Pemain naturalisasi Malaysia, Guilherma de Paula baru sahaja menyambut hari kelahiran beliau untuk kali ke-36 tahun.
Nama pemain ini sendiri menjadi bualan para peminat sama ada dari segi positif mahupun sebaliknya.
Tetapi sejak dua menjak ini, kisah berkaitan pemain ini tidaklah begitu enak didengari kerana prestasi yang dipamerkan bersama skuad kebangsaan telah menyebabkan segelintir penyokong begitu marah.
Namun bukan itu yang ingin kita bicarakan, memandangkan hari ini hari ulang tahun De Paula, mari kita lihat beberapa detik kejayaan yang pernah beliau lakar di Liga Malaysia.
Juara Piala Malaysia dan Liga Premier
Pemain kelahiran Sao Paulo ini memulakan karier beliau di Malaysia bersama Selangor dan kehadiran De Paula ternyata bukan sesuatu yang merugikan kerana dikala Merah Kuning ingin memburu gelaran ke-33 Piala Malaysia, De Paula merealisasikan impian para peminat.
Dalam perlawanan akhir menentang Kedah, De Paula menjadi watak penting selepas dua gol Hazwan Bakri berpunca dari gerakannya.
Selangor muncul juara Piala Malaysia pada tahun 2015 dan itu adalah yang terakhir buat pasukan tersebut setakat ini.
Ketika itu, nama beliau mula menjadi bualan para peminat kerana berjaya membantu Selangor merangkul satu piala selain mengakhiri saingan Liga Super ditempat kedua.
Tetapi jodoh beliau bersama kelab tersebut tidak panjang dan De Paula berhijrah ke pasukan luar sebelum pulang kembali ke Malaysia untuk bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2016 sebelum berpindah ke Kuala Lumpur (KL).
Tahun berikutnya, ketika ini boleh dikatakan antara zaman terbaik De Paula dalam kariernya selepas membantu skuad Warga Kota memenangi kejuaraan Liga Premier untuk membawa KL kembali ke saingan Liga Super.
De Paula tunjal kepala Menteri Besar Selangor
Mungkin ramai tidak sedar ketika mereka meraikan kejayaan Piala Malaysia, Menteri Besar Selangor ketika itu, Azmin Ali turut berada bersama pemain dan tindakan spontan De Paula memegang kepala ahli politik itu sambil menunjalnya mencuri perhatian ramai pihak.
Mungkin atas faktor ini beliau terpaksa mencari pasukan lain biar pun membantu Selangor meraih kejuaraan dan mempamerkan aksi begitu cemerlang bersama pasukan tersebut.
Penjaring Terbanyak
Sepanjang beraksi di Malaysia, De Paula berjaya memenangi dua kali anugerah kasut emas ketika bersama-sama PDRM.
Ketika bermain bersama KL, beliau membuktikan dirinya antara penyerang import terbaik di Liga Premier selepas meledak 27 jaringan sekali gus membawa pulang anugerah penjaring terbanyak untuk dirinya pada tahun 2017.
De Paula terus meledak bersama KL untuk beberapa musim dan ketika prestasi beliau mula merosot, De Paula telah berhijrah ke Perak.
Menyertai Perak pada tahun 2020 dengan harapan prestasi beliau akan kembali naik namun ternyata ia tidak menjadi dan pemain ini seperti sudah berada di penghujung kariernya dalam arena bola sepak di Malaysia.
Perak mengalami krisis dalaman dari segi gaji menyebabkan beberapa pemain terpaksa berkelana ke pasukan lain. Antaranya Shahrul Saad dan De Paula yang sertai Harimau Selatan.
Biarpun berjaya memenangi beberapa piala bersama pasukan terbaharu, namun ia bukanlah faktor kehadiran pemain ini seperti mana ia hadir ketika menyarung jersi Selangor dan KL.
Jaringan gol paling epik
Jaringan penalti ketika menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Dunia & Piala Asia di Stadium Al-Maktoum, Dubai pasti akan diingati oleh peminat bola sepak di Malaysia.
Biarpun berjaya sempurnakan sepakan penalti itu, Malaysia tewas 1-2 dalam perlawanan tersebut.
Apa yang menarik adalah cara beliau meraikan jaringan dengan berlari begitu laju dan dengan jeritan penuh emosi mencuri tumpuan seluruh penyokong Harimau Malaya.
Dari sudut positif, dia seperti ingin melepaskan segala tekanan yang diterima sebelum ini. Itu bagus namun yang menjadi pertikaian adalah beliau sebenarnya mampu berlari begitu laju.
Penyokong menjadi berang kerana di dalam perlawanan yang diadakan di Dubai, pemain ini lebih banyak berjalan daripada berlari memberi tekanan kepada lawan.
Tabiat suka berjalan di dalam padang bukan setakat di sana, selepas itu dipanggil bersama skuad kebangsaan sekali lagi, masalah itu masih sama dan beliau sukar untuk berlari pantas seperti mana zaman kegemilangannya dahulu biarpun sudah menyertai Johor Darul Ta’zim.
Setakat ini, dalam perlawanan kompetitif, itu adalah jaringan pertama dan terakhir pemain ini.
Dalam perlawanan persahabatan ketika menentang Brunei, beliau ada meledak satu jaringan.
Apa pun, selamat menyambut hari lahir buat pemain kesayangan rakyat Malaysia. Moga beliau berjaya bangkit untuk memberi sesuatu yang bermanfaat untuk pasukan yang diwakilinya menjelang fasa akhir kariernya.
Selamat hari lahir, Guilherme De Paula.