Kualiti bola rasmi yang akan digunakan pada kejohanan berprestij Piala Dunia 2018 di Russia mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penjaga gol daripada beberapa pasukan yang akan bertanding di kejohanan itu.
Terbaharu, penjaga gol Sepanyol dan Jerman, David de Gea dan Marc-Andre ter Stegen mengkritik bola Telstar 18 buatan Adidas tersebut dan menyeru agar ia diubah sebelum kejohanan Piala Dunia bermula.
Menurut De Gea, penggunaan bola itu di pentas Piala Dunia akan menjadi mimpi buruk kepada semua penjaga gol yang bertanding.
“Ia benar-benar pelik. Ia boleh dibuat dengan lebih baik,” katanya yang ditewaskan oleh penyerang Jerman, Thomas Muller menerusi rembatan kencang dari jarak 25 meter.
Bintang Argentina, Lionel Messi, sebelum ini merestui Adidas Telstar 18, yang diinspirasikan daripada bola yang digunakan dalam kejohanan 1970 di Mexico.
Tetapi, selepas Sepanyol dan Jerman seri 1-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Dusseldorf semalam, kedua-dua penjaga gol yang memulakan perlawanan itu tidak berpuas hati dengan kualiti bola tersebut.
“Bola itu sepatutnya lebih baik, ia banyak bergerak.
“Tetapi, saya fikir kami hanya perlu membiasakan diri dengannya dan cuba mendapatkan cengkaman secepat mungkin sebelum Piala Dunia bermula. Kami tidak mempunyai pilihan lain,” kata penjaga gol Jerman, Ter Stegen.
Sementara itu, rakan sepasukan De Gea, Reina, berpendapat FIFA harus mempertimbangkan untuk menukar Telstar 18 kepada bola yang berbeza.
“Mereka perlu mengubahnya. Masih ada masa.
“Bola itu dilapisi dengan selaput plastik yang menyukarkan untuk penjaga gol menahan bola itu dari rembatan jarah jauh,” jelasnya.
Gol penyamaan menarik oleh Thomas Mueller menyaksikan juara dunia Jerman bangkit mengikat Sepanyol 1-1 dalam aksi persahabatan sebagai persediaan menghadapi Piala Dunia.
Selepas Rodrigo Moreno meletakkan Sepanyol di depan pada minit keenam permainan, Jerman kembali menyamakan kedudukan sebelum rehat menerusi gol ke-38 Mueller untuk Jerman dalam penampilan antarabangsa ke-90 pemain itu.