Qatar 2022: Skuad Muda Ecuador Mahu Ulangi Rekod Piala Dunia 2006

Qatar 2022
  • Pasukan: Ecuador
  • Benua: Amerika Selatan
  • Kali terakhir layak: 2014
  • Pencapaian terbaik: 2006 (pusingan 16 terbaik)

Ecuador kembali lagi dalam saingan Piala Dunia dengan menjadikan saingan Qatar 2022 sebagai edisi keempat kemunculan mereka.

Selepas terlepas peluang untuk beraksi di Rusia 2018, Ecuador muncul kembali untuk melengkapkan kuartet Amerika Selatan yang turut disertai Argentina, Brazil dan Uruguay.

Menjadi pasukan terlemah dari benua tersebut, namun ianya bukanlah satu alasan untuk Ecuador untuk tunduk mudah kepada cabaran yang bakal diberikan Belanda, Senegal dan Qatar dalam kumpulan A.

Rezeki tak pernah salah alamat

Ecuador berjaya menjadi pasukan terakhir dari Amerika Selatan untuk layak ke Qatar 2022 secara automatik selepas meraih tangga keempat peringkat kelayakan.

Mereka berjaya meraih tujuh kemenangan, lima seri dan enam kekalahan untuk mengumpul 26 mata.

26 mata itu sudah cukup untuk Ecuador meninggalkan Peru yang terpaksa melalui aksi play-off antara benua sebelum ditewaskan Australia.

Lebih manis, mereka juga berjaya memastikan bintang-bintang Chile dan Colombia duduk diam sahaja di rumah pada akhir tahun ini dan melihat mereka beraksi di Qatar.

Namun begitu, status Ecuador di Qatar tampak tercabar selepas Peru dan Chile membawa mereka ke Mahkmah Timbangtara Sukan (CAS) selepas didakwa menurunkan pemain yang tidak berdaftar iaitu Bryon Castillo.

Ecuador didapati bersalah namun begitu CAS memilih untuk membenarkan mereka terus beraksi di Qatar.

Namun mereka didenda sebanyak CHF100 ribu (RM477 ribu) kerana memalsukan dokumen dan potongan tiga mata akan diberikan apabila Ecuador memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026.

Tradisional tapi fleksibel

Bercakap dari segi corak permainan, Ecuador menyedari yang mereka bukanlah pasukan yang cukup menggerunkan piihak lawan.

Oleh kerana itu, mereka perlu tampil fleksibel dalam berdepan setiap lawan yang ditemui mereka.

Pengendali Gustavo Alfaro adalah seorang jurulatih yang sering setia kepada formasi tradisional iaitu 4-4-2 dan ini kerap digunakan oleh Ecuador ketika pusingan kelayakan.

Akan tetapi, mereka juga boleh berubah kepada 3-5-2 dan 4-3-3 apabila hendak tampil dengan lebih menyerang dalam perlawanan yang dirasakan boleh dimenangi oleh mereka.

Skuad yang ditampil oleh Ecuador pada kali ini adalah yang termuda dalam kalangan kuartet Amerika Selatan dengan usia 25 tahun purata umur mereka.

Namun begitu, mereka masih lagi mengharapkan kepada beberapa pemain yang berusia untuk terus menerajui pasukan.

Antaranya adalah Enner Valencia dan Angel Mena. Valencia yang juga merupakan ketua pasukan kekal menjadi teraju utama serangan Ecuador terutamanya apabila digandingkan dengan Michael Estrada.

Musim ini cukup baik untuk Valencia apabila berjaya menjaringkan 12 gol daripada 11 perlawanan Liga Turki sambil mencatatkan empat bantuan gol.

Sementara bagi Mena pula, pemain sayap veteran ini juga dianggap sebagai wira tak didendang untuk negarannya.

Walaupun sudah berusia, namun kehadirannya masih diperlukan untuk memberikan sumbangan kepada pasukan.

Mengumpul 68 gol dan 35 bantual gol dalam 135 penampilan bersama kelab semasanya iaitu Club Leon, kualiti Mena sebagai pemain sayap kanan pastinya akan ditagih terutamanya formasi pasukan bersesuaian dengan dirinya iaitu 4-4-2 dan 4-3-3.

Hadir tanpa tekanan

Ecuador bukanlah pasukan yang mempunyai tekanan tinggi untuk mara ke peringkat seterusnya di Qatar 2022.

Namun begitu, bagi pasukan yang berada di ranking 44 dunia ini, mereka mungkin boleh menjadi penganggu kepada negara pilihan seperti Senegal dan Belanda dalam perebutan juara dan naib juara kumpulan.

Skuad muda Ecuador boleh dikatakan adalah generasi baharu negara itu dan pastinya mereka cuba untuk mencipta semula kejayaan skuad Piala Dunia 2006 apabila berjaya layak ke pusingan 16 terakhir.

Piala Dunia 2022 ini mungkin menjadi edisi terakhir buat Valencia dan Mena, pastinya mereka mahukan meninggalkan kesan mendalam kepada negara sebelum bersara.

Semoga berjaya, Ecuador.

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN