Quantcast

LIGA MALAYSIA

FAM Pertahankan SOP Sejak 80-an, Kecewa Dengan Kritikan Tidak Berasas Ke Atas Pengadil

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengeluarkan siaran media rasmi bagi menjelaskan isu melibatkan pengadil ketika perlawanan Liga Super 2019, Perak bertemu Kedah di Stadium Perak, Ipoh, pada perlawanan kedua Liga Super 2019.

Sebelum itu, MFL menyatakan isu pengadil adalah tanggungjawab FAM. Dan mereka meminta FAM menjelaskan tentang isu tersebut.

Dalam kenyataan media mereka, FAM menyatakan prosedur yang ada sudah digunapakai sejak 1980-an lagi – ataupun sebelum era semi pro – tanpa sebarang bantahan sebelum ini.

FAM menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pengadil – ACP (B) Md Dali Wahid berkata: “Untuk makluman semua, pelantikan Pegawai Keempat (P4) tempatan atau dari negeri yang sama dengan pasukan tuan rumah bagi perlawanan liga.”

“Dan untuk peringkat kumpulan bagi pertandingan piala sudah lama dipraktikkan sejak dari tahun 1980-an – tanpa sebarang pertikaian – dan telah mendapat persetujuan semua pasukan negeri bagi memberi peluang kepada pengawai tempatan mereka untuk menjadi P4.”

“Sementara bagi perlawanan peringkat suku akhir, separuh akhir dan final, P4 dilantik dari kalangan pegawai berkecuali. Malah dalam kes-kes tertentu pada pendapat Jawatankuasa Pengadil FAM, P4 untuk perlawanan liga boleh dilantik dari kalangan pegawai berkecuali.”

“Untuk itu, Prosedur Pengendalian Standard (SOP) yang sentiasa dipraktikkan di Liga Malaysia jika Pengadil mengalami kecederaan, maka Pembantu Pengadil 1 (AR1) akan mengambil alih tugas selaku Pengadil manakala kekosongan ditinggalkan AR1 itu akan diisi oleh P4.”

“Dalam kes di Ipoh malam tadi, selepas Pengadil, Hamdan Awang mengalami kecederaan semasa perlawanan berlangsung, AR1 iaitu Mohd Shahreen Omar mengambil alih tugas selaku Pengadil manakala P4 iaitu Abdul Halim Mohd Ramlan masuk untuk menjadi AR1.”

“Namun ia dibantah pasukan Kedah kerana Abdul Halim merupakan pegawai tempatan iaitu berasal dari Perak.”

Gambar: Perak FA

Seterusnya Md Dali menegaskan bahawa kecederaan pengadil sebagai kes terpencil.

“Jika dilihat, kecederaan membabitkan pengadil ini merupakan kes terpencil yang mana ia jarang-jarang berlaku. Malah dalam perlawanan peringkat tertinggi juga, insiden kecederaan pengadil ini turut boleh berlaku.”

Beliau kecewa dengan dakwaan bahawa pengadil dipilih FAM tidak cergas. Beliau berkata lagi: “Justeru ia tidak boleh dibuat kesimpulan bahawa pengadil yang dipilih FAM ini tidak cergas kerana kesemua mereka yang ditugaskan untuk mengadili perlawanan Liga Super dan Liga Premier ini perlu melepasi ujian kecergasan yang ditetapkan.”

“Kecederaan yang berlaku ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor lain dan sudah tentu insiden seperti ini sememangnya tidak diingini mana-mana pihak.”

“Sebagai perbandingan, jika seseorang pemain itu mengalami kecederaan hamstring atau kekejangan otot walaupun beliau baru beraksi selama 10 minit, adakah ia bermakna bahawa pemain berkenaan yang merupakan seorang profesional tidak cukup cergas?”

“Jadi ingin ditegaskan di sini bahawa pengadil-pengadil tempatan yang dipilih FAM untuk mengadili perlawanan Liga Super dan Liga Premier cukup cergas dan adalah tidak adil untuk membuat kesimpulan bahawa pengadil tempatan kita tidak cergas.”

“Insiden seperti ini sebenarnya jarang berlaku pada saingan Liga Super dan kali terakhir ia berlaku adalah pada tahun 2013.”

“Bagi Piala Presiden dan Piala Belia 2018, kecederaan pengadil turut berlaku pada aksi final kedua-dua saingan tersebut tetapi tiada isu besar kerana P4 bagi kedua-dua perlawanan berkenaan adalah pegawai berkecuali memandangkan ia merupakan aksi final.”

“Berkenaan SOP yang dilaksanakan di Liga Malaysia pula, contoh-contoh lain yang boleh dilihat pada perlawanan liga di luar negara turut menyaksikan bahawa SOP masing-masing adalah berbeza apabila berlakunya kecederaan kepada pengadil perlawanan.”

“Berikut adalah pautan laporan berita beberapa insiden berkenaan untuk dibuat perbandingan dengan apa yang berlaku di Ipoh, malam tadi:

Referee Michael Oliver replaces injured official at women’s match

Tottenham referee Mike Jones injured in warm up as North London side forced to ask crowd for a replacement

Fan becomes fourth official after assistant referee suffers injury

Md Dali juga mempertahankan tindakan mereka berkaitan dengan SOP yang berbeza dimalkan di dalam liga Malaysia.

“Ramai yang mempersoalkan mengenai tahap kecergasan pengadil dan SOP yang dilakukan oleh FAM, namun jika dilihat kepada laporan-laporan berita di atas, SOP di negara-negara lain adalah berbeza dan sudah tentu ia juga memiliki kelemahan serta tidak sempurna seratus peratus.”

“Di sini dalam keadaan kecemasan seperti ini, kredibiliti atau profesionalisme individu bernama pengadil ini tidak perlu dipertikaikan hanya kerana beliau merupakan pengadil tempatan atau berasal dari negeri sama dengan pasukan tuan rumah.”

“Malah dalam Perlawanan Antarabangsa “A” juga, kita boleh lihat pengadil FIFA dari pasukan tuan rumah mampu mengadili dan mengawal permainan dengan baik kerana sememangnya pengadil adalah seorang individu yang telah pun dididik untuk sentiasa bersikap profesional dan adil ketika menjalankan tugasannya.”

“Apa pun, perkara ini akan dibawa untuk diperbincangkan lebih lanjut pada mesyuarat Jawatankuasa Pengadil FAM yang akan datang pada 18 Februari ini untuk tindakan selanjutnya.”

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!