Pemain tengah berpengalaman Villareal, Santi Cazorla mencetak dua jaringan bagi mengikat Real Madrid 2-2 dalam saingan La Liga yang berlangsung di Estadio de la Ceramica, awal pagi tadi.
Villareal yang memberikan ‘Guard of honour’ buat pasukan pelawat di atas kejayaan menjuarai Piala Dunia Kelab FIFA tempoh hari tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan.
Menerima umpanan daripada Samuel Chukwueze, Cazorla mempamerkan ketenangan dengan meledakkan rembatan lencong yang mengecewakan Thibaut Courtois pada minit ke-4.
Real Madrid bagaimanapun merapatkan kembali kedudukan hanya tiga minit kemudian menerusi penyerang Perancis, Karim Benzema.
Benzema berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol Villareal yang dilakukan Lucas Vasquez.
Aksi kian menarik dengan kedua-dua pasukan giat mengasak ke kubu lawan masing-masing dan Real Madrid yang dibimbing Santiago Solari menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-20.
Berpunca daripada sepakan percuma diambil Toni Kroos yang terus ke dalam kawasan penalti Villareal, Raphael Varane melonjak tinggi bagi menanduk bola untuk gol kedua buat Real Madrid.
Luka Modric hampir menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-33, namun jaringannya dibatalkan selepas beliau terlebih dahulu dikesan ofsaid oleh pengadil perlawanan, Pablo Gonzales Fuertes ketika melakukan percubaan susulan.
Memasuki babak kedua, Real Madrid gagal menambah jaringan untuk menambah defisit jaringan dan keadaan itu digunakan sepenuhnya oleh Villareal pada minit ke-82.
Santi Cazorla menjadi wira buat tuan rumah apabila beliau yang langsung tidak dikawal pertahanan Real Madrid mendapat umpanan menarik lalu menanduk masuk bagi sekali lagi membolosi Courtois untuk mengikat kedudukan.
Dengan keputusan seri yang dicatatkan, Real Madrid menghuni tangga keempat La Liga dengan mengumpul 30 mata. Villareal masih bergelut di tangga bawahan liga apabila berada di tangga ke-17 dengan 16 mata.