Kantung kelab gergasi Sepanyol, Barcelona dilihat semakin meruncing apabila laporan tahunan kewangan mendedahkan The Blaugrana kini dibebani dengan timbunan hutang iaitu bernilai €1.2 bilion bersama hutang jangka pendek berjumlah €730 juta.
Jumlah hutang yang amat besar itu merupakan kesan daripada serangan COVID-19 dan pengeluaran dana besar-besaran berikutan pembelian beberapa pemain seperti Phillipe Coutinho, Frenkie De Jong dan Arthur.
Selain itu, perbelanjaan terbesar dalam membayar gaji pemain di mana melibatkan 74 peratus daripada jumlah pendapatan telah menjadikan keadaan tersebut bertambah parah buat Barcelona sehingga menyebabkan pemotongan gaji sebanyak €122 juta terpaksa dilaksanakan susulan wabak melanda.
Barcelona juga mempunyai hutang keseluruhan sebanyak €126 juta dengan kelab-kelab lain berikutan kesepakatan dalam mendapatkan pemain-pemain mereka dalam beberapa tahun terakhir ini.
Sebagai contoh, mereka masih berhutang €29 juta dengan Liverpool ketika membawa masuk Phillipe Coutinho pada musim 2017/18. Keadaan sama turut dialami mereka ketika merekrut De Jong dari Ajax apabila Barcelona berhutang sebanyak €16 juta manakala €10 juta pula perlu dibayar kepada Bordeaux susulan pembelian Malcom, sedangkan pemain kelahiran Brazil itu sudah pun dijual ke Zenit Saint Petersburg pada musim lalu.
Kesemua hutang tersebut dengan jumlah keseluruhan menelan belanja €55 juta perlu dijelaskan oleh Barcelona selewat-lewatnya pada 30 Jun nanti.
Sehubungan dengan permasalahan yang dihadapi, Barcelona telah membuat permohonan untuk membayar segala hutang tersebut pada 30 Jun nanti dan menurut sumber Goal, beberapa pemiutang telah bersetuju dengan permohonan tersebut. Terdapat perbincangan bersama beberapa pemiutang lain untuk tujuan penangguhan pembayaran.
Barcelona juga amat mengharapkan agar dapat memberikan kebenaran kepada para penyokong untuk kembali ke stadium pada musim ini kerana hasil penjualan tiket dilihat bakal menjadi penyumbang terbesar pendapatan pasukan dalam membantu untuk memulihkan masalah kewangan mereka.
Tetapi, dengan perkembangan semasa penularan kes kelihatan seperti tidak akan pulih dalam tempoh terdekat ini bakal menjadikan ia masalah besar buat Barcelona. Sekiranya masih tiada jalan penyelesaian, Barcelona berkemungkinan akan berhadapan dengan masalah yang lebih serius dan berkemungkinan kelab ini akan diisytihar bankrap.
Kredit featured image: Robert Bonet/NurPhoto via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai aspek kewangan dalam bola sepak:
Kerana Sevilla Tak Bayar Hutang, AS Nancy Disingkirkan Ke Divisyen 3
Football Leaks: Infantino Cabuli Audit, Selamatkan Manchester City Dan PSG Daripada Kesalahan FFP