Masih ada 21 perlawanan untuk diharungi setiap pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris 2018/19 dan kini Liverpool merupakan pendahulu liga selepas mengumpul 45 mata, hanya berkelebihan satu mata dihadapan juara bertahan, Manchester City.
Liverpool juga muncul satu-satunya pasukan yang masih belum menerima kekalahan selepas Manchester City tumbang buat pertama kali ketika bertemu Chelsea, dua minggu lalu.
Keadaan itu secara tidak langsung memberikan keyakinan yang sangat menebal buat pertahanan kelahiran Croatia, Dejan Lovren bahawa The Reds mampu untuk menamatkan saingan liga tanpa sebarang kekalahan.
Pencapaian hebat itu pernah dikecapi Arsenal pada musim 2003/04 yang sekaligus menobatkan The Gunners selaku juara liga.
”Arsenal pernah melakukannya sebelum ini, jadi mengapa kita tidak boleh?”
”Saya boleh katakan kejayaan menewaskan Manchester United adalah satu keputusan yang baik buat kami. Diharapkan kami dapat mengekalkan rekod tanpa kalah sehingga akhir musim.”
”Sudah tentu ia akan menjadi satu cabaran tetapi itu adalah apa yang kami mahukan, ia adalah sebab mengapa kami datang ke Liverpool, kerana kami tahu kami mampu untuk melakukannya.”
Ketika ini Liverpool adalah pasukan yang paling sedikit dibolosi apabila hanya melepaskan tujuh gol daripada 17 perlawanan dilalui.
Disebalik keyakinan Lovren, kelibat Alisson Becker dan Virgil Van Dijk dilihat menjadi watak penting yang menjurus kepada perkembangan positif tersebut.
Liverpool yang tidak beraksi dalam saingan suku akhir Piala Carabao akan meneruskan pemburuan untuk terus berada di puncak liga pada hujung minggu ini apabila akan berkunjung ke Molineux Stadium bagi berdepan Wolverhampton Wanderers.