Antoine Griezmann bukan datang sebagai calon pengganti kepada Philippe Coutinho di Barcelona. Demikianlah kenyataan yang ditegaskan oleh ejen pemain tengah Brazil itu.
Pada Selasa lalu, Griezmann mendedahkan beliau akan meninggalkan Atletico Madrid, selepas bersama kelab La Liga itu selama lima musim.
Pengumuman tersebut sekaligus mencetuskan tanggapan penyerang antarabangsa Perancis itu akan ke Barcelona untuk saingan pada musim hadapan – yang juga bermakna Barcelona akan menjual Coutinho sebelum mendapatkan Griezmann.
Namun demikian, belum ada pengumuman rasmi dari Barcelona, mahu pun Griezmann sendiri akan destinasi seterusnya untuk beliau selepas meninggalkan Atletico Madrid.
“Ia tidak benar Griezmann akan menggantikan tempat Philippe [Coutinho] di Barcelona,” ujar Bertolucci, ejen kepada bintang Brazil itu kepada akhbar berbahasa Sepanyol, AS.
“Saya tidak faham mengapa mereka berkata sedemikian. Saya tidak tahu menahu mengenai perkara itu. Saya enggan berbicara mengenai hal ini, kerana ia adalah tidak benar.”
Coutinho menyertai Barcelona dari Liverpool dengan nilai perpindahan £146 juta pada Januari 2018. Namun pemain tersebut gagal mempamerkan aksi terbaik beliau ketika bersama kelab Merseyside itu di Nou Camp.
Musim ini pula, Coutinho terus bergelut dengan prestasi di La Liga apabila hanya menjaringkan lima gol dari 33 perlawanan. Prestasi pemain itu turut menerima kritikan dari kalangan penyokong Barcelona – terutama selepas kekalahan 4-0 kepada Liverpool pada minggu lalu.
Sebelum ini terdapat laporan Coutinho akan kembali ke England dengan Manchester United dan Chelsea, antara dua kelab yang dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu.
Situasi Coutinho bersama Barcelona pada hari ini jelas berbeza. Kelab Catalan itu sudah berjaya mendapatkan pemain seperti Frenkie De Jong. Matthijs de Light dikatakan juga bakal menyusul.
Ketibaan Griezmann bermakna Barcelona terpaksa menjual beberapa pemain untuk menyeimbangkan kedudukan kewangan mereka selepas berbelanja.
Coutinho masih memiliki kontrak selama empat tahun bersama Barcelona, dengan klausa pelepasan bernilai £354.6 juta.