Kedah Darul Aman (Kedah) secara rasminya telah pun menandatangani khidmat pemain import pertama mereka iaitu Sukhrob Nurulloev dari Uzbekistan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2024/2025.
Walaupun sehingga kini belum diketahui jika Kedah dapat beraksi atau tidak dalam saingan Liga Super atas beberapa isu lalu, Sang Kenari sudah pun memperkenalkan beberapa pemain baharu termasuk tonggak import.
Kedah menjadi antara pasukan yang membuat rombakan besar dalam kalangan pemain dengan mereka sebelum itu turut sah melepaskan semua pemain import pada tahun lalu.
Tampil dengan isu tunggakan gaji, menyaksikan beberapa perubahan kini dibuat Sang Kenari untuk terus memberi persaingan peringkat domestik bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Nafuzi Zain.
Selepas Sukhrob diperkenalkan semalam, jelas ia merupakan isyarat penting daripada Nafuzi Zain mereka tidak akan mengendurkan diri untuk terus memberi persaingan terutama dalam kejohanan Liga Super bersama Kedah.
Sukhrob yang bertindak selaku pemain sayap dianggap sebagai pengganti paling ideal buat Manuel Hidalgo yang turut dilepaskan musim ini dengan pemain dari Argentina itu beraksi bersama Sri Pahang dengan status pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pada usia 26 tahun, Sukhrob sudah pun memiliki banyak pengalaman terutama berakdi di pentas antarabangsa bersama pasukan kebangsaannya iaitu Uzbekistan.
Musim lalu menyaksikan beliau beraksi dalam saingan utama Uzbekistan bersama Nasaf Qarshi dengan 30 penampilan secara keseluruhan dengan satu gol serta empat bantuan gol direkodkan Sukhrob di peringkat domestik.
Malah, pemain sayap kanan itu juga turut beraksi di pentas AFC dengan dua gol direkodkan beliau sepanjang enam penampilan dalam saingan tersebut sehingga membawa Nasaf ke pusingan 16 terbaik.
Secara keseluruhannya, Sukhrob sudah pun beraksi sebanyak 106 penampilan dan merekodkan enam gol serta 12 bantuan jaringan sejak awal penampilannya bersama Nasaf.
Kelebihan Sukhrob pastinya terarah kepada kelincahannya untuk mengawal bola serta memiliki keupayaan tinggi meledak gol dari pelbagai arah untuk menjadi aset penting buat pasukan diwakilinya itu.
Malah, Nafuzi juga mampu mencipta beberapa rangkaian taktikal dengan menggunakan kelebihan Sukhrob yang turut mampu untuk beraksi selaku pemain sayap kiri serta sebagai penyerang kedua mengikut kesesuaian.
Kehadiran Sukhrob juga dijangka akan menyaksikan bekas pemain kebangsaan Uzbekistan bawah 23 (B-23) itu bergandingan bersama penyerang Harimau Malaya, Syafiq Ahmad untuk mempertajamkan aspek serangan Sang Kenari musim ini.
Selepas sah kehilangan Hidalgo yang begitu menonjol pada tahun lalu, adakah kehadiran Sukhrob mampu untuk memberi keceriaan buat para peminat Sang Kenari?