Pasukan ASEAN Mana Yang Akan Mengiringi Thailand Dan Australia Ke Piala Asia 2019?

Kali terakhir pasukan daripada ASEAN melangkah ke Piala Asia adalah pada tahun 2004, sebelum Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia layak beraksi atas kapasiti tuan rumah pada kejohanan edisi 2007.

Apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menambah slot untuk Piala Asia dari 16 ke 24 pasukan, harapan untuk menyaksikan beberapa pasukan daripada ASEAN beraksi di kejohanan utama tersebut kembali berputik.

Kini tinggal enam pasukan ASEAN sedang bersaing untuk baki slot untuk ke kejohanan utama yang bakal berlangsung di UAE pada Januari 2019 iaitu Malaysia, Myanmar, Vietnam, Kemboja, Singapura dan Filipina.

Diantara enam pasukan ini, pasukan manakah yang berpeluang untuk mengiringi Thailand dan Australia ke Piala Asia 2019 nanti?

Singapura

Aksi ketika Singapura tumpas kepada Taiwan di laman sendiri. Foto: THE STRAITS TIMES.

Singapura bermula agak baik apabila berjaya mengikat pasukan pilihan Kumpulan E, Bahrain dengan keputusan 0-0 di tempat lawan. Namun, nasib tak menyebelahi Sang Singa apabila segalanya berubah secara total bermula di perlawanan kedua.

Tewas kepada Taiwan dan Turkmenistan, Singapura kini berada di dasar kumpulan dengan hanya mengutip 2 mata daripada empat perlawanan. Satu lagi mata diperolehi apabila berjaya mengikat Turkmenistan di Stadium Jalan Besar.

Peluang buat Singapura sudah hampir tertutup. Berbaki dua perlawanan menentang Bahrain dan Taiwan, ianya tampak sukar buat Singapura. Dengan peningkatan mendadak Taiwan ketika ini, amat sukar untuk Singapura untuk mencuri mata daripada lawannya itu.

Baki dua perlawanan Singapura:

  • 14 November: Singapura lwn Bahrain
  • 27 Mac: Taiwan lwn Singapura

Kemboja

Bintang sensasi Kemboja yang beraksi di J-League, Chan Vathanaka.

Kemboja berjaya meraih 3 mata berharga ketika menentang Afghanistan apabila merekodkan kemenangan 1-0 di laman sendiri, selepas dibelasah 0-7 oleh Jordan dalam perlawanan pertama.

Namun, selepas itu, Kemboja tewas dua perlawanan berturut-turut kepada lawan yang sama iaitu Vietnam. Lebih memeritkan, Vietnam membelasah Kemboja dengan lima gol tanpa balas dalam pertembungan kedua mereka 10 Oktober lalu.

Dua perlawanan dengan bolos yang besar, amat sukar buat Kemboja untuk merealisasikan impian untuk melangkah ke kejohanan utama.

Baki dua perlawanan Kemboja:

  • 14 November: Kemboja lwn Jordan
  • 27 Mac: Afghanistan lwn Kemboja

Myanmar

Myanmar tewas tipis kepada India 0-1 dalam aksi pertama Kumpulan A. Foto: AP

‘The White Angels’ masih memiliki sekelumit peluang untuk layak. Dengan India yang telah mengesahkan slot ke kejohanan utama, satu lagi slot dilihat menjadi rebutan antara Myanmar dan Kyrgyzstan yang ketika ini sedang berkongsi empat mata.

Kedua-dua pasukan akan bertemu India selepas ini, dan keputusan perlawanan ini dijangkakan akan memperlihatkan kelebihan kepada pasukan mana. Kehadiran Macau di dalam kumpulan ini dilihat hanyalah sebagai ‘mangsa korban’ untuk ketiga-tiga pasukan.

Berkemungkinan juga slot tersebut akan ditentukan dalam aksi terakhir kumpulan yang akan menemukan kedua-dua pasukan tersebut. Dalam perlawanan pertama, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2 di Yangon.

Baki tiga perlawanan Myanmar:

  • 14 November: India lwn Myanmar
  • 27 Mac: Myanmar lwn Macau
  • TBA: Kyrgyzstan lwn Myanmar

Vietnam

Thanh Trung meraikan jaringan pembukaan ketika membelasah Kemboja 5-0. Foto: vietnamnet.vn

Kian hampir untuk melayakkan diri ke Piala Asia buat kali ke-3, Vietnam dijangka akan mengesahkan tiket mereka pada perlawanan menentang Afghanistan bulan hadapan. Menang 5-0 ke atas Kemboja telah memberikan kelebihan buat skuad kendalian Park Sang-heo.

Empat perlawanan tanpa kalah dan terikat 8 mata dengan Jordan di puncak kumpulan, menunjukkan betapa Vietnam cukup bersedia dan serius dalam aksi kelayakan kali ini.

Dengan diperkuatkan oleh tenaga muda, Vietnam sudah pasti tiada masalah untuk melayakkan diri ke kejohanan utama. Para penyokong ‘The Golden Star’ sudah boleh merancang untuk berkunjung ke UAE.

Baki dua perlawanan Vietnam:

  • 14 November: Vietnam lwn Afghanistan
  • 27 Mac: Jordan lwn Myanmar

Filipina

Filipina menang 4-1 ke atas Nepal dalam aksi pertama Kumpulan F. Foto: Tristan Tamayo/Inquirer.net

Filipina akan mengesahkan tiket ke kejohanan utama sekiranya berjaya menundukkan Nepal pada 14 November ini. Skuad kendalian Thomas Dooley itu kini sedang mendahului aksi Kumpulan F dengan 8 mata.

Salah satu slot lagi akan menjadi rebutan antara Yaman dan Tajikistan. Filipina dilihat cemerlang dalam kempen kelayakan ini selepas menundukkan Tajikistan di laman lawan dengan keputusan 4-3. Ini adalah titik perubahan kepada skuad ‘The Azkals’.

Filipina kini semakin hampir untuk layak ke Piala Asia buat pertama kali dalam sejarah bola sepak negara mereka. Berbaki dua perlawanan yang kurang mencabar, Filipina sebenarnya sudah berada di landasan selesa untuk mengesahkan slot mereka pada 14 November ini.

Baki dua perlawanan Filipina:

  • 14 November: Nepal lwn Filipina
  • 27 Mac: Filipina lwn Tajikistan

Malaysia

Gol Jordi Tarres ketika aksi Malaysia menentang Hong Kong di Stadium Hong Kong, 10 Oktober lalu. Foto: Freemalaysiatoday

Realistiknya Malaysia sudah boleh melupakan Piala Asia 2019 selepas tumbang 0-2 kepada Hong Kong pada 10 Oktober lalu. Skuad¬†‘The Dragons’ adalah satu-satunya lawan setara buat skuad kebangsaan dalam aksi Kumpulan B.

Kelebihan skuad kebangsaan ketika ini cumalah memiliki tiga perlawanan di dalam tangan, namun menentang Korea Utara dan Lubnan selepas ini, pastinya satu tugas yang agak mustahil buat Harimau Malaya.

Kekuatan sebenar Korea Utara masih lagi misteri buat Malaysia, dan sekiranya berlaku keajaiban serta keputusan memihak kepada Malaysia, sudah pasti ianya satu sinar yang dicari-cari oleh skuad kendalian Nelo Vingada ini.

Baki tiga perlawanan Malaysia:

  • 14 November: Malaysia lwn Korea Utara
  • 27 Mac: Lubnan lwn Malaysia
  • TBA: Korea Utara lwn Malaysia

Leave a Reply