Edinson Cavani meluahkan rasa bangganya apabila diberikan penghormatan untuk memakai jersi nombor 7 selepas mencapai kata sepakat bagi menyertai Manchester United secara percuma dengan kontrak selama setahun [pilihan tambahan setahun].
Jersi nombor 7 mempunyai nilai yang cukup bermakna buat Manchester United yang mana sebelum ini beberapa legenda kelab seperti George Best, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo menikmati zaman kegemilangan ketika menggunakan nombor tersebut.
Sehubungan dengan itu, Cavani merasakan adalah satu penghargaan besar buatnya dan memahami tugasan mencabar yang bakal menantinya dalam membawa kejayaan buat Manchester United.
”Ia merupakan perasaan yang sangat bangga saya dapat memakai jersi nombor 7 buat Manchester United,” ujar Cavani menurut laporan Goal.
”Sekarang saya perlu untuk bersedia bagi mendukung tanggungjawab ini, melakukan yang terbaik untuk bersedia dan menikmatinya serta saya berharap dapat melakar kejayaan di Manchester United.”
”Saya mempunyai kontrak selama dua tahun di Manchester United. Saya mahu memberikan segalanya di sana. Saya merasa cukup bagus.”
Cavani hadir ke Old Trafford dengan reputasi besar sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Paris Saint-Germain (PSG) dengan 200 gol, meninggalkan jauh Zlatan Ibrahimovic dengan kelebihan 44 gol.
Selain PSG, penyerang berusia 33 tahun itu turut pernah beraksi bersama dua kelab Serie A, SS Napoli dan Palermo dan memulakan karier profesional bersama kelab liga utama Uruguay, Danubio.
Kredit featured image: Dave Winter/Icon Sport via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Edinson Cavani: