Derbi de Sole adalah merujuk kepada perlawaan seteru sebandar Napoli vs. AS Roma.
Ia adalah pertarungan derbi yang ada nilainya tersendiri walaupun tidak sepopular Derbi della Capitale (AS Roma vs SS Lazio), Derby della Madonnina (Inter Milan vs AC Milan) dan Derby d’Italia (Juventus vs Inter).
Sejarah Derby De Sole
Derby de Sole atau Derbi Matahari ini telah wujud sejak 1927 lagi apabila kedua-dua pasukan layak bermain dalam liga utama Itali.
Derbi ini juga digelar Derbi Selatan (South Derby), Derbi Pertelagahan (Derby of the Discord), dan juga Derbi Darurat (Derby of the public order).
Tanda Persahabatan Masyarakat Selatan
Pada awalnya, derbi ini adalah simbol persahabatan, hubungan kekeluargaan dan kebanggaan Napoli dan AS Roma. Kedua-dua pasukan dari wilayah selatan ini dahulunya berada di bawah pemerintahan kerajaan Sicily.
Pada zaman pemerintahan kerajaan Sicily, orang-orang wilayah Selatan dan Utara Itali saling benci membenci.
Ini kerana orang-orang wilayah Selatan merasakan pemerintah Itali pada ketika itu bersikap pilih kasih terhadap orang-orang wilayah Utara.
Hampir semua kemajuan dan hasil ekonomi Itali banyak dinikmati di kota-kota metropolis bahagian utara Itali.
Hinggakan penyokong Roma dan Napoli pernah mencetuskan idea untuk menggabungkan kelab mereka. Semuanya untuk menentang dominasi kelab bola sepak di utara seperti AC Milan, Juventus dan Inter Milan!
Walaupun idea itu tidak direalisasikan, pada era akhir 1920-an penyokong-penyokong Roma, Napoli dan Lazio sering menyokong antara satu sama lain. Terutamanya ketika menentang kelab-kelab utara seperti AC Milan, Juventus dan Inter Milan.
Jika salah satu daripada kelab selatan – Roma, Napoli mahupun Lazio – berjaya mengalahkan kelab-kelab dari utara iaitu AC Milan, Juventus dan Inter Milan, ia dianggap kejayaan semua warga wilayah Selatan.
Oleh itu setiap kali derbi ini berlangsung, ia dijadikan wadah terbaik untuk penyokong mereka untuk saling kunjung-mengunjungi dengan membawa hadiah kepada rakan mereka.
Sekitar tahun 1970-an, wujudlah nama Derbi Matahari yang merujuk kepada keharmornian dan semangat setia kawan kedua-dua pasukan dengan bendera berwarna warni dan ketawa mesra.
Hancurnya Sebuah Persahabatan
Setelah masuknya era moden, rasa sakit hati orang-orang wilayah Selatan dengan orang-orang wilayah Utara kian menurun.
Akibatnya AS Roma, Napoli dan Lazio mula menumpukan usaha mereka untuk menjadi kuasa besar di wilayah Selatan.
Musim 1987 telah menjadi bibit-bibit awal perpecahan Roma dan Napoli. Kedua-dua kelab ini sedang menjadi pesaing kejuaraan Scudetto bersama-sama dengan AC Milan.
Ketika perlawanan liga antara Napoli dengan AS Roma, 25,000 orang penyokong Napoli yang bertandang ke Roma berang dengan tindakan pengadil yang menghadiahkan 2 kad merah kepada pemain mereka.
Keresahan kian memuncak apabila pemain Roma, Roberto Pruzzo menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-46.
Tidak lama selepas itu penyokong Napoli menjerit gembira apabila sepakan penjuru Diego Maradona yang ditanduk masuk oleh Francini. Perlawanan berakhir dengan seri 1-1.
Namun begitu satu provokasi dilakukan bek tengah Napoli, Salvatore Bagni. Beliau menunjukkan Gesto dell’ombrello kepada penyokong Roma.
Ia adalah satu isyarat tangan masyarakat Sicily yang sama dengan isyarat jari tengah (middle finger).
Bagni berbuat demikian sebagai tindak balas kepada penyokong Roma yang membuat isyarat salute facisme.
Suasana menjadi kecoh dan penyokong kedua-dua pasukan saling mengherdik dan bertelagah di dalam dan di luar stadium.
Sorakan mengejek dan mentertawakan Roma yang gagal menewaskan ‘9 Singa’ Napoli mulai kedengaran. Banyak lagi sorakan berbaur hinaan, sindiran stereotaip dan ejekan sosial dihamburkan sesama mereka.
Secara tidak langsungnya, mereka telah mengisytiharkan ‘putus saudara’ setelah berdekad-dekad bersama-sama dalam suka dan duka.
Pada 2008, pernah berlaku pergaduhan melibatkan 1,000 penyokong Napoli dan Roma di luar stadium. Ia mengakibatkan kerosakan harta benda awam yang teruk termasuk kereta api.
Keganasan kedua-dua penyokong Napoli dan Roma pernah divisualkan dalam filem A.C.A.B – All Cops Are Bastards pada 2012.
Tragedi Ciro Esposito
Selepas berpuluh-puluh, mungkin ratusan insiden provokasi kecil dan besar, kebencian dalam derbi matahari ini mencapai kemuncaknya. Ia berlaku pada final Piala Itali 2013/14.
Seorang penyokong Napoli bernama Ciro Esposito meninggal dunia selepas 50 hari bertarung nyawa di hospital.
Ciro ditembak oleh Daniele De Santis dari Ultras Roma dan meyebabkan banyak kerosakan pada organ Ciro. Daniele ditahan polis di lokasi terpencil selepas mendapat maklumat orang awam.
Ia mendapat perhatian serius daripada ramai pihak. Mayor Naples, Luigi di Mangitris mengucapkan takziah dan juga menyeru supaya keganasan tidak harus wujud dalam bola sepak.
Ciro e’ morto e a Napoli proclamiamo il lutto cittadino.Per Ciro,per i familiari,per il nostro popolo.Per dire no al binomio calcio-violenza
— Luigi de Magistris (@demagistris) June 25, 2014
Portal sukan berpengaruh Itali, La Gazzetta dello Sports mengeluarkan artikel khas berjudul ‘Esposito Kita Adalah Hero Sivil’.
Mereka menyeru agar Daniele dijatuhkan hukuman paling berat dengan slogan:
‘Kami mahukan keadilan bukan vendetta‘.
Antonella Leardi Mahu Hentikan Dendam Dalam Bola Sepak
Pembebasan Daniele selepas itu dan ia memarakkan lagi kebencian Ultras Napoli dan Roma.
Ibu bapa Ciro tampil menyatakan mereka memaafkan Daniele dan menyeru agar keganasan itu dihentikan tanpa dendam.
Kenyataan Ibu Ciro, Antonella Leardi berbunyi:
“Demi bola sepak, cukup-cukuplah anda bergaduh dan berdendam. Tidak ada sesiapa lagi harus membayar sukan ‘indah’ ini dengan nyawa. Ciro terlalu cintakan sukan ini.”
“Ciro telah mengorbankan dirinya demi bola sepak. Ciro terdengar suara budak bersama keluarga mereka menjerit dan dia bergegas ke sana. Dia meninggal dunia kerana sayangnya kepada bola sepak”
Antonella berpendapat, penjenayah sebenar adalah kebencian dan dendam yang ditanam di dalam jiwa penyokong bola sepak. Antonella aktif menggerakkan kempen kesedaran tentang keganasan dalam bola sepak.
Kempen Antonella ini mendapat sindiran daripada Ultras Roma pada April 2015.
Curva Sud membawa banner menuduh Antonella sebagai mengambil kesempatan di atas kematian anaknya dengan melariskan buku.
Ramai pihak mengutuk keras banner tersebut dan menganggap ia memalukan. Pihak AS Roma menerima dengan terbuka hukuman untuk menutup Curva Sud pada perlawanan Serie A berikutnya.
Kembali Terjalin?
Selepas peristiwa itu, ramai penyokong-penyokong Roma dan Napoli tampil mengutuk keganasan dalam bola sepak. Mereka mulai melancarkan kempen dengan mesej positif supaya peristiwa Ciro Esposito tidak berulang.
Gambar di bawah adalah sepanduk oleh penyokong Roma di pondok mereka tanda sokongan kepada Esposito!
Penyokong Napoli turut mengibarkan banner Stefano dan anaknya Cristian, penyokong Roma yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan ke Stadium Olimpico pada 2014.
Itulah cerita derbi yang dibina dari semangat persaudaraan kemudian menjadi kebencian sehingga ada nyawa melayang.
Mungkin mereka sudah tidak semesra dahulu lagi tetapi peristiwa Esposito dilihat telah banyak memberikan pengajaran kepada kedua-dua pihak.
Jangan lupa saksikan aksi Derbi Matahari ini pada hujung minggu ini 15 Oktober 2016.
Akhir sekali, ‘Tiada Keganasan Dalam Bola Sepak”.
Baca juga : Arsenal vs. Chelsea: Perseteruan Derby London Yang Semakin Panas Di Era Moden