Tragedi Kanjuruhan: PSSI Jatuhkan Hukuman Berat Ke Atas Arema FC

Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) telah menjatuhkan hukuman yang berat ke atas Arema FC berkait insiden rusuhan besar-besaran yang berlaku di Stadium Kanjuruhan, Malang pada hujung minggu lalu.

Insiden tersebut berlaku selepas tamat aksi perlawanan dalam saingan Liga 1 Indonesia melibatkan Arema FC dan Persebaya yang berkesudahan dengan pasukan tuan rumah tewas 3-2.

Para penyokong Arema mula merusuh sebagai tanda meluahkan rasa tidak puas hati melihat kelab tewas kepada seteru utama mereka itu.

Gilang Widya Pramana selaku Presiden Arema FC telah memohon kemaafan kepada seluruh penyokong yang terlibat atas segala rusuhan yang berlaku ini.

Gilang jelas merasa sangat sedih dengan tragedi ini apabila ia telah membabitkan banyak nyawa yang melayang di stadium tersebut selain kerosakan harta benda turut berlaku.

“Sebagai Presiden Arema FC, saya ingin meminta maaf kepada seluruh penyokong yang terbabit dengan insiden berkenaan.

“Saya sangat prihatin dengan apa yang sedang berlaku ketika ini dan mengutuk sekeras-kerasnya rusuhan yang dibuat tersebut sehingga menyebabkan ratusan nyawa melayang.

“Melihat situasi yang berlaku ini menyebabkan hati saya juga menjadi sangat sedih selepas melihat para penyokong yang menjadi korban nyawa dan semoga keluarga mangsa terlibat tabah menghadapi dugaan ini,” 

Jelasnya kepada CNN Indonesia.

Arema FC Dijatuhkan hukuman berat

Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) semalam telah mengumumkan hukuman yang mereka kenakan ke atas Arema FC berkait insiden rusuhan yang berlaku di Kanjuruhan itu.

Pegawai Arema, Abdul Haris dan Suko Sutrisno telah dijatuhkan hukuman gantung seumur hidup dari melibatkan diri dengan apa sahaja hal berkait bola sepak.

Arema FC juga diharamkan sama sekali untuk beraksi di halaman mereka sendiri sehingga berakhirnya saingan musim ini.

Setiap perlawanan yang melibatkan Arema FC haruslah dilangsungkan 250km dari Kota Malang.

Hukuman terakhir yang dikenakan kepada Arema FC dari PSSI adalah denda bernilai 250 juta rupiah.

Leave a Reply