Quantcast

BERITA KAJIAN & FAKTA

Editorial SB: Kena Buat ‘Market Correction’ Dalam Gaji Pemain

Selamat malam pembaca Semuanya BOLA. Seperti biasa, pada malam Isnin kami akan membentangkan sidang editorial SB yang menyatakan pendirian kami secara kolektif tentang isu semasa bola sepak.

Malam ini, isu yang akan dibentangkan ialah isu gaji. Muak? Sudah tentu. Kami juga serupa. Memandangkan isu ini kerap berlaku dalam arena bola sepak tempatan, sudah sampai masanya untuk kita bercakap perkara sebenar (dan pahit):

Pemain bola sepak di negara kita dibayar gaji terlalu besar.

Dengan semakin banyak syarikat korporat melihat penajaan bukan lagi medium terbaik untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (corporate social responsibility, CSR), ia membuatkan tugas sukar pasukan untuk menarik penaja menjadi semakin sukar.

Kemudian FAM baru-baru ini mengumumkan hanya sembilan pasukan Liga Super dan tiga pasukan Liga Premier yang lulus lesen kebangsaan.

Baki 11 lagi pasukan gagal mendapatkan lesen pertandingan – masing-masing disebabkan masalah untuk melengkapkan dokumen berkaitan KEWANGAN!

Situasi menjadi bertambah buruk apabila MFL mengumumkan kemungkinan duit hak penyiaran liga (juga dirujuk sebagai geran) pada musim depan akan dikurangkan.

Tiga petanda ini menunjukkan industri bola sepak negara kita hanya gah di luaran. Di mata luar, nampak mewah. Tapi hakikatnya tidak. Ibarat industri MLM. Luarannya nampak cantik. Dalamnya penuh dengan penipuan dan penindasan.

Adakah logik apabila kita membayar gaji premium dalam industri yang semakin menguncup? Katakanlah kita ambil contoh satu industri yang sedang menguncup: industri DVD. Logikkah kita membayar gaji premium kepada pekerja syarikat dalam industri DVD?

Bagi kami (dan kami percaya ribuan penyokong bola sepak tempatan lagi), sudah sampai masanya untuk kita berhenti berbohong kepada diri sendiri dan berdepan dengan realiti sebenar.

Pengurusan pasukan yang tidak mampu perlu berhenti menawarkan gaji premium kepada pemain. Industri bola sepak kita masih terlalu kecil untuk diberi gaji premium.

Berdasarkan artikel yang ditulis oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Izhar Moslim yang kami terbitkan sebelum ini, purata gaji pemain dalam liga bola sepak kita ketika ini adalah antara RM32,000 hingga RM35,000 sebulan.

Beliau turut menulis:

Jadi secara logik, gaji purata pemain bola sepak sekiranya disamakan dengan gaji seorang individu yang bukan pemain bola sepak adalah RM9,230 setelah kita keluarkan unsur ‘karier pemain bola sepak adalah pendek’.

Okay lah, mungkin gaji RM9,000 sebulan tak nampak menarik sebab mereka ada juga risiko kecederaan dan sebagainya. Maka itu saya gandakan dua kali gaji purata yang sepatutnya pemain bola sepak di Malaysia terima menjadi RM18,000 sebulan.

Dengan angka tersebut sekiranya sebuah skuad mempunyai 25 orang pemain, jumlah gaji yang perlu dibayar sebulan adalah RM450,000 sebulan atau RM5.4 juta setahun (tidak termasuk perbelanjaan EPF).

Ia dapat mengurangkan hampir 50% daripada kos perbelanjaan gaji dan pada masa yang sama gaji RM18,000 sebulan adalah sangat selesa dan lebih daripada mencukupi untuk sebuah individu/keluarga.

Kami pasti akan ada pihak yang menganggap langkah ini hanya akan menarik kembali pengaruh bookie dalam bola sepak. Di sinilah perlunya ada tanggungjawab pasukan dan penganjur liga untuk bekerjasama dengan PDRM dan SPRM untuk menangkis potensi isu ini.

Akan ada juga pihak yang risau langkah ini akan meningkatkan jurang antara pasukan kaya dengan pasukan sederhana. “Pasukan kaya akan menang liga tiap-tiap tahun,” barangkali kata mereka. Untuk menjawab mereka, kami suka menggunakan mutiara kata Johan Cruyff:

Pemain-pemain pula lebih suka pengurusan yang ‘underpromise but overdeliver’ daripada pengurusan yang ‘overpromise but underdeliver’. Biar gaji tak premium, tapi bayar gaji on time.

Kita tahu bukan mudah kerja pihak pengurusan pasukan. Menimbang harapan antara penyokong, penaja, pemain, jurulatih dan media – kami pasti ia kerja yang sangat sukar walaupun untuk lepasan MBA dari University Ivy League.

Tetapi kami pasti melatah, “Kalau penyokong pandai sangat, sila jadi presiden persatuan” tidak akan menjadikan tugas pihak pengurusan menjadi lebih mudah. Hanya satu benda yang boleh menjadikan tugas mereka menjadi mudah – ukur baju di badan sendiri.