Sandaran utama Chelsea, Eden Hazard mengakui bahawa beliau mempunyai pemikiran yang sama seperti pengendali pasukan, Maurizio Sarri terhadap bola sepak.
Pemain kelahiran La Louvière, Belgium itu merasakan apa yang diperlukan Sarri dalam bola sepak selari dengan diri Hazard sendiri.
”Dia (Maurizio Sarri) merupakan orang tua tetapi cara dia berfikir sama seperti saya fikirkan dalam bola sepak,” jelas Eden Hazard bercakap kepada wartawan.
”Ketika kami mempunyai (mengawal) bola, kami perlu mempunyai ruang kebebasan yang banyak, tidak hanya kepada saya tetapi penyerang dan di sebelah kanan (serangan), Willian atau Pedro, jadi kami boleh bergerak dengan lebih banyak.”
”Pengurus amat menggemari ‘possession’. Dia banyak berfikir mengenai statistik. Kawalan permainan. Rembatan. Peluang mencipta gol.”
”Sebelum ini kami menggunakan corak permainan yang lebih kepada serangan balas pantas. Ia berbeza pendekatan Sarri berbanding (Antonio) Conte dan (Jose Mourinho).
”Kadangkala apabila kita mengawal permainan dan saya memahami bahawa peminat mahu kami terus ke atas (lebih ‘direct’), tetapi ia adalah sebahagian daripada bola sepak.”
”Kami masih belajar mengenai konsep ini. Kami melakukan dengan baik dan saya menyukai cara bola sepak sebegini.”
Maurizio Sarri dan Eden Hazard berdepan tugas sukar pada minggu ini apabila akan berkunjung ke Etihad Stadium bagi pertemuan dengan Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Selepas itu kedua-dua pasukan akan sekali lagi bertemu pada 25 Februari ini bagi merebut kejuaraan Piala Carabao di Wembley.
Mungkin dengan pendedahan Hazard ini memberikan sedikit kelegaan buat penyokong The Blues seringkali mendengar berita mengenai minat Real Madrid yang masih lagi tidak berputus asa untuk mendapatkan khidmat Hazard.