Quantcast

BERITA

FAM Intai Peluang Kerjasama Dengan Aspire Academy

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin semalam telah melakukan lawatan rasmi ke akademi sukan serba canggih dan cukup terkenal di dunia, Aspire Academy di Doha, Qatar.

Lawatan Dato’ Haji Hamidin itu disambut oleh Pengarah Prestasi & Sains Bola Sepak Aspire Academy, Prof. Valter Di Salvo, bekas jurulatih kecergasan Lazio, Real Madrid dan Manchester United yang merupakan individu penting dalam membangunkan Aspire Football, salah satu komponen di Aspire Zone.

Yang turut serta, Koordinator Prestasi Bola Sepak Aspire Academy, Daniele Bonanno dan Pegawai Perhubungan Awam Aspire Academy, Esperanza Campuzano.

FOTO: FAM

Dato’ Haji Hamidin dibawa melawat fasiliti-fasiliti di Aspire Football yang siap sepenuhnya dibina pada 2017 merangkumi sebanyak 15 padang bola sepak dan dua padang rumput tiruan termasuk juga padang tertutup.

“Sebelum lawatan ini tadi, saya telah bertemu dengan Saoud Al-Mohannadi, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) yang juga Ahli Majlis FIFA untuk membincangkan kerjasama dengan Aspire Academy ini dalam membantu FAM menghantar pasukan remaja B-13 hingga B-18 kita terutama pasukan elit remaja negara di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang untuk datang menjalani kem latihan di akademi ini secara lebih kerap.

“Aspire Academy ini sememangnya diakui mempunyai kelengkapan latihan, perubatan dan kemudahan moden yang lengkap dan terkini. Sudah tentu kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak kita,” kata Dato’ Haji Hamidin.

FOTO: FAM

Aspire Academy ditubuhkan pada 2004 untuk mencari dan membangunkan atlet muda terbaik Qatar dengan program bola sepaknya telah membawa negara itu memenangi Kejuaraan B-19 AFC 2014 dan layak ke Piala Dunia B-20 2015.

Lawatan ke Aspire Academy itu merupakan sebahagian program kunjungan hormat Dato’ Haji Hamidin selaku Presiden FAM dan Exco AFC yang menerima jemputan peribadi daripada Presiden QFA, Sheikh Hamad Bin Khalifa Al Thani.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!