Fakrul Aiman Sidid mungkin bukanlah nama besar dalam arena bola sepak Malaysia. Tetapi jika ditanya bagaimana Kuala Lumpur (KL) City boleh melangkah jauh di kejohanan Piala AFC pada musim ini, pemain berusia 33 tahun inilah salah seorang penyumbang utama kepada kejayaan tersebut.
Kerap kali diberi peranan sebagai ‘super sub’, tandukannya pada minit-minit akhir perlawanan separuh akhir antara zon pada bulan lalu memusnahkan kebangkitan kelab India, ATK Mohun Bagan dan sekaligus memahat sejarah baharu buat skuad ibu kota itu di pentas Asia.
https://twitter.com/ElevenSportsSEA/status/1567553412027543552?s=20&t=FCdRGFLBlfuifc3_3z2NgQ
Dalam temubualnya bersama Semuanya BOLA, Fakrul Aiman mengakui jaringan tersebut merupakan momen terbaik dalam kariernya yang selama ini kurang diberi perhatian oleh peminat bola sepak tanah air.
Impak pasukan ‘mee segera’
Pasukan UPB-MyTeam pernah mewarnai Liga Malaysia (Liga-M) satu masa dahulu. Ia bermula dengan program MyTeam, iaitu pasukan yang dibentuk pada 2006 dari sebuah rancangan realiti dengan hasrat mencetuskan revolusi bola sepak tempatan.
Selepas hampir mengejutkan pasukan pilihan Malaysia bimbingan K. Rajagopal, pasukan ini dijemput untuk menyertai Liga Premier.
Hasil kerjasama dengan syarikat United Plantations Berhad (UPB), maka terbentuklah pasukan UPB-MyTeam dan Bojak Hodak dipilih sebagai ketua jurulatih untuk mengharungi musim 2006/07.
Walaupun pernah dilabel sebagai projek ‘mee segera’ oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ibrahim Saad, pasukan ini telah menamatkan musim pertamanya sebagai naib juara Liga Premier di belakang PDRM, seterusnya dipromosi ke saingan Liga Super 2007/08.
Kelana budak Tumpat ke ibu kota
Walaupun berasal dari Kelantan, Fakrul Aiman tidak pernah bermain untuk negeri kelahirannya. Selepas tamat tingkatan enam di Tumpat. Beliau memberanikan diri untuk hadir ke pilihan terbuka UPB-MyTeam di Kuala Lumpur.
“Ada rakan saya beritahu UPB-My Team sedang cari penyerang. Rezeki saya terpilih dan saya sertai My-Team tahun 2008 bermula dengan skuad Piala Belia,” ujarnya.
“Dari skuad Piala Belia, saya dinaikkan ke Piala Presiden. Selepas hanya dua atau tiga perlawanan, Bojan [Hodak] terus panggil ke pasukan senior.”
Ia ibarat batu loncatan buat Fakrul Aiman apabila beliau berpeluang untuk beraksi di samping beberapa nama besar seperti Norshahrul Idlan Talaha, Juzaili Sameon, Kaironnisam Sahabudin, Shakri Shaari, Stanley Bernard dan ramai lagi.
Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Akibat masalah kewangan yang serius, UPB-MyTeam akhirnya dibubarkan pada penghujung 2009 dan memaksa Fakrul meninggalkan dunia bola sepak buat seketika.
Selama tahun, beliau bekerja sebagai ‘budak pejabat’ bersama RapidKL. Tetapi mungkin mungkin sudah ditakdirkan jodohnya dengan bola sepak terlalu kuat.
“Semasa di RapidKL, bos saya itu pernah menguruskan pasukan KL Plus. Jadi dia beritahu nak bentuk pasukan beraksi di Liga FAM. Mungkin sudah rezeki saya dapat bermain bola semula pada 2011.
“Kemudian tahun berikutnya saya beraksi di Liga Perdana dengan pasukan POS Malaysia, tetapi untuk Piala Malaysia saya telah dipinjamkan ke PKNS. Kalau ingat pada masa itu, peraturan FAM membenarkan setiap pasukan meminjam tiga pemain dari pasuakn yang tidak layak beraksi di Piala Malaysia.
“Jadi untuk musim 2013 saya terus tandatangan kontrak tetap selama dua tahun dengan PKNS dan dapat beraksi di Liga Super. Kemudian pada 2015 saya kembali ke Liga Premier bersama POS Malaysia yang menukar nama kepada DRB-Hicom.
“Pertengahan musim 2016, saya berpindah pula ke PDRM, naik semula ke Liga Super. Semasa itulah boleh dikatakan kemuncak prestasi saya sehingga mendapat panggilan menyertai skuad kebangsaan di bawah Datuk Ong Kim Swee.”
Penampilan Fakrul Aiman bersama skuad kebangsaan hadir pada Ogos 2016 apabila beliau dimasukkan pada minit ke-77 menggantikan Amri Yahyah yang menyaksikan Malaysia tewas 3-0 kepada Indonesia
Penampilan keduanya aksi menentang Afganistan pada Oktober 2016 dan ia merupakan kali terakhir khidmatnya ditagih skuad Harimau Malaya.
“2017 saya ke Felda United selama semusim. Kemudian ke Negeri Sembilan, balik semula ke PDRM,” tambahnya lagi.
“Sehinggalah saya dirisik oleh coach Nidzam Adha untuk sertai Kuala Lumpur di Liga Premier pada musim 2020. Pada waktu itulah ada pemain-pemain senior seperti Indra Putra, Shukor Adan, Raimi Mohd Nor dan ramai lagi.
“Di sini saya dah rasa jatuh bangun bersama pasukan. Dari Liga Perdana, naik ke Liga Super dan tanpa disangka-sangka kami berjaya menang Piala Malaysia walaupun tanpa pemain ternama.
“Kalau perasan, saya tak pernah bermain jauh dari Lembah Klang, paling jauh pun Negeri Sembilan. Pada usia sekarang, saya pun tak pernah tefikir untuk terus bermain di tahap ini, jauh sekali membayangkan Piala AFC.”
Kualiti Bojan Hodak
Jika difikirkan dari faktor usia, beliau mungkin bukan pemain yang mudah untuk diberi peluang untuk beraksi oleh Bojan Hodak. Ia diakui oleh Fakrul sendiri tentang betapa sukarnya buat mana-mana pemain untuk mendapatkan kepercayaan jurulatih dari Croatia tersebut.
“Susah, memang susah. Persaingan tempat itu sendiri dah banyak. Posisi saya sendiri lihat berapa banyak pemain lain yang ada seperti Hadin Azman, J. Partiban dan Zhafri Yahya,” ujar bapa kepada dua orang anak ini.
“Jadi peluang saya sendiri pun tak banyak, mungkin hanya dalam 15 peratus. Pemain muda pun banyak yang bagus, jadi setiap minit yang diberi peluang itu saya bersyukur.
“Bojan ini jurulatih yang memilih pemain berdasarkan pendekatan taktikal. Setiap perlawanan dengan taktikal yang berbeza dengan pemilihan pemain tertentu dan dia mahu setiap pemain mempunyai kebolehan bermain di pelbagai posisi.
Prematch press conference ahead of our match tomorrow against PFC Sogdiana pic.twitter.com/NgBsr9uH5c
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) October 4, 2022
“Saya di sini, dah banyak posisi dia [Bojan] cuba untuk saya beraksi seperti, pertahanan, sayap dan penyerang. Tahun lepas pun saya lebih banyak beraksi sebagai pertahanan. Cara dia memanfaatkan sepenuhnya seseorang pemain itu sangat bagus.
3 pemain pilihan
“Sudah tentu Shukor Adan, dia seorang pemain yang mempunyai kepimpinan dan berpengaruh. Di atas padang dia cukup tegas dan serius, tapi luar padang ‘okay’.
“Kedua Akram Mahinan, dia pemain yang kerja keras dan mempunyai kesungguhan yang tinggi. Di mana sahaja bola pergi dia ada, buat ‘kacau’ atas padang, tak pernah putus asa.
“Tapi tak ramai orang faham peranan pemain tengah bertahan ni. Orang ramai fikir bila pemain tengah ni nak kena ada skil, hantaran. Akram tak ada semua tu, tapi dia kerja kuat.
Disebalik Jenaka ‘Ingatkan Bojan Datang’, Akram Mahinan Tonggak Tengah Paling Berpengaruh KL City
“Seorang lagi, Safee Sali. Inspirasi seorang penyerang. Satu nama besar yang digeruni dalam bola sepak Malaysia. Jaringan dia sepanjang karier semua ‘pelik-pelik’.
“Sayangnya pada peringkat umur ini dia tak capai tahap kecergasan seperti pemain-pemain veteren lain. Tapi keberadaannya di dalam pasukan amat penting bagi membantu pemain-pemain muda.
“Sebab itu kita tengok cara Bojan, dalam pasukan dia tak ambil semua pemain muda, tapi dia akan gabungkan dengan pengalaman ‘kuda tua’.
“Contoh kita tengok sendiri sesetengah pasukan, mereka terlampau fokus kepada pemain muda semata-mata. Jadi tak cukup pemain yang boleh bimbing pemain-pemain muda ini.
“Kesannya ada pemain yang ‘naik kepala’ dan tak ada pemain senior yang boleh tegur. Datang latihan lewat, tak ada orang ‘maki’, disiplin teruk. Di KL siapa berani datang lewat? Shukor Adan ada, semua tak berani.
Penutup
Kontrak Fakrul Aiman bersama KL City bakal berakhir pada penghujung musim ini dan beliau tidak meletakkan pengharapan yang tinggi dan meyerahkan kariernya kepada takdir Yang Maha Esa.
Ketika diberi pilihan sama ada mahu terus bermain atau bersara, jelas beliau mahu terus mengerah kudratnya, tetapi mengakui cabaran besar beraksi di Liga Super pada usia ini.
Seperti kejayaan KL City yang tidak dijangka akhir-akhir ini, Fakrul Aiman sendiri melihat perjalanan kariernya ibarat sebuah ‘kisah dongeng’ dan pastinya beliau mahu ia berakhir dengan penamat yang indah.