi.
Terbaharu, Baggott mencipta rekod sebagai satu-satunya pemain Indonesia yang menjaringkan gol dalam saingan Carabao Cup, ketika pasukan diwakilinya tewas di tangan Fulham hasil keputusan penuh 1-3 menerusi perkongsian Bola.com.
Baggott yang diturunkan selaku pemain simpanan tidak mengambil masa yang lama untuk memberi impak pada aksi 16 pasukan terbaik itu selepas menjaringkan gol pada minit ke-79.
Walaupun begitu, gol tersebut dianggap tidak bermakna buat Ipswich Town yang sebelum itu telah pun dibolosi tiga gol hasil jaringan Harry Wilson, Rodrigo Muniz, serta Tom Cairney.
Kekalahan tersebut menjadikan Ipswich Town gagal untuk mara lebih jauh dalam saingan ini selepas tersekat di peringkat 16 terbaik sahaja.
Jaringan serta prestasi memuncak Baggott itu sudah tentu menggembirakan pengendali Indonesia iaitu Shin Tae-yong yang sudah tentu menagih magis daripada pertahanan tersebut untuk saingan kelayakan Piala Dunia bulan November ini.
Apa tidaknya, sebelum ini Baggott dilaporkan mengalami sedikit kecederaan ketika bersama skuad kebangsaan tersebut bagi aksi bertemu Brunei bulan lalu.
Kehadiran pertahanan tersebut sangat ditagih Indonesia kerana mereka bakal menghadapi dua perlawanan getir bulan ini untuk menentang Iraq serta Filipina.
Bawah kendalian Shin, jelas Baggott menjadi pilihan utama jurulatih tersebut untuk beraksi dalam kesebelasan utama dan berjaya mencipta kombinasi mantap bersama seorang lagi pertahanan kental Indonesia, Jordi Amat.
Baggott bukan sahaja memiliki kualiti daripada segi bacaan tepat dalam perlawanan untuk menghalang serangan-serangan dicetuskan oleh pasukan lawan, malah beliau turut memiliki kekuatan fizikal untuk menyaingi mana-mana pemain.
Selain itu, pertahanan tersebut juga turut mempunyai ketajaman di hadapan gol menerusi situasi bola mati, selepas beliau bijak menyudahkan umpanan serta peluang terhidang.