Diogo Jota Guna Khidmat Pemenang Pingat & Pelari Pecut Olimpik Latih Teknik Larian

Diogo Jota kini berlatih bersama bekas pelari pecut di Sukan Olimpik, Francis Obikwelu dalam usaha pemain itu meningkatkan keupayaan fizikalnya menjelang musim baharu.

Penyerang antarabangsa Portugal itu sudah pun menemui sentuhan penyudah bersama Liverpool dalam perlawanan persahabatan pra musim, selepas menamatkan tempoh rehat tambahan yang diberikan selepas komitmen bersama pasukan kebangsaan di Euro 2020 pada musim panas lalu.

Fokus untuk membantu Liverpool menghadapi musim baharu, Jota mendapatkan bantuan bekas pelari pecut berusia 42 tahun, Obikwelu – dalam usaha beliau mempunyai larian sepantas rakan sepasukan Mohamed Salah dan Sadio Mane.

https://twitter.com/AnfieldWatch/status/1424324994864226310

Obikwelu pernah memenangi pingat perak dalam acara 100 meter di Sukan Olimpik 2004 yang diadakan di Athens. Catatan masa terpantas peribadi bekas pelari Portugal itu pula ialah 9.86 saat dan sehingga kini kekal sebagai rekod terpantas eropah.

Obikwelu juga pernah memenangi tiga pingat emas di Kejohanan Eropah sepanjang kariernya, dan tidak ada calon lain yang lebih baik daripada beliau untuk membantu Jota meningkatkan teknik larian.

“Dalam bola sepak kita melakukan [latihan] pra musim yang sepatutnya kemudian akan ada banyak perlawanan sehingga Disember,” kata Jota.

“Kemudian ada separuh musim lagi perlu dilalui, dan adakalanya cuba berhadapan dengan kepenatan dan kelesuan kita memerlukan sedikit masa untuk berehat.”

“Tetapi Obikwelu percaya beliau mempunyai jawapan terbaik untuk mengendalikan isu kepenatan tersebut dalam jadual perlawanan yang padat.”

“Saya boleh beritahu anda mengapa anda mempunyai isu seperti itu,” kata Obikwelu pula. “Ini kerana sistem saraf anda tidak diaktifkan, Ia adalah enjin kepada badan.”

Jota pasti berharap nasihat dari rakan senegaranya itu mampu menjadikan dirinya pilihan utama di dalam kesebelasan pilihan Jurgen Klopp menjelang musim baharu nanti.

Beberapa kecederaan dan penggiliran yang dilakukan Klopp di kalangan pemain penyerang seperti Mane, Salah dan Roberto Firmino hanya membenarkan penyerang berusia 24 tahun itu beraksi 12 perlawanan Premier League pada musim lalu.

Namun demikian Jota masih mampu menghasilkan sembilan gol untuk The Reds, dan berharap lebih banyak peluang untuk mengemudi bahagian serangan Liverpool pada musim akan datang.

.

Leave a Reply