Aidil Sharin Mahu Guna Ramai Pemain Muda Untuk Piala Malaysia 2022

Piala Malaysia 2022

Pengendali Kedah Darul Aman, Aidil Sharin memberikan bayangan yang pasukannya akan menurunkan skuad yang ditunjangi oleh para pemain muda untuk saingan Piala Malaysia 2022.

Keputusan ini diambil oleh pengendali dari Singapura itu selepas melihat yang skuadnya tidaklah sebesar mana seperti yang dimiliki kelab seperti Terengganu, Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Selangor.

Hal ini kerana, ketiga-tiga kelab itu mempunyai skuad simpanan dengan pusingan skuad boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.

Oleh kerana itu, Aidil bersedia untuk mempertaruh pemain-pemain mudanya dalam misi untuk berjuang dalam kejohanan tertua Asia itu.

“Kami tidak ada skuad sebesar Selangor, Terengganu atau Johor Darul Ta’zim yang ada pilihan lebih besar.

“Sebahagian besar pemain yang kami gunakan adalah bakat-bakat muda dan saya percaya mereka boleh menunjukkan sesuatu di Piala Malaysia nanti,” ujar Aidil.

Format baharu Piala Malaysia yang mengamalkan peraturan kalah mati juga dilihat akan memberikan manfaat kepada pasukan-pasukan bertanding.

Walaupun bilangan perlawanan akan berkurangan kerana tiadanya peringkat kumpulan, tetapi inilah peluang untuk Aidil gunakan pemain-pemain mudanya dalam memburu Piala Malaysia.

Kedah mengharungi kempen Liga Malaysia yang tidak berapa menjadi selepas gagal di Piala FA sambil hanya menjadi pasukan pertengahan Liga Super.

Jadi, Piala Malaysia sahajalah peluang untuk mereka menamatkan musim dengan sekurang-kurangnya dengan satu piala.

Kedah semalam tewas kepada JDT dengan jaringan 3-1 dalam aksi Liga Super di laman sendiri.

Leave a Reply