Bojan Hodak Anggap Ini ‘Perang’ 2 Kelab Yang Miliki Sistem Permainan Yang Sama

Bojan-Hodak-sistem-permainan-AFC Cup

Menurut Bojan Hodak, lawan yang ditentang mereka di final Inter-zon AFC Cup, Sogdiana memiliki sistem permainan hampir sama dengan mereka.

Ini menjanji perlawanan yang sengit disebabkan kedua-dua pasukan akan mempersembahkan sistem permainan yang hampir sama pada malam ini.

KL City FC bertemu FC Sogdiana Jizzakh di Uzbekistan dan pemenangnya akan mara ke pentas akhir AFC Cup 2022 untuk bertemu Al-Seeb (Oman).

“Untuk perbandingan, bola sepak di sini [Uzbekistan] lebih tinggi [tahapnya] berbanding di Malaysia.”

“Kedua-dua pasukan dalam situasi yang sama. Liga sedang berjalan dan berada di pertengahan musim. Gaya permainan sama, guna banyak ‘set-pieces’, ‘pressing’ dan pasukan yang bekerja keras.”

Bojan Hodak, sidang media pra-perlawanan

Melihat kepada formasi permainan, Sogdania tampak kerap mengubah formasi taktikal mereka sama ada dalam saingan liga mahupun AFC Cup.

Begitupun, berdasarkan kenyataan Hodak, sistem permainan mereka saling tak tumpah dengan apa yang dimainkan oleh KL City. Misalnya ketika ‘Sogdians’ menang 1-0 ke atas Eastern SC di separuh akhir Inter-zon, formasi yang digunakan adalah 4-4-2 dan dalam aksi terakhir liga menentang FC AGMK mereka dilihat menggunakan formasi 4-2-3-1.

Apa yang tampak seakan-akan selari adalah pengendali, Ulugbek Bakayev gemar mengikut formasi yang digunakan oleh pihak lawan. Hampir sama.

Jadi, walau apa pun formasi yang akan diterapkan oleh kedua-dua pasukan dalam aksi pada malam ini, ia akan berteraskan ‘set-pieces’ dan ‘pressing’.

KL City seperti yang kita ketahui adalah pasukan yang lebih berorientasikan atau bertunjangkan kekuatan mereka dari segi ‘set-pieces’ dan ‘pressing’.

 

‘The City Boys’ mara ke final selepas menewaskan ATK Mohun Bagan (India) 3-1 pada 7 September lalu. Ini final kedua selepas mengatasi PSM Makassar (Indonesia) 5-2 untuk muncul juara zon Asean Piala AFC.

Adakah pengendali KL City, Hodak yakin untuk mara ke final buat kali ketiga yang boleh kita katakan final sebenar apabila juaranya akan menjulang trofi Piala AFC pada edisi kali ini? Ini adalah kenyataan olehnya di sidang media.

“Pencapaian ini [mara ke final Inter-zon] sudah cukup besar buat kami.”

“Sasaran kami dalam kejohanan ini pada awalnya hanya untuk melepasi peringkat kumpulan. Kami cuma kelab yang kecil. Jadi, tiada tekanan untuk kami. Tekanan adalah kepada pasukan tuan rumah.”

“Saya akan arahkan pemain untuk memberikan yang terbaik dan mendapat keputusan yang positif.”

Leave a Reply