Masa depan Erling Braut Haaland akan sentiasa menjadi topik perbincangan pada setiap jendela perpindahan musim panas. Kali ini Chelsea dilihat sebagai pilihan utama untuk mendapatkan penyerang Norway itu, jika perpindahan berlaku pada kali ini.
Pemain berusia 20 tahun itu menjaringkan 41 gol dari 41 penampilan untuk Borussia Dortmund pada musim lalu, dan sudah pun dianggap sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia pada hari ini.
Bukan sahaja Thomas Tuchel sahaja mahukan pemain ini di Stamford Bridge. Manchester City turut berminat membawa pemain ini ke Etihad, dan Real Madrid pula sentiasa memantau sebarang kemungkinan untuk Haaland beraksi di Estadio Santiago Bernabeu serba baharu selepas ia siap dinaik taraf.
Siapa pun yang berjaya mendapatkan Haaland pada musim panas ini, maka kelab itu bejaya memiliki mesin gol yang akan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan. Adakah Chelsea memiliki kelebihan kerana adanya pakar atau transfer guru seperti Marina Granovskaia. Kita semua tahu peranan Marina untuk Chelsea pada musim lalu yang berjaya memancing bakat-bakat muda terbaik dunia sehingga pemecatan Frank Lampard dan pelantikan Thomas Tuchel.
Sejauh mana minat Chelsea terhadap Haaland?
Sebelum kita pergi lebih jauh, ayuh kita nilai sejauh mana minat Chelsea terhadap Haaland. Segalanya bermula pada Mac lalu apabila minat Chelsea terhadap Haaland mula didedahkan oleh beberapa media di UK.
Selepas saingan musim lalu tamat pada Mei, The Blues tidak membuang masa membuka pintu rundingan dengan Dortmund pada awal Jun. Pada perjumpaan pertama tersebut, Chelsea dimaklumkan mereka perlu berbelanja sehingga £170 juta untuk mendapatkan Haaland.
🤩 Erling Haaland has scored 40 goals in 43 Bundesliga appearances for Borussia Dortmund and scores more than a goal per game in the Champions League (20 in 16 games)
😅 No wonder Chelsea are not giving up on signing him this summer! pic.twitter.com/umO2TcVsif
— WhoScored.com (@WhoScored) July 15, 2021
Pada awal minggu ini, laporan dari Jerman mendedahkan Roman Abramovich telah menyediakan dana untuk meneruskan impian mendapatkan Haaland pada nilai £150 juta. Chelsea masih perlu menawarkan mana-mana pemain seperti Hakim Ziyech, Callum Hudson-Odoi atau Tammy Abraham sebagai sebahagian daripada perjanjian.
Khamis lalu Sky Sports Jerman mendakwa Dortmund telah menolak tawaran pembukaan oleh Chelsea untuk Haaland – yang melibatkan tunai (£150 juta) dan salah seorang pemain, iaitu Abraham atau Hudson-Odoi.
Mengambil kira minat mendalam Chelsea terhadap penyerang berusia 20 tahun itu, The Blues dijangka akan kembali dengan tawaran kedua. Dan ia juga boleh menjadi saga perpindahan yang berpanjangan.
Apa kata Dortmund?
Buat masa ini pendirian kelab Jerman itu mengenai Haaland amat teguh, tetapi Dortmund terus berdiam diri mengenai tawaran yang dilakukan oleh Chelsea.
Haaland baru-baru ini kembali ke Dortmund untuk pra musim, dan kelab itu dihujani soalan mengenai masa depan pemain tersebut.
Pengarah Sukan Dortmund, Sebastian Kehl ketika mengulas perkara tersebut kepada Sky Germany berkata tiada perkembangan terbaru mengenai pemain itu kecuali menegaskan Haaland tetap berada di dalam perancangan mereka untuk menghadapi musim baharu.
BREAKING: Borussia Dortmund have turned down Chelsea's opening offer for striker Erling Haaland, according to Sky in Germany.
— Sky Sports News (@SkySportsNews) July 15, 2021
Seorang lagi Pengarah Sukan Dortmund, dan rakan sejawat Kehl, iaitu Michael Zorc pula sempat berseloroh ketika memberi respon mengenai masa depan pemain itu, apabila mendakwa Haaland sudah berada di England setelah Haaland lambat untuk hadir latihan kecergasan menjelang pra musim.
Haaland dilihat tiba di pusat latihan Dortmund seperti kebiasaan pada hujung minggu, dan sempat senyum kepada pihak media yang menanti walaupun tahu spekulasi panas yang menyelubungi masa depannya.
Adakah Haaland akan ke Chelsea?
Soalan ini sukar untuk dijawab. Di atas kertas, perpindahan dengan tawaran sebegini boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia juga memiliki rekod cemerlang untuk mendapatkan pemain yang Chelsea mahukan. Borussia Dortmund pula adalah sebuah kelab yang berstrukturkan penjualan pemain dan melaburkan wang pendapatan itu semula.
Tetapi kelab Jerman itu juga diketahui sebagai kelab yang sukar untuk dibawa berunding. Selama ini mereka juga tidak pernah memiliki pemain dengan nilai seperti Haaland.
Chelsea are willing to pay big money to sign Erling Haaland this summer before his £65m transfer clause becomes active in 2022, but Dortmund are not ready to sell the striker just yet.
✍️@cc_eckner https://t.co/ExxsUECZma
— Times Sport (@TimesSport) July 16, 2021
Itu akan menjadi cabaran terbesar buat Marina Granaovskaia yang merupakan penasihat peribadi terdekat mengenai Chelsea kepada Roman Abramovich selama hampir dua dekad. Selama ini Marina Granaovskaia mendapat reputasu sebagai wanita paling berjaya di dalam industri bola sepak apabila cemerlang mengendalikan hal perpindahan masuk dan keluar di kelab London itu selama ini.
Antara nama-nama besar di Chelsea yang dibawa masuk oleh Marina Granaovskaia adalah seperti Eden Hazard, N’Golo Kante, Timo Werner, Christian Pulisic dan Alvaro Morata. Dan beliau melakukannya pada ketika nama-nama pemain ini turut dikejar oleh kelab-kelab gergasi eropah yang lain.
Pengetahuan Marina Granaovskaia di pasaran pemain amat bagus, termasuk untuk penjualan pemain untuk tujuan pelaburan. Penjualan pemain keluar dari Chelsea melibatkan David Luiz, Oscar, Diego Costa, Morata dan Hazard misalnya telah berjaya mengumpul £340 juta.
Haaland impian setiap transfer guru
Menjana perpindahan pemain seperti Erling Haaland adalah impian setiap transfer guru seperti Marina Granaovskaia.
Pada usia 20 tahun, Haaland bukan sahaja boleh memberikan manfaat kepada pasukan di dalam padang untuk tempoh jangka masa yang lama. Pemain seperti Haaland juga berkemampuan memberi pulangan yang lumayan apabila dijual semula kelak.
Apabila Dortmund menandatangani Haaland dari Red Bull Salzburg pada nilai £20 juta pada Januari 2020 yang lalu, kelab Jerman itu sedar mereka tidak akan mampu menahan pemain itu untuk tempoh yang lama bersama mereka. Dan kini Chelsea menjadi kelab pertama yang serius mahukan Haaland.
Chelsea transfer guru Marina Granovskaia could soon be getting very, very busy.https://t.co/MASkJGeB3X
— football.london (@Football_LDN) July 16, 2021
Dortmund boleh juga menjadi kelab yang keras kepala dan liat untuk melepaskan Haaland sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi. Lihat sahaja bagaimana Dortmund melengahkah Manchester United mendapatkan Jadon Sancho selama setahun lamanya.
Dortmund akhirnya menyerahkan Sancho pada nilai £73 juta kepada Manchester United disebabkan kesan ekonomi dan nilai susut pasaran pemain yang dibawa oleh pandemik.
Untuk melepaskan Sancho dan Haaland pada musim panas yang sama juga pasti sesuatu yang sukar. Ia seperti Dortmund harus bermula dari bawah untuk membentuk kembali skuad yang mempu bersaing secara kompetitif.
Yang sebenarnya Dortmund boleh memberi apa sahaja alasan untuk menyekat penjualan Haaland. Adakah akhirnya Marina Granaovskaia akhirnya ibarat bertemu buku dengan ruas dalam saga perpindahan Haaland?
Baca artikel menarik lain mengenai Erling Haaland:
Haaland Naik Berat Sejak Sertai Dortmund, Tetapi Larian Semakin Laju
Mino Raiola Tekad Jadikan Haaland Pemain Pertama Dunia Terima £1 Juta Seminggu
Haaland vs Mbappe: Statistik & Perbezaan Kualiti Dua Penyerang Handalan Generasi Baharu