10 Pemain Terbaik EPL Berdasarkan Statistik Terkini Masing-Masing

Erling Haaland, Mohamed Salah, Bukayo Saka dan Ollie Watkins antara nama yang disenaraikan sebagai 10 pemain terbaik dalam saingan Premier League musim ini menurut laporan statistik mereka.

Dengan semua kelab dari saingan Premier League sudah menghabiskan 10 perlawanan pertama mereka, jelas sekali terlalu banyak hal menarik yang dapat disaksikan oleh peminat.

Kejayaan Ange Postecoglou menjadikan skuad Tottenham Hotspur sekarang sebagai antara skuad terbaik di England juga dianggap antara yang menarik dan sangat mengejutkan.

Apa yang lebih menarik lagi, beliau berjaya memimpin Spurs untuk mendahului carta saingan liga walau tanpa khidmat legenda kelab, Harry Kane.

Erik ten Hag sementara itu turut mengejutkan ramai pihak selepas skuadnya dilihat antara yang paling tidak berprestasi dalam saingan Premier League pada ketika ini.

Beliau gagal untuk mengekalkan tahap kecemerlangan skuadnya pada musim lalu pada musim ini dengan United sudah beberapa kali diaibkan dan jelas sekali hal tersebut mengecewakan peminat.

Selain dari prestasi berpasukan, tidak dinafikan juga ramai pemain yang menunjukkan peningkatan yang sungguh luar biasa dahsyat sepanjang awal musim ini.

Ketika ada pemain yang menunjukkan peningkatan pada prestasi mereka, jelas sekali ada juga pemain yang sedang tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka pada ketika ini.

Pemain seperti Erling Haaland dan Mohamed Salah jelas sekali sentiasa konsisten setiap musim dan hal itu sememangnya tidak mengejutkan sesiapa.

Walau bagaimanapun, ada juga pemain-pemain lain, yang sebelum ini biasa-biasa saja, namun musim ini mereka menunjukkan peningkatan prestasi yang sungguh menakjubkan.

The experts dan WhoScored telah merangkumkan rating setiap pemain berdasarkan statistik terkini kesemua pemain yang beraksi dalam saingan Premier League musim ini.

Berikut merupakan senarai 10 pemain yang sedang berada di tahap persembahan terbaik mereka berdasarkan statistik terkini.

10) Solly March (Brighton) – 7.43

Solly March tidak dinafikan lagi sememangnya antara nadi terpenting skuad Brighton sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Ketika bekas rakan sepasukan seperti Alexis MacAllister dan Moises Caicedo telah berpindah menyertai kelab lain, March kini menjadi pemain harapan untuk Roberto De Zerbi.

Aksi hebat yang beliau persembahkan sepanjang musim ini membantu beliau untuk berada di kedudukan ke-10 dalam senarai ini, selepas beliau merekodkan rating 7.43.

Tidak diragukan lagi, empat kali penglibatan beliau dalam jaringan untuk skuad Brighton memainkan peranan besar membawa beliau ke kedudukan 10 pemain terbaik dalam senarai ini.

Bukan hanya itu, statistik lain juga menunjukkan beliau layak untuk berada dalam senarai ini seperti statistik percubaan dari dalam kotak penalti, hanya Haaland sahaja dari semua pemain dalam senarai ini yang mencatatkan statistik lebih baik berbanding Solly March.

9) Ollie Watkins (Aston Villa) – 7.46

Musim lalu, Ollie Watkins sebenarnya telah melalui musim terbaik sepanjang kariernya dalam saingan Premier League selepas beliau meledak 15 gol dan mencatatkan enam assists untuk Aston Villa.

Ketibaan Unai Emery di Villa Park jelas sekali telah memberikan impak yang sungguh dahsyat dalam persembahan bekas bintang Brentford itu.

Pemain serangan yang baru sahaja menandatangani kontrak bersama kelab sehingga 2028 itu setakat ini sudah terlibat dengan 10 gol Aston Villa.

Walau sudah menandatangani kontrak baru bersama kelab, namun sepertinya hal itu tidak akan menghalang kelab-kelab besar Eropah dari berusaha untuk mendapatkan khidmatnya.

Walau berada di kedudukan ke-9, namun statistik yang dicatatkan oleh Watkins sebenarnya sama sahaja dengan pemain yang berada di kedudukan kelapan dalam senarai ini.

8) Kieran Trippier (Newcastle) – 7.46

Kieran Trippier tidak dinafikan lagi sememangnya dianggap sebagai antara nadi penting sebalik revolusi Newcastle United pada ketika ini.

Beliau merupakan antara pemain terawal ditandatangani oleh Newcastle ketika di bawah pemilik baharu dan Trippier konsisten mempamerkan aksi persembahan terbaik sehingga hari ini.

Sejak kembali ke England dari Sepanyol, Trippier sentiasa mempamerkan aksi persembahan yang menakjubkan dan mendapatkan rating tertinggi dari semua pemain dalam skuad The Maggie.

Dengan mencatatkan statistik 1.5 tackle setiap perlawanan, dan mencatatkan enam assists setakat ini, Trippier telah menunjukkan kualiti sebenar untuk menjadi seorang pemain full back terbaik dunia.

Aksi hebat beliau bukan hanya membantu Newcastle untuk mara lebih jauh, namun beliau juga telah memberi saingan yang sangat sengit kepada Trent Alexander Arnold dan Reece James dalam merebut tempat untuk skuad kebangsaan England.

7) Eberechi Eze (Crystal Palace) – 7.48

Persembahan mantap beliau bersama Crystal Palace telah membantu Eze untuk lebih dikenali dan menjadi antara pemain terbaik di Eropah pada ketika ini.

Walaupun beliau baru menjaringkan satu gol sahaja untuk Palace musim ini, namun harus diakui impak beliau bersama The Eagles sememangnya sungguh menakjubkan.

Beliau merupakan antara nadi penting untuk jentera serangan Palace dengan Eze mencatatkan 3.9 percubaan setiap perlawanan, 2.6 hantaran tepat setiap perlawanan dan 3.9 gelecekan setiap perlawanan.

Terdapat banyak spekulasi berkait masa depan beliau bersama kelab, dengan Manchester City dan Chelsea antara yang paling berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

6) Son Heung-Min (Tottenham) – 7.50

Tekanan jelas sekali berada pada bintang Korea Selatan ini, apatah lagi selepas Harry Kane pergi meninggalkan kelab.

Pada musim 2022/23 yang lalu, Son jelas sekali tidak berada di tahap persembahan terbaiknya dan ramai peminat risau beliau akan gagal untuk mendapatkan semula rentak persembahan cemerlangnya pada musim baru ini.

Son berjaya menjaringkan lapan gol dari 10 perlawanan, dan jelas sekali gandingan beliau bersama James Maddison merupakan faktor terpenting sebalik kejayaan Spurs mendahului carta saingan liga pada ketika ini.

Beliau juga berpotensi untuk mencipta sejarah menjadi ketua pasukan Spurs yang akan menjulang gelaran Premier League pertama mereka.

5) Mohamed Salah (Liverpool) – 7.58

Tidak ada fakta yang boleh menafikan kehebatan Mo Salah bersama Liverpool sejak dari awal beliau tiba di bumi Anfield.

Pernah dianggap sebagai ‘One season Wonder’ Mo Salah berjaya menafikan hal tersebut dengan beliau konsisten pamer aksi cemerlang setiap musim.

Walau sudah ketiadaan Firmino dan Mane, Mo Salah tetap tajam di hadapan gol dengan beliau sudah terlibat dengan 12 gol jaringan Liverpool dari 10 perlawanan.

Persembahan beliau jelas sekali memberi tekanan kepada pemain seperti Nunez, Gakpo dan Jota dalam merebut tempat sebagai kesebelasan utama The Reds.

Jurgen Klopp juga turut sangat berharap agar Salah konsisten agar harapan Liverpool untuk kembali ke saingan Champions League musim hadapan semakin cerah.

4) Rodri (Manchester City) – 7.59

Rodri membuktikan yang beliau merupakan pemain yang paling tepat untuk menggantikan Fernandinho di Etihad.

Penyokong The Citizens sebelum ini beranggapan yang mereka sukar untuk mendapatkan pengganti legenda Brazil itu dan hal itu turut membimbangkan Pep Guardiola.

Rodri walau bagaimanapun telah berjaya mempamerkan aksi persembahan yang sungguh dahsyat dan tidak keterlaluan juga untuk menganggap beliau sebagai nadi sebalik kejayaan Man City pada ketika ini.

Beliau cemerlang mencatatkan 94.3% ketepatan hantaran dan 2.3 tackles setiap perlawanan dan hal itu membuktikan betapa pentingnya peranan beliau dalam sistem kendalian Pep Guardiola.

Ketika seseorang pemain yang tidak menjaringkan gol berada dalam senarai ini, sudah tentu semua tahu yang beliau ada kemampuan lain yang lebih menakjubkan untuk dinilai.

3) Erling Haaland (Manchester City) – 7.62

Menjaringkan gol sepertinya sudah menjadi satu kewajipan untuk Erling Haaland dengan bintang Norway itu konsisten menjadi mesin peledak gol untuk The Citizens.

Selepas memecah pelbagai rekod melibatkan jaringan dalam saingan Premier League, bekas bintang Borussia Dortmund itu sepertinya sama sekali tidak menunjukkan tanda-tanda beliau akan berehat seketika dari menjaringkan gol.

Haaland setakat ini sudah berjaya menjaringkan 11 gol dari 10 perlawanan, dengan beliau turut mencatatkan statistik 3.9 percubaan setiap perlawanan.

Agak sukar untuk meramal berapa gol yang akan mampu Haaland jaringkan selepas 38 perlawanan nanti, namun satu hal yang pasti, beliau masih belum berada di tahap persembahan terbaiknya lagi.

2) Bukayo Saka (Arsenal) – 7.67

Arsenal pada ketika ini sedang berada di kedudukan kedua dalam carta saingan Premier League, dengan mereka hanya dua mata sahaja di belakang Tottenham Hotspur.

Apa yang lebih menarik lagi, Saka juga turut berada di kedudukan kedua dalam senarai ini, juga di belakang bintang Tottenham Hotspur.

Saka jelas sekali merupakan pemain yang paling berperanan sebalik kecemerlangan Arsenal pada ketika ini, dan hal itu sudah boleh dilihat sejak dari awal kariernya bersama skuad senior Gunners.

Kualiti yang ada pada pemain sayap itu tidak boleh diragukan lagi dan kerana itulah beliau menjadi antara pemain yang paling disayangi oleh peminat.

Selain Mo Salah, Saka jelas sekali merupakan antara pemain sayap terbaik dalam saingan Premier League sejak beberapa musim kebelakangan ini.

1) James Maddison (Tottenham) – 7.72

Agak mengejutkan untuk melihat persembahan James Maddison bersama Tottenham Hotspur musim ini, apa lagi ketika memikirkan beliau datang dari pasukan yang tersingkir pada musim lalu.

Satu hal yang pasti, Maddison sememangnya seorang pemain yang sangat berkualiti dan tidak mengejutkan juga untuk melihat ada kelab gergasi yang mengejar beliau sebaik melihat Leicester tersingkir.

Namun tidak ada sesiapa juga yang mampu percaya beliau mampu mempamerkan aksi secemerlang ini bersama Spurs, dan tak keterlaluan juga untuk menganggap tiada penyokong Tottenham yang yakin dengan kemampuan beliau ketika awal Maddison ditandatangani.

Tiga gol, lima assists, 85.1% ketepatan hantaran dan 3.1 key passes merupakan antara statistik yang mampu dicatatkan oleh bekas bintang Norwich City itu.

Beliau sepertinya berjaya memenuhi kriteria dalam sistem kendalian Ange Postecoglou dan Maddison jelas sangat bersinar beraksi di bawah pengurus barunya itu.

Seandainya Maddison mampu konsisten, tidak akan mengejutkan sama sekali untuk melihat beliau bakal mampu membantu Spurs untuk menjuarai saingan Premier League musim ini.

Ada atau tidak pemain lain yang mungkin tidak mencatatkan statistik cemerlang tetapi berhak untuk dianggap sebagai pemain terbaik Premier League musim ini? Jika ada sila bincangkan di ruangan komen.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN