Penjaga gol Manchster United, David De Gea melaungkan amaran awal kepada pendahulu liga, Manchester City bahawa pasukannya sangat bersedia untuk menghadapi pertembungan derbi Manchster pada hujung minggu ini di Old Trafford.
Keyakinan De Gea itu memuncak setelah beliau sendiri berjaya mempamerkan aksi memukau dengan menafikan 14 percubaan berbahaya untuk menewaskan Arsenal pada minggu lalu.
Kejayaan tersebut merupakan kemenangan ke-4 berturut-turut buat Manchester United selepas bangkit dari tumpas 1-0 ditangan Chelsea bulan lalu.
Skuad bimbingan Jose Mourinho itu juga berpeluang untuk menamatkan rentetan 13 kemenangan Manchester City, namun misi tersebut sedikit direncatkan dengan layangan kad merah yang diterima tonggak tengah, Paul Pogba ketika bertemu Arsenal.
”Saya sangat gembira (menang keatas Arsenal),” kata David De Gea kepada laman web rasmi Manchester United.
Mengulas mengenai perlawanan bertemu CSKA Moscow dan Manchester City: ”Kami mempunyai keyakinan untuk beraksi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Liga Juara-Juara Eropah dan selepas itu, pertembungan derbi ini.”
”Kami sangat yakin sekarang, kami menjaringkan banyak gol dan itu merupakan kunci ketika kami memandang ke hadapan perlawanan seterusnya.”
Dengan kedua-dua pasukan kini sedang berada di kemuncak prestasi, perlawanan di Old Trafford hujung minggu nanti sudah pastinya akan menjadi tumpuan peminat bola sepak seluruh dunia dan tidak terkecuali di Malaysia.
Disamping itu, skuad bimbingan Pep Guardiola berpeluang untuk terus melebarkan penguasaan mata kepada 11 mata sekiranya dapat menumpaskan United manakala seandainya keputusan sebaliknya dicipta, hanya 5 mata sahaja memisahkan mereka.
Manchester United kini mencatatkan 35 mata sementara itu Manchester City gah di tangga teratas dengan 43 mata diraih selepas berakhir 15 perlawanan.