Yoann Gourcuff: Si ‘Zizou Baru’ Yang Dihancurkan Kecederaan Berterusan

Sebut apa sahaja skil dalam bola sepak yang dilakukan Zidane – dan semuanya mampu dilakukan oleh Yoann Gourcuff. Maka tak hairanlah Yoann Gourcuff pernah digelar Zizou baru pada satu ketika dahulu.

Persona yang ada pada gaya permainan, visi dan kemampuan untuk mencorak serangan – membuatkan ramai penyokong Perancis merasakan bola sepak negara mereka bakal dibawa oleh seorang lagi pemain hebat yang akan menggantikan Zinedine Zidane pada suatu hari nanti.

Selepas cemerlang bersama Rennes beliau menyertai AC Milan.  Bagi pemain bola sepak, menyertai Milan pada ketika itu adalah pencapaian hebat. Beliau berjaya membantu AC Milan menjuarai UCL. Namun peranan beliau di Milan sangat kecil ketika itu kerana pasukan itu sarat dengan bakat.

Milan kemudiannya meminjamkan beliau ke Bordeux untuk membolehkan beliau bermain lebih banyak minit. Paolo Maldini pernah mendedahkan Gourcuff tidak gembira ketika di Milan. Beliau enggan belajar Bahasa Itali dan suka memencilkan dirinya. Itu yang membuatkan beliau mulai bermasalah disiplin – seringkali lewat ke pusat latihan.

Selepas menyertai Bordeaux secara pinjaman, kelab itu membeli beliau secara tetap dengan nilai perpindahan €22 juta. Ianya angka perpindahan yang besar ketika itu. Ini kerana Bordeaux mendapat saingan daripada Arsenal yang diuruskan oleh Arsene Wenger.

Hubungan Arsenal dengan bintang muda Perancis pada ketika itu sememangnya sangat kuat. Sebab itu apaila ada minat Arsenal, nilai Gourcuff melambung tinggi,

Ketika di Bordeaux karier beliau terus meningkat naik. Beliau membantu Bordeaux memenangi kejuaraan berganda, Ligue 1 dan Coupe De France pada 2008/09. Siapa akan lupa jaringan ini ketika mereka membelasah PSG 4-0.

Menyertai Lyon

Gourcuff terus menjadi pemain yang dikehendaki hampir kesemua kelab di Eropah. Namun beliau memilih untuk mewakili Lyon. Dilaporkan Lyon membayar €60 juta secara keseluruhannya untuk pemain ini dengan menawarkan pakej gaji tertinggi.

Gourcuff diperkenalkan dalam satu majlis pengenalan yang dihadiri lebih 15,000 penyokong Lyon. Ianya satu acara pengenalan pemain yang besar.

Beliau menambahkan kekuatan Lyon yang sudah memilki nama; Hugo Lloris, Miralem Pjanić, Jean II Makoun, Ederson, César Delgado, Lisandro López, Michel Bastos, Bafétimbi Gomis, Aly Cissokho, Dejan Lovren, Jimmy Briand, Jérémy Toulalan, Anthony Révèillere, Kim Kallstrom dan Cris.

Peminat bola sepak dunia dan di Perancis menjadikan Zidane sebagai simbol keagungan bola sepak Perancis. Pemain yang pernah membantu negaranya menewaskan Brazil di Piala Dunia yang dianjurkan di negara mereka.

Untuk mengekalkan DNA bola sepak Perancis yang gemilang ketika itu, Gourcuff dilihat memenuhi ciri-ciri yang diperlukan. Beliau juga menyertai pasukan elit di Perancis – Lyon.

Pemain yang berkaliber, boleh merancang perlawanan dan mampu menjaringkan gol dengan pelbagai rutin dan jarak di dalam padang. Apabila pasukan di dalam ‘kecemasan’ Gourcuff boleh menjadi penyelamat.

Kualiti beliau membuatkan Gourcuff pemain yang menerima gaji €366,000 seminggu. Itu adalah gaji tertinggi di Perancis ketika itu.

Harapan yang tidak kesampaian

Namun malangnya, pemain ini memiliki rekod kecederaan yang membuatkan karier beliau gagal untuk berada di peringkat lebih tinggi. Gourcuff pada awalnya dicanang bakal berdiri di pentas 3 teratas pemain terbaik Eropah ataupun dunia.

Fizikal dan badannya sangat rapuh. Lebih 20 siri kecederaan dialami beliau sepanjang karier. Kebanyakannya adalah melibatkan otot.

Beliau disisihkan daripada Piala Dunia 2014. Untuk pemain yang bergantung kepada kekuatan fizikal, ia memang mempengaruhi aksi mereka. Pengulas di Perancis sendiri sudah ada stereotaip tentang Gourcuff:

“Pemain ini kalau dia tidak diturunkan ataupun keluar, mesti sebab cedera.”

Untuk pemain berkaliber seperti Gourcuff, beliau adalah pemain yang diinginkan oleh jurulatih dalam kesebelasan utama dan bermain 90 minit.

Apa yang pasti – jarang sekali Gourcuff dikeluarkan daripada permainan kerana tidak beraksi baik ataupun masalah lain seperti disiplin dan hilang fokus. Beliau sentiasa beraksi baik di dalam padang.

5 tahun selepas menyarung jersi Lyon, Gourcuff akhirnya dilepaskan oleh kelab tersebut.

Kembali semula ke Rennes

Lyon melepaskan Gourcuff lebih awal dan membayar baki gaji sebulan beliau. Beliau bermain sebanyak 90 aksi Ligue 1 untuk Lyon. Menjaringkan hanya 14 gol dan 17 bantuan gol. Hanya 23 kali sahaja beliau bermain 90 minit.

Salah seorang jurulatih beliau, Darou pernah berkata:

“Kecederaan yang dia alami memberikan impak kepada psikologi. Dalam bola sepak, anda boleh bandingkan Gourcuff dengan Iniesta.”

Selepas menamatkan karier dengan Lyon, Gourcuff kembali ke kelab asalnya, Rennes dan seterusnya ke Dijon.

Itulah kisah seorang pemain yang hebat dan pernah dianggap pengganti Zinedine Zidane tetapi gagal memenuhi potensi itu kerana kecederaan yang berterusan membelenggu. Beliau tetap dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik di Perancis kerana kejayaannya membantu pasukan seperti Bordeaux menjuarai Ligue 1.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN