Tiada seorang pun atlet di dunia ini mahu mengalami sebarang kecederaan. Ia termasuklah kecederaan yang paling ditakuti, Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Pemain seperti Zaquan Adha Abdul Radzak dan Wan Zack Haikal Wan Noor merupakan antara pemain bola sepak tanah air yang kerap mengalami kecederaan di bahagian lutut itu.
Bagi pemain futsal Kuala Lumpur City (KL City), Yakish Rao A/L Kannanyadu, dua pembedahan ACL yang dihadapi tidak langsung melunturkan semangatnya menjelang sepak mula saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL 2019), pertengahan bulan ini.
Pemain berusia 28 tahun itu ketika ini dalam proses akhir pemulihan selepas menjalani pembedahan ACL kedua pada penghujung tahun 2018.
Ketika dihubungi wakil Semunya BOLA, Yakish Rao menceritakan serba sedikit pengalaman beliau menghadapi kecederaan tersebut.
ACL kedua-dua belah lutut
Beliau sememangnya seorang yang begitu aktif bermain futsal dan bola sepak ketika zaman universiti tetapi nasib malang menimpa apabila Yakish mengalami kecederaan ACL (lutut kiri) buat pertama kali pada tahun 2014.
Ketika itu, beliau masih lagi merupakan penuntut di Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan.
Kecederaan tersebut tidak mematahkan semangat Yakish untuk kembali beraksi dan berjaya mewakili Kuala Lumpur City bagi menghadapi Liga Futsal Kebangsaan 2017 dan 2018.
Kira-kira empat tahun selepas pembedahan pertama berjalan dengan lancar, Yakish sekali lagi dihantui kecederaan tersebut dan kali ini lutut kanan beliau pula disahkan mengalami ACL ketika perlawanan persahabatan bertemu skuad futsal kebangsaan di Arena Futsal FAM.
Keadaan yang mudah untuk dijangka kerana Yakish pasti akan menghadapi satu lagi pembedahan bagi memberikan peluang buat beliau kembali ke gelanggang futsal.
Kaedah memotivasikan diri selepas hadapi dua pembedahan
Yakish menegaskan bahawa beliau perlu jujur dalam menghadapi situasi sukar ini terutamanya sudah dua kali menghantui dirinya.
Kekuatan mental turut dititikberatkan oleh anak muda dari USJ 8 Subang Jaya ini.
”Saya perlu jujur dalam hal ini, demi semangat dan ‘passion’ saya untuk terus bermain futsal di tahap tertinggi. Namun, semua itu tidak mudah buat saya untuk menghadapinya.”
”Sudah pasti saya perlu kuatkan mental serta memerlukan sokongan moral daripada keluarga, rakan sepasukan, rakan-rakan serta jurulatih saya.”
”Saya bersyukur kerana ramai memberikan sokongan dari segi mental dan fizikal buat saya. KL City adalah satu-satunya kelab yang unik dalam mengendalikan proses pemulihan para pemain untuk kembali beraksi.”
Trauma tak luntur semangat
Tanpa berselindung, Yakish mengakui bahawa masih trauma dengan apa yang menimpa dirinya.
”Trauma akibat kecederaan ACL yang dialami sentiasa bermain di minda saya, namun ia tidak sesekali memutuskan semangat saya untuk kembali beraksi.”
”Kembali bangkit dari kecederaan ACL tidak mustahil dengan adanya program pemulihan yang baik.”
”Minat serta ‘passion’ terhadap futsal telah memberikan semangat buat saya untuk terus berada di gelanggang meskipun sudah dua kali saya merasai ‘kesakitan’ ini.”
Mahu bantu KL City raih kejuaraan sulung MPFL 2019
Seiring dengan pengenalan liga profesional futsal pertama tanah air, seperti pemain pasukan lain, Yakish juga turut memasang impian mahu membantu KL City menjuarai edisi sulung itu.
Perlawanan pertama KL City dalam saingan MPFL 2019 adalah bertemu Pulau Pinang di Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam pada 23 Jun nanti.
Rumusan
Semangat tinggi Yakish Rao yang bangkit dari dua pembedahan ACL memberikan gambaran cukup jelas bahawa setiap atlet perlu mempunyai semangat juang tinggi bagi survival karier mereka.
Jangan sesekali mengganggap kecederaan ACL adalah penamat bagi setiap perjalanan karier pemain bola sepak mahupun futsal.