Pelantikan bekas kapten Amerika Syarikat, Thomas Dooley sebagai pengendali Sri Pahang FC menandakan tamatnya jodoh empat tahun Dollah Salleh bersama mereka.
Ini merupakan kali kedua Sri Pahang melantik pengendali asing selepas kali terakhir mereka dikendalikan oleh Ronald Smith iaitu pada musim 2014. Semuanya pasti sudah tahu beliau adalah kapten Amerika Syarikat ketika saingan Piala Dunia 1998.
Ayuh kita soroti beberapa lagi fakta mengenai pengendali baharu Sri Pahang tersebut. Adakah Tok Gajah akan memanfaatkan sepenuhnya kehadirannya? Dan adakah mereka bersedia dengan perubahan yang bakal dilalui nanti?
Thomas Dooley will take over as Pahang coach, while Dollah Salleh will be the team manager. The first training will start tomorrow. #MFLTransfer2021
— T. Avineshwaran (@avineshW90) January 3, 2021
1. Lahir di Jerman, tetapi main untuk Amerika Syarikat
Bekas pengendali Filipina itu dilahirkan di Jerman pada 12 Mei 1969. Berusia 59 tahun kini, Thomas Dooley sebenarnya satu nama besar dalam arena bola sepak di Amerika Syarikat. Sebelum menyertai kem The Azkals, beliau merupakan pembantu jurulatih, Jurgen Klinsmann untuk skuad kebangsaan Amerika Syarikat.
Tidak pernah tahu tentang Amerika Syarikat, membesar dalam suasana Jerman dan tidak bercakap Bahasa Inggeris, tidak menghalang mereka menaturalisasinya sebagai pemain mereka pada 1992, sebelum Piala Dunia 1994 berlangsung.
Ini kerana bapanya dikatakan merupakan askar negara tersebut yang ditempatkan di Jerman. Begitupun, menurutnya, beliau tidak pernah mengenali siapa bapanya.
2. Tersenarai dalam US Soccer Hall of Fame bersama Pele
Pemain yang meraih 81 kaps bersama Amerika Syarikat itu telah tersenarai bersama Pele dan Franz Beckenbauer dalam US Soccer Hall of Fame dan telah dimasukkan dalam senarai tersebut pada 2010. Penghormatan dan pengiktirafan tinggi tersebut baginya adalah sangat mengujakan dan juga bermakna buat dirinya.
US Soccer Hall of Fame bermula pada 1979 dan memberikan pengiktirafan kepada insan-insan yang membantu pembangunan bola sepak di Amerika Syarikat.
NEWS: Thomas Dooley and Preki elected to the US Soccer Hall of Fame.
— FOX Sports Hub (@FOXSportsHub) January 15, 2010
3. Mambo Studio dan Tango Online
Menurut FIFA.com, beliau terlibat secara langsung dalam pembangunan perisian analisis perlawanan sebelum menyertai skuad kebangsaan Filipina sebagai pengendali pada 2014. Dan lebih menarik, ketika mengendalikan skuad tersebut beliau telah menggunakan data analisis untuk mengetahui prestasi para pemainnya.
Menurut laporan Soccer Today, Thomas Dooley telah menggunakan data yang dikeluarkan oleh Mambo Studio dan Tango Online untuk analisis mendalam tentang prestasi pemain, pasukan dan juga menganalisa pasukan lawan. Hasilnya, Filipina telah melalui peningkatan yang mendadak dalam perlawanan dan ranking.
Ketika pelantikannya, The Azkals menduduki ranking ke-130 dan ketika meninggalkan pasukan, mereka berada di ranking ke-115, peningkatan 15 anak tangga!
4. ‘Dibuang’ walaupun bawa Filipina ke Piala Asia 2019
Thomas Dooley telah ‘dipecat’ pada 31 Mac 2018, selepas membawa Filipina ke kejohanan Piala Asia pertama mereka. Mereka meraih kemenangan 2-1 ke atas Tajikistan dan berjaya melangkah ke kejohanan berprestij di Asia pada tahun 2019.
Sebelum itu, mereka mengalami kegagalan dalam saingan Piala AFF 2016 apabila tersingkir di peringkat kumpulan. Adakah itu punca kontraknya tidak dilanjutkan? Mungkin tidak, kerana ianya berbeza selama dua tahun sebelum kejayaan beliau. Mungkinkah kerana reputasi penggantinya, Terry Butcher lebih baik?
5. Sri Pahang akan guna formasi taktikal 4-2-3-1?
Menurut laman sesawang Football Lineups, tiga perlawanan terakhirnya bersama Filipina menyaksikan beliau menggunakan dua kali formasi taktikal 4-2-3-1 dan sekali 4-1-4-1. Jadi, mana satu yang bakal jadi pilihannya untuk Sri Pahang nanti?
Beliau juga gemar mengetengahkan bakat muda. Ketika bersama Filipna beliau pernah meletakkan pemain berusia 17 tahun, Marco Casambre dalam kesebelasan utama.
Selain Casambre, antara pemain lain yang diberikan peluang adalah Paolo Bugas, Daniel Gadia, and Fitch Arboleda. Beliau turut pernah merancang membina sebuah akademi percuma di Filipina yang menyasarkan melahirkan pemain-pemain berkualiti.
KREDIT FEATURED IMAGE: BOB GUERRERO
Baca lagi artikel lain mengenai Thomas Dooley dan Sri Pahang:
Pasukan ASEAN Mana Yang Akan Mengiringi Thailand Dan Australia Ke Piala Asia 2019?
Sebuah Kelab Liga Super Sedang Berbincang Bersama Sri Pahang Tentang Sumareh