Quantcast

BERITA

MFL Jelaskan FAM Bertanggungjawab Sepenuhnya Pemilihan Pengadil Tempatan Dalam Perlawanan Liga Malaysia

Para penyokong di Stadium Perak malam tadi bukan sahaja dapat menyaksikan perlawanan Liga Super 2019 diantara Perak bertemu Kedah secara percuma, malah mereka juga berpeluang menyaksikan insiden yang jarang sekali (mungkin juga yang pertama kali) dapat ditatap selama ini.

Seperti yang tular ketika ini, pengadil perlawanan, Hamdan Bin Awang telah mengalami kekejangan otot pada minit ke-63 dan digantikan dengan penolong pengadil 1, Mohd Shahreen Bin Omar.

Namun, terdapat pertikaian apabila pegawai keempat yang menggantikan tugas Mohd Shahreen adalah Abdul Halim Bin Mohd Ramlan merupakan pengadil dari Perak.

Kemelut yang berlaku itu terungkai ketika waktu permainan di ‘scoreboard’ menunjukkan minit ke-88 dan baki perlawanan diteruskan dengan 1-1 kekal hingga tamat permainan.

Ketika ramai yang memberikan tekanan serta kecaman kepada badan pengelola Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL), badan tersebut memberikan tindak balas terhadap isu yang berlaku.

Menerusi laman facebook rasminya, MFL menjelaskan bahawa pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai badan induk bola sepak tanah air bertanggungjawab sepenuhnya dalam menguruskan pengadil tempatan dari segi pembangunan dan pemilihan pengadil perlawanan Liga Malaysia.

Berikutan masalah di Stadium Perak itu, MFL menegaskan bahawa FAM akan memberikan penjelasan lanjut berkenaan insiden yang telah berlaku.

Kredit foto: MFLKedah FA – Persatuan Bolasepak Kedah